Alhamdulillah, kakimu telah mendarat di bumi bertuah itu. Terima kasih Ya Allah kerana telah mengizinkan anakanda yang seorang ini melanjutkan pelajarannya jauh di seberang.
Bumi bertuah Malaysia telah kautinggalkan pagi semalam berbekalkan doa kudus bonda dan sanak saudara. Bakal bermulalah tiga tahun dalam kehidupan baharu. Jauh dari bonda, adinda-adinda serta nendamu.
Kami dari kejauhan ini mendoakan yang terbaik buatmu, Mardhiyyah. Rezekimu bagi menyambung ijazah di Queen's University Belfast. Lokasinya di Ireland Utara. Begitulah yang dikhabarkan. Tahniah dari kami yang mengenalimu.
Setakat ini kaulah satu-satunya cucu opah yang melangkah jauh mengutip ilmu demi mencapai cita-cita yang terpendam di lubuk hatimu. Kau merupakan anak sulung daripada lima beradik, menjadi contoh kepada adik-adikmu.
Betapa besar pengorbanan ibumu membesarkanmu dan adik-adik. Seorang ibu tunggal yang berjuang seorang diri setelah suami tercinta pergi menghadap Ilahi. Seorang pendidik yang berjiwa kental dan punya kekuatan memberi sepenuh kasih sayang dan segala keperluan seiring zaman yang serba mencabar.
Kenangkan semua itu ya anakanda Mardhiyyah...
Cukuplah sekadar ini dahulu. Jaga diri baik-baik, jaga hubungan dengan Allah, hubungan dengan rakan-rakan, dengan pensyarah malah dengan masyarakat di sana. Bertemanlah dengan kalamullah. Amal ibadah yang menjadi kebiasaanmu, teruskanlah.
Hinggap singgah burung nuri;
Pergi jauh nun di seberang,
Pandai-pandailah menjaga diri.
Tampak cantik seri bertamu;
Selamat pergi aduhai sayang,
Baik-baik menuntut ilmu.
26 Sept 2021, 5.58 pagi minggu.
ktb7 lekiyour
Tiada ulasan:
Catat Ulasan