Selasa, 6 Disember 2022

KUKUHKAN PERSAMAAN, RAIKAN PERBEZAAN

     HIDUP bermasyarakat bermakna kita berada dalam ruang lingkup kehidupan di sisi jiran tetangga, kawan-kawan, dan dalam satu komuniti. Seterusnya saling memberi dan menerima pendapat serta sedia bertolak ansur. Maknanya kita tidak duduk berseorangan umpama katak di bawah tempurung. Sesungguhnya kita amat memerlukan orang lain dalam meniti kehidupan.

    Justeru, sentiasalah mengamalkan sikap terbuka dan prihatin sesama kita. Raikan perbezaan, mungkin di sudut lain ada banyak persamaannya. Jauhi bersangka buruk serta sikap-sikap negatif. Elakkan berdendam. 

    

    Bak pepatah, rambut sama hitam namun hati lain-lain. Hargailah anugerah Allah kepada kita. Perbezaan warna kulit dan rupa paras itu, adalah kehendak Allah. Bersyukurlah. Ramai juga dalam kalangan kita tidak kisah akan hal demikian. Apa yang penting ialah kita berkawan atas satu sebab tertentu.

    Pendapat dan minat yang sama menyumbang kepada eratnya sebuah persahabatan. Tidak kurang juga ada sebilangannya yang menjadikan perkara tersebut sebagai keutamaan dalam memilih sahabat. Pertama kali bertemu sudah saling bertukar nombor telefon akibat kuatnya ikatan persamaan yang ada.  

 

    Tidak kurang juga yang bersahabat melalui pelbagai media sosial. Akhirnya ia disusuli dengan pertemuan. Maka terjalinlah ikatan. Pokok pangkalnya rata-rata ia bermula dengan satu minat yang sama. Itu memang tidak dapat dinafikan.

    Belajarlah menjadi pendengar yang setia, walaupun wujud perbezaan pendapat. Jangan jadikan perbezaan tersebut sebagai senjata untuk anda meninggalkan dirinya. Jangan sesekali memutuskan silaturahim walaupun anda tidak sependapat dengannya. Hargailah pendapat itu. Pasti ada sudut lain yang anda boleh bersetuju dengannya.

    Ramaikan kenalan, elakkan permusuhan. Walaupun mungkin sukar untuk mencari titik persamaan... jangan dibesar-besarkan perbezaan yang sedia ada. Barangkali suatu hari nanti insan yang kita kurang enak berkawan dengannya itulah yang datang membantu.

    Jika suka sekalipun dengan seseorang, jangan diberi kepercayaan seratus persen kepadanya. Sandaran harus diberi kepada Yang Maha Esa. Sikap berhati-hati perlu terselit jua. Namun kejujuran itu amat penting. Andai kata kepercayaan telah terbina, jangan pula ia dirobohkan. Bukan mudah untuk membinanya kembali. Percayalah.

    Buat sahabat yang dikasihi... semoga ukhuwah kita berkekalan. Tegurlah daku andai tersilap membuat percaturan. Bersama di dunia, mudah-mudahan kita dapat bersama juga di sana nanti.  Insya-Allah.


kredit buat:
rakan/jiran sekampung
rakan guru
rakan penulis
rakan seperjuangan
rakan facebook

Tiada ulasan: