Isnin, 18 November 2019

Perginya seorang sahabat......

Kesibukan melanda amat ketara di penghujung musim  ini.  Banyak khabar-khabar mendukacitakan turut menerjah ruang hati.   Terlalu lama juga aku tidak menulis di ruang ini......

........Kak Fazilah Yahya........

Mendapat khabar tentangmu melalui whatsapp rakan setugas petang itu, membuat aku terkedu.  Sementelahan pula begitu banyak sahabatku bernama sedemikian

......Ustazah Fadzilah ....rakan setugas

......Ustazah Nor Fadzilah......juga rakan setugas

......Cikgu Fadzilah Alias, isteri YB

......Cikgu Fazilah Othman (sahabat sekampung)

........dan Fazilah Yahaya (sahabat yang pernah sama bertugas di sekolah ACS)

Ternyata......otakku berputar ligat mengingat nama itu.  Tika kami sama-sama dalam kumpulan kursus eTEMs suatu ketika dahulu.

Dan dalam kumpulan itu Kak Fadzilah yang paling tua di antara kami berempat.  Watak keibuan jelas  kelihatan di wajahnya.  Seorang kakak yang penyabar dan tenang........lepasan MCE!!!!!  Barangkali Bahasa Inggerisnya cukup bagus berbanding kami yang lepasan SPM....

Sentiasa tampak tenang sepanjang masa berkursus........ dan menjadi rujukan kami bertiga.  Entah ada atau tidak lagi fail kursus yang kami bina bersama......ada foto kami berempat di dalamnya......Kak Fazilah, Ramlah Musa, Jamalina Samsuddin dan aku......

Dan aku sempat mengaplikasikan apa yang kuperoleh menerusi kursus itu kepada anak-anak murid selama 2 minggu sahaja!!!  Kerana aku kemudiannya ditukarkan ke sekolah tempat aku mengajar sekarang.........bukan aku mohon bertukar.  Sebenarnya aku ditukarkan.

Bermula dari detik itu........kita terpisah.

15 Januari 2005, aku tinggalkan SK Methodist ACS,  Sitiawan yang lebih dikenali sebagai ACS, Kg Koh.  Sekolah lama.  Banyak perabot dan bangunan tua di situ........sesekali nampak sunyi dan agak  menyeramkan.  Tambahan pula kami  sama-sama mengajar di sesi petang.  Bangunan-bangunan kosong kelihatan sedikit menggerunkan.....

Terputus hubungan sebagai warga ACS, namun ada kalanya kita bersua sesekali cuma.

Dan tahun ini ....setelah sekian lama tiada khabar berita........tiba-tiba lamunanku terhenti bila mana tersebar khabar duka itu.  Engkau terdampar di ICU, Hospital Manjung.  Dan aku mengambil kesempatan bersama kak Uda mengunjungimu.  Menautkan kembali persahabatan yang terhenti.  Berbicara bersama Farah, yang kukenal dulu.  Dengan ayah dan adiknya.  Dan turut mengambil peluang menjengukmu yang terbaring lesu.

Kukirim secangkir doa, menghimpun kata-kata yang tersekat di kerongkongan cuma.......sambil menatap wajahmu.......masih seperti dulu.  Cumanya pernafasanmu dibantu.  Allahuakbar.....  Kakak yang dulunya ceria, dan sering bercerita........terbaring kaku.

Hanya harapanku ........mengharapkan agar kau dapat kembali seperti dulu.......

Selang beberapa hari, aku menjenguk bapa bekas anak muridku yang kemalangan.  Juga ditempatkan di ICU itu juga.  Selang beberapa buah katil daripada katil Kak Fazilah.   Ketika melangkah pergi, aku sempat mengerling ke arah katilnya.  Ada suami dan anakanda yang dicintai di sisi.

Di hati masih berharap, jua turut mendoakan yang terbaik buatnya.




.........dan akhirnya engkau pergi jua .........
Sesungguhnya itu penentuan Yang Maha Esa.
Semoga kakak yang kukenal ini tergolong dalam kalangan insan-insan yang beriman.
Mudah-mudahan taman barzakh itu menjadi tempat istirehat buatnya, menuju negeri yang abadi.
Perginya seorang sahabat yang baru sahaja bersara daripada tugas sebagai seorang pendidik.
Berbahagialah engkau di sana.   






Tiada ulasan: