Rabu, 6 Februari 2019

TUDUNG KEMBALI ......

Keris terselit di pinggang bendahara,
Ucapan berseni santun berangkai;
Dipusing dibelit pelbagai cara,
Fesyen terkini tudung dipakai.

Pokok rerama bawa ke Melaka,
Tanam di kampung juga di pekan;
Pelbagai jenama menarik belaka,
Peniaga tudung bagai cendawan.

Di tengah padang pergi memikat,
Sirap selasih jadi bekalan;
Tudung dipandang hati terpikat,
Lama memilih bila berkenan.


Kulit kerang diambil disimpan,
Merata bertebar si kulit siput;
Tudung sekarang amboi boleh tahan,
Asalnya lebar.... dipintal seciput!

Jam berzaman jadi tinggalan,
Tulisan roman menghias muka;
Tudung ultraman jelas kelihatan,
Terpampang 'diamond' di tengah dada.

Menjelang Syawal hari lebaran,
Gurau senda dengan meriahnya;
Tudung bawal jadi pilihan,
Wanita muda ramai memakainya.





Tiada ulasan: