Isnin, 19 Oktober 2020

NORMA BAHARU

 "Hai entah ler, Ida.  Suami Kak Jan kata mana maunya budak-budak prasekolah tu jauhkan jarak dari kawan-kawan,"  ujar Kak Jan seakan mengeluh.  Tangannya ligat mencapai buku-buku yang ada di atas mejanya.  Disusunnya dengan teratur di rak belakang kerusinya.  Kelihatan kemas sekali.

"Tahu Ida..... apa deme kata?"  soal Kak Jan.

" ........Eh, takkan tak boleh dekat.  Dia kan kawan saya, " sambung Kak Jan sambil mengajuk kata-kata anak-anak tadika di sekolah suaminya.

Aku hanya tersenyum mendengar cerita Kak Jan.  Memang betullah sukar hendak menjaga anak-anak kecil yang berusia 5 atau 6 tahun begitu.  Bila kita tegur, spontan akan dijawabnya.  Kadang-kadang melihat gelagat mereka, terhibur rasa hati.

Tak dapat aku bayangkan bagaimana cikgu-cikgu sekolah tadika menguruskan anak-anak kecil begitu dalam suasana covid19 ini.  Hebatnya mereka.  Semuanya belajar dalam suasana norma baharu.  Bergomol lagikah mereka sambil berguling-guling atas lantai?  Atau berpegang-pegang tangan sambil berkawad dengan kawan-kawan?

Itu sebahagian daripada suasana anak-anak kecil yang baru mula mengenal alam persekolahan.  Belajar ABC, 123 sambil bertemu kawan-kawan dan guru-guru yang menjadi peneman mereka di kala ayahbonda bekerja.  Datang dengan wajah ceria, dan pulang dengan sorak gembira.

Apabila menjejak kaki ke sekolah rendah ....... mereka semakin membesar.  Barangkali sudah boleh berfikir dengan lebih baik.  Boleh mendengar arahan dan mematuhinya.  

Menarik juga pengalamanku tika berada di kelas Tahun 3 bersama-sama Azie dan Mila.  Dalam sesi perhimpunan di kelas pagi itu, Mila memberi nasihat agak panjang lebar tentang norma baharu yang perlu murid-murid ikuti semasa berada di sekolah jua di dalam kelas.  Peringatan guru Bahasa Inggeris itu didengar dengan teliti.

Lebih menarik lagi apabila setiap pertanyaan Mila ...... dijawab dengan tepat oleh warga kelas itu.  Berkat pesanan yang diulang-ulang, akhirnya lekat di dalam kepala mereka.  Namun sejauh mana pengamalan di dalam kehidupan seharian, tidak dapat dipastikan.

Usai perhimpunan di dalam kelas, Mila dan Azie beransur meninggalkan kami.  Begitulah rutin mingguan kami di dalam sesi perhimpunan pagi yang tidak lagi dilaksanakan di Dataran Ar Rayyan.  Semua kelas melakukan aktiviti yang sama di kelas masing-masing.  

Kami masih menanti kedatangan Cikgu Yvonne.  Satu-satunya guru berbangsa Cina di sekolah kami.  Cikgu Matematik yang berambut lurus melepasi bahu.  Seringkali digelar 'Comey' oleh Madam Zue.  Dan aku berada di kelas yang sama kerana di situ ada dua orang murid yang memerlukan bimbinganku.

Sempat aku memerhati dan menegur mereka yang leka.  

"Jaga penjarakan," suaraku agak meninggi.  

Seingat aku, sudah banyak kali diperingatkan tentang perkara tersebut.  Kekadang ada dalam kalangan guru yang menegur dari luar kelas lagi.  

"Jaga jarak.......jaga jarak.....nanti cikgu saman kamu! "  nyaring suara Cikgu Nor Rizan mengingatkan.

Dan suasana akan jadi senyap bak dilanggar garuda bila Ustazah Syikin melewati kaki lima kelas.  Melihat kelibatnya dari jauh, mungkin jantung rasa bagai nak gugur agaknya.  Semua akan cuba mengelak diri daripada bertemu dengannya.  Elok juga ada seorang guru yang demikian.  

Tiba-tiba lamunanku terhenti.  Yvonne telah melangkah masuk.

"Selamat pagi cikgu..." ujar ketua kelas seperti lagak cerita Upin & Ipin.  Diikuti lenggok yang sama oleh murid lain.

Yvonne tersenyum manis.  
















Tiada ulasan: