Khamis, 29 November 2012

KAMI BAKAL MENYUSUL

Lama tak bersua, juga lama dah tak dengar berita, tahu-tahu kami menerima khabar tentangmu.  Pemergian menuju alam barzakh...

Dalam wajah yang seringkali tampak tenang.  Di sebalik sikap yang kurang bercakap.  Mungkin punya seribu makna yang tidak kami ketahui.  Mungkin di sebalik itu punya satu rahsia yang tidak dapat kami rungkaikan.

Mengenalimu..... sejak aku kecil lagi.  Bertitik tolak dari kampung Kinjang, Chenderiang.  Kemudian di Slim, diikuti Bidor, dan akhirnya di Batu Gajah.  Dalam usia yang kian meningkat, pertemuan sudah jadi kian jauh.  Dek kerana alasan tugas dan komitmen terhadap keluarga.

Barangkali sudah ditakdirkan perjalanan hidupmu bersama anak-anak, maka kita berpisah dari satu daerah yang sama menuju destinasi yang kian menjarakkan malah menyukarkan untuk bertemu. Sekali sekala khabar berita menjengah antara benar dan tidak.  Antara pasti dan keliru.

Petang Jumaat yang menjadi saksi, dalam masjid (rumah Allah yang suci), sekujur tubuhmu terbaring di situ.  Dan akhirnya disahkan kritikal lalu dikejarkan ke hospital.  Hanya sms ringkas diterima.  Dan lewat petang Ahad itu kau disahkan meninggal dunia.

Kami bergegas mencari, dalam hasrat hati yang ingin ketemu buat terakhir kali. Nun jauh di Banting sana..... perjalanan malam yang kabur.  Masing-masing tidak punya pengalaman.  Tidak pasti laluan yang wajar diambil.  Namun syukur padaMu Ya Rabbi, kerana segalanya Engkau permudahkan walaupun kelewatan.  Malah tidak memungkinkan kami menatap wajahmu buat terakhir kali.  Terlalu pantas urusan pengebumian.  Namun alhamdulillah kerana kami dapat bersua keluargamu, lebih-lebih lagi isteri yang ditinggalkan.  Mudah-mudahan Allah memberinya kekuatan dan ketabahan.

Puteri bongsumu yang sedang berjuang dalam SPM cekal menerima ujian ini. Dan keesokannya harus berhadapan dengan ujian di dewan peperiksaan.  Malahan ada dua kertas lagi pada minggu berikutnya. Ya Rabbi, berilah kekuatan kepada anak itu. 

DariMU dia datang, dan kepadaMU dia kembali.  Kau cucurilah rahmat ke atas rohnya, mudah-mudahan tergolong dalam mereka yang beriman.  

Terima kasih atas budi yang dihulur selama mana kita bersama dulu.  Mudah-mudahan segalanya menjadi kenangan dan ingatan......
 (dedikasi buat Pak Andak Musa bin Harun)







Mudah-mudahan berbahagialah di sisi orang-orang mukmin, rohmu sentiasa dicucuri rahmat.  Dan kami bakal menyusul, hanya DIA yang tahu bila waktunya.


Tiada ulasan: