Isnin, 20 Mac 2023

SEPANJANG JALAN KENANGAN

 SESEKALI bersama kalian... perjalanan sangat mengasyikkan.

    Seawal pagi setelah menunaikan kewajipan terhadap Yang Maha Esa, kami berkereta menuju bandar raya. Suasana agak kelam menandakan subuh masih ada lagi. Kedinginan menyelimuti. Bukannya dingin suasana di luar, ia hanya sekadar dingin ekon. 

    Sesekali aku meninjau-ninjau telefon bimbitku. Membaca khabar yang masuk dan membalas whatsapp mana yang perlu. Kedengaran betapa rancaknya dua orang sahabat di hadapan berbual. Aku memilih duduk di bahagian belakang atas alasan memberi laluan untuk sahabat yang lebih berusia duduk di sisi pemandu. 

    Sebaik-baik aku mengangkat kepala melihat suasana kiri dan kanan jalan... ah sudah, berlainan benar kurasakan. Terasa bagaikan berada di Johor pula. Kiri kanan dipenuhi dengan kelapa sawit. Eh, betul ke jalan ni? Gerak hatiku sedikit debar.

    "Kenapa jauh sangat, tak sampai-sampai" gerutu orang di hadapanku. Rupa-rupanya kami telah terlepas susur keluar tadi. Allahu robbi! Setelah keluar dari lebuh raya, kami berhenti di ruang bawah jejambat sebelum meneruskan perjalanan mengikut jalan lama. Suasana kelam mungkin menjadi asbab kami tidak perasan susur yang perlu kami masuk.

    Sedikit kesal bertenggek di hati... kenapalah aku tidak perhati betul-betul tadi. Semakin jauhlah perjalanan nampaknya. Terasa bersalah pula. Namun aku cuba membantu mengecam jalan lama tersebut agar kami tidak tersasar kali kedua. Keadaan jalan agak berbelok-belok. Aku mengurangkan perhatianku terhadap skrin telefon. Bimbang pula pening kepalaku nanti. Pemandu begitu berhati-hati memandu. Tabik hormat kepada beliau. 

    Akhirnya kami tiba juga di destinasi. Walaupun kelewatan, namun acara utama masih belum bermula. Alhamdulillah, segalanya Allah permudahkan. Kami terlepas acara berjalan kaki sejauh 3.5 km. Walaupun kami sempat mengikuti aktiviti Terapi Ketawa, aku tidak melakukannya dengan sepenuh hati. Risau semput atau asmaku menjadi pula. Aku bukanlah seperti mereka, aku belajar untuk menyedari siapa diriku.

    Acara kemuncak kami hayati bersama-sama. Agak menarik dan mengesankan. Pengalaman seorang bekas guru yang kini bergelar seorang MB begitu menjentik hatiku. Disampaikan  pula secara santai. Aku mengikutinya dengan sepenuh hati, barangkali boleh dijadikan iktibar. Selepas itu beberapa orang wanita tampil ke pentas untuk menerima penghargaan atas pencapaian masing-masing. Sekalung tahniah buat mereka.

    Kami akhiri program Pelancaran Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak tahun 2023 dengan menunggu pemandu mengambil gambar-gambar kenangan dan mendapatkan info berkaitan. Cekapnya insan berbadan kecil ini, mudah-mudahan sentiasa sihat wal'afiat. Kami sebagai penumpang ini sekadar menjadi peneman.

    Dalam perjalanan pulang, sekali lagi tersalah laluan. Alhamdulillah ianya dibetulkan segera. Maknanya kami terpaksa masuk semula ke laluan sebenar sebelum meneruskan perjalanan. Kesilapan siapakah itu? Emm...wallahu'alam. Walau apapun terjadi, kami tetap bersama. Saling membantu dan menenangkan.

    Keasyikan bercerita mengenai resipi dan masakan dalam suasana perut yang berkeroncong, menjadikan suasana menyegarkan. Celik mata kami. Tanpa sedar stering terlepas dari tangan kerana teruja menunjukkan gaya memasak. Amboi, hebatnya chef kita! Dialah pemandu, dialah chef. 

    Kami sempat singgah makan ikan bakar cicah air asam disamping nasi putih dan sayur kampung. Begitu menyelerakan. Alhamdulillah. Rasa kantuk pemandu kami hiasi dengan bercerita dan mengajaknya berbicara. Hendak bertukar pemandu, seolah-olah tidak diberi kepercayaan sepenuhnya. Maka kami tetap menjadi penumpang sepenuh masa.

    Terima kasih cikgu dan teacher... menimba pengalaman dan ilmu di bandar raya walaupun tersilap jalan terlajak laluan. Mudah-mudahan perjuangan tetap kita teruskan berbekalkan ilmu dan pengalaman. Insya-Allah.



Tiada ulasan: