Khamis, 12 Januari 2023

KAMPUNG PISANG DALAM KENANGAN

 TATKALA tiba di kampung itu... terasa bagai ada satu perasaan yang tidak dapat digambarkan menyelinap masuk ke hati. Bayangkan pada tahun 1960-an aku pernah dibesarkan di sini. Aku masih ingat pada beberapa nama jiran berdekatan rumah yang kami sewa itu. Nyah Lon, Abang Leman, Cikgu La, Pak Mior dengan kereta Morris Minornya, Mak cik Mai, dan beberapa orang lagi.

    Masyarakat kampung kebanyakannya bekerja di lombong bijih timah yang berhampiran. Ada juga yang bekerja sendiri seperti tukang rumah, berkedai runcit dan membuat serta menjual kuih-kuih basah. Ada juga sebilangannya bekerja dengan kerajaan. 

    Kerap juga aku melihat kaum wanita membawa dulang berjalan beramai-ramai menuju ke lombong yang berhampiran. Mereka terbongkok-bongkok melakukan aktiviti melanda. Begitulah cara mereka memperoleh timah yang amat berharga. Tatkala terik mentari membahang, baharulah mereka beredar pulang. Timah automatik akan bertukar dengan nilaian wang sekiranya dibawa ke pekan. 

    Bayangkanlah... begitu mudah memperoleh wang. Pokok pangkalnya kena rajin sahaja. Kaum lelaki pula ramai yang bekerja di kawasan lombong bijih timah yang diusahakan oleh syarikat terkemuka. Di kawasan luas tersebut boleh dilihat kapal korek, palung-palung, serta rumah kongsi bagi sebahagian pekerja-pekerjanya. Di situlah ayah bekerja. Jawatan terakhir ayah ialah 'Kepala Lombong'. 

    Menariknya ialah, pekerja lombong menerima dua kali pembayaran gaji. Di tengah bulan ia dinamakan 'Belanja' manakala di hujungnya disebut 'Gaji'. Paling seronok apabila tiba Hari Merdeka, ayah akan membawa pulang bungkusan buah tangan untuk kami dua beradik. Semua anak pekerja lombong akan menerima habuan tersebut. 

    Sesekali ayah membawa kami memancing di situ. Detik-detik indah tatkala kami berjaya membawa pulang sebesen ikan hasil pancingan begitu mengujakan. Tetapi semua itu hanya tinggal kenangan... Hadirnya aku kali ini, ibarat sekadar pelawat yang menyaksikan 'kehilangan' momen indah satu ketika dahulu. Namun tersimpan kukuh di lipatan nubari.

    'Rumah tuan' sudah tidak kelihatan. Lorong-lorong yang pernah kulalui bersama abang dan ayah tatkala berbasikal di sekitar lokasi tempat ayah bekerja, sudah 'lebuh'. Stesen kereta api telah mengambil tempatnya. Hanya pepasir memutih yang tetap gah seperti dahulu. Meluas air lombong kelihatan seperti tasik. 

    Gerotak kereta api yang pernah kami gunakan dahulu pun telah diganti kini. Terkenang-kenang saat aku melangkah di gerotak tersebut. Gayat sungguh. Lihat di bawah... air keruh menghilir. Tak dapat kubayangkan kalau tersilap langkah!  

foto ayah bersama rakan sekerja 

Terima kasih ayah atas segala pengorbanan, jasamu tetap dikenang. Mudah-mudahan kita disatukan kembali di sana nanti. Membesarnya kami dengan titik peluhmu dan kudrat tulang empat keratmu. Ayah adalah hero kami. Di sisinya ada suri hati yang kami gelar 'emak', membelai dengan penuh kasih sayang



    

    

Tiada ulasan: