Khamis, 23 Mac 2023

PERTEMUAN TANPA DIJANGKA

    USAI ke pasar malam ataupun Pekan Rabu petang semalam, aku dan suami singgah minum petang di sebuah kedai makan di tepi jalan. Sebaik-baik duduk di kerusi, kelihatan kelibat jiranku sedang duduk makan di satu sudut dalam kedai yang sama. Makanan yang kupesan kelihatan panas berasap. Terpaksa mengambil masa pula untuk membiarkan ia suam sedikit. Lambat-lambat aku menyuap ke mulut.

    Sendirian nampaknya beliau di meja makan. Menurutnya beliau terpaksa menunggu giliran 'servis' kereta yang terletak di sebelah kedai makan tersebut. Kelihatan beratur kereta di situ. Penat pulang dari kerja dan menanti agak lama, maka beliau memilih utuk makan di situ.

    Dalam pada itu, mataku terpandang sahabat lama yang datang untuk membuat pesanan. Sempat aku menegurnya, lantas dia menghampiri dan duduk di sebelahku sambil menunggu pesanannya siap. Suaminya menanti di dalam kereta. Berita kelahiran cucu keduanya dan masalah kesihatan yang dijelaskan kepada kami sedikit meresahkan. Doaku dalam hati agar Allah permudahkan segala urusan bayi tersebut.

    Sedang asyik bercerita, datang pula sahabat suamiku mendekati meja kami. Kami saling mengenali. 'Orang Kuat' kampung... rasa-rasanya ramai yang mengenali beliau. Ditambah lagi dengan kekuatan suaranya yang tidak dinafikan, tidak perlu pembesar suara jika ada majlis di sekolah atau di kampung. Anak-anakku turut mengenali beliau. 

    Tiba-tiba tempikan suaranya memecah suasana. Rupa-rupanaya dari dalam kedai makan, beliau memanggil sahabat baiknya yang sedang bermotosikal. Agak laju, namun sempat memperlahankan motor dan membelok untuk singgah. Kenalan kami juga, seorang guru yang bakal pencen tidak lama lagi. 

    Setelah mendapat pesanan dan membuat bayaran, sahabatku memohon diri untuk pulang. Sempat pula suamiku melambai suaminya yang masih setia menunggu di kereta. Kalau bersemuka, pasti kian rancak jadinya. Sementelah mereka ada hubungan persaudaraan. Aku melangsaikan bayaran di kaunter sebaik-baik selesai makan manakala suami beredar ke meja 'Orang Kuat' kampung. Entah apa yang dibicarakan, tidak kuketahui.

    Sebelum meninggalkan kedai makan tersebut, kami bertemu pula sepasang suami isteri yang tingal di kejiranan yang sama. Kelihatan juga ibu bapa bekas murid di sekolah lamaku dahulu turut ada di situ. Masih menanti pesanan. Ramai sungguh kenalan kemi yang ditemui di hari terakhir Syaaban. Semoga semuanya dapat menjalani ibadah puasa di Ramadan Mubarak nan mulia.

    


Tiada ulasan: