Selasa, 14 September 2021

SALAM TAKZIAH AISY

 Salam takziah Aisy daripada cikgu sekeluarga atas pemergian ayahanda tercinta.

Bersama-sama kita hadiahkan bacaan Fatihah
buat saudara Fadir bin Abu Bakar

Tahun ini kita bersama bersemuka tidaklah lama. Cikgu pun baru ditempatkan di SKGL. Baru nak mengenali seluruh warganya.  Penghujung bulan Februari kita bersama di dalam PdPR.  Kemudian bersemuka dalam tempoh tidak lama, siap dengan pematuhan SOP. 

Kemudian kita berada di dalam PKP, PKPD dan 'lockdown'. Dalam tempoh tersebut kita kembali menjalani PdPR. Agak lama juga kita tidak bersemuka. Talian hayat kita hanya menerusi aplikasi 'whatsapp' atau 'telegram'.

Mengenalimu sebagai murid yang kerap tidak hadir ke sekolah, dengan alasan yang boleh kami terima.  Dalam sebulan pasti sahaja ada kehadiran bertanda '0'.  Memang guru-guru sedia maklum bahawa ayahmu menghidap leukemia (kanser darah). Kekerapan untuk beliau berurusan di hospital menyebabkan engkau terpaksa ikut sama 'bercuti'.  

Engkau akan berada bersama ibu yang menguruskan segalanya ataupun terpaksa dijaga oleh nenek atau saudara-mara lain. Betapa besar pengorbanan ibumu dalam menguruskan semua itu.  Alhamdulillah kerana ibumu boleh memandu.  Maka urusan berulang alik ke hospital sedikit mudah, namun agak memakan masa juga. 

Justeru, bagaimanalah agaknya pengurusan masa bagi ibumu.  Cikgu tidak dapat membayangkan betapa beratnya ujian yang terpaksa ditempuh.  Menguruskan dua orang anak kecil yang baru mengenal alam persekolahan, dan terpaksa belajar dalam norma baharu. Di samping suami yang sakit dan seorang lagi anak bongsu. 

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.  Pada permulaannya, PdPR tetap dihadiri. Namun lama-kelamaan tidak ada suaramu di cecelah suara ramai anak-anak tahun satu itu.  Ada ketikanya ibumu memaklumkan keberadaan dirimu.  Rutinnya mengurus suami yang sakit dan jadual janjitemu yang makin kerap dengan pihak hospital.  Kekuatan yang entahkan pasti ada atau tidak dalam diri orang lain.

Sudahnya cikgu cuma sesekali bertanya khabarmu dan ayahmu sahaja.  Cikgu sedia maklum akan kepayahan yang ditanggung oleh ibumu.  Sekadar doa yang mampu cikgu kirimkan, agar Allah memberi kekuatan buat ibumu dan kesembuhan buat ayahmu.

Namun khabar semalam adalah penamat bagi segalanya.  Cikgu doakan agar ayahmu tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman, dan engkau sekeluarga tabah menerima ketentuan itu.  Dalam usia begitu muda engkau telah bergelar anak yatim.  Kehilangan kasih seorang ayah yang telah kembali menemui penciptanya. 

Sesungguhnya ada hikmah di sebalik semua ini.  Hanya Dia sahaja yang maha mengetahui.  Bersabarlah duhai anak. 

Tiada ulasan: