Selasa, 23 Jun 2020

Pak Subky.....

Menerima perkhabaran pemergian Pak Subky Latif.......daripada Cikgu Ya, aku terkesima.  Menerawang jauh mengingati sahabat ayah yang seorang ini.  Menelusuri perjalanan hidupnya sebagai seorang penulis bermula di Watan.

Beberapa buah buku hasil tulisannya ada di dalam almari buku ayah di Batu Gajah.  Ayah agak rapat dengannya, lebih-lebih lagi setelah kerap saling berhubung tatkala Pak Subky menjadi penulis atau kolumnis dalam akhbar Harakah.  Dan ayah pula menjadi salah seorang pengedar akhbar itu.

Tatkala menerima kehadiran akhbar itu ......biasanya ruangan tulisan Pak Subkylah yang akan kubaca terlebih dahulu.  Tulisannya cukup mantap dan dikupas secara ilmiah.  Bukan calang-calang orangnya. Sesungguhnya mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang!!!  Pengalaman di bidang kewartawanan begitu luas.  Itulah Pak Subky.

Ayah walaupun bukan seorang wartawan atau penulis...... tetapi dalam sejarah hidupnya pernah menulis.  Hal itu pernah dikisahkannya kepadaku.  Cuma aku tidak dapat mengesan di manakah ayah pernah menghantar hasil tulisannya. 

Ayah rajin membaca.  Terkadang aku melihat dia mengarang atau menulis teks khutbah raya dan isi ceramah yang sesuai untuk dipersembahkan tatkala dijemput tampil ke pentas.  Ayah rajin buat 'homework'.  

Sebenarnya hajat ayah tidak kesampaian untuk menjadi seorang pendidik cuma kerana kemiskinan!  Hebatnya ayah kerana pernah menjadai guru kira-kira ataupun ilmu hisab kepada rakan-rakannya semasa bersekolah dahulu.  Segalanya berpunca daripada berjayanya ayah menewaskan gurunya dalam menyelesaikan soalan kira-kira yang diberi oleh guru tersebut.

Dan pencapaian ayah yang baik di dalam peperiksaan menyebabkan ayah layak untuk belajar menjadi cikgu......namun cita-cita itu terpaksa dibenam jauh di sudut hati.  Malahan rakannya yang mencapai keputusan yang lebih rendah daripada ayah, berjaya menjalani kursus yang dimaksudkan.  Tak mengapa ayah.....anakmu ini telah berjaya menyambung hasrat murnimu itu.   Syukur alhamdulillah....

Minat membaca dan menulis telah tertanam lama di nubarinya.  Cuma tatkala ayah menyuarakan hasrat hati ingin memiliki sebuah komputer......emak mencantasnya segera.  Ayah ingin belajar selok-belok menggunakan komputer melalui anak keduaku, Abang Ngah.  Dengan harapan bahawa hasratnya untuk menulis kembali berbunga. Akhirnya niat ayah terbantut.  Terhenti begitu sahaja.  Tak mengapa ayah.....in shaa Allah, anakmu ini sedia menyambungnya.

Pemergian Pak Subky dalam usianya 80 tahun mengingatkanku kepadamu ayah.  Dalam usia yang sama juga ayah menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2018 yang lalu.  Sesungguhnya aku amat berterima kasih padamu ayah, yang mengajar erti tabah, sabar dan yakin dalam mendepani cabaran di medan juang.  

Semoga ayah dan Pak Subky berbahagia di taman barzakh.  Tenang di sana sebelum kita dihimpun di padang mahsyar.  


ida a.z.
23062020, 11.02 malam
ktb7 lekir



Tiada ulasan: