Sesungguhnya apa yang ada pada diri kita semua adalah pinjaman belaka. Tidak ada satupun milik kita. Kalau kita kehilangan benda-benda berharga yang telah lama kita miliki, yang terlalu kita sayangi....... cepat-cepatlah kita kembali menginsafi diri. Semua itu adalah pinjaman sementara. Bila-bila masa Allah boleh beri pada kita, dan bila-bila masa juga Allah boleh tarik daripada kita hatta sedikit ilmu yang ada pada kita jua!
Barangkali mungkin ada dalam kalangan kita yang kehilangan anak, isteri atau suami yang dikasihi. Sekiranya kita benar-benar memahami bahawa semua itu milik Allah..... maka tidak ada apa yang perlu kita sedihkan atau terkilan andaikata Allah tarik balik semua itu daripada kita. Cuma kekadang nampak benar seolah-olah kita tidak rela atau redho menerima kenyataan. Apatah lagi kiranya kita kehilangan anak yang dikasihi. Anak yang sembilan bulan kita kandung, dibawa bersama ke hulu ke hilir. Kemudian dijaga bagai menatang minyak yang penuh.
Setelah itu, dia semakin dewasa meniti hari-hari mendatang dengan bimbingan dan asuhan kita. Kita mencoraknya mengikut apa yang kita ingini. Membesar dalam jagaan dan doa kita. Tapi kiranya Allah ambil dia daripada kita, acapkali apa yang terkeluar dari bibir kita....... "Apa salah kita?", "Mengapa Engkau ambil dia lebih dulu?", "Apa dosaku?", hinggakan kekadang seorang ibu itu hilang akal dan menjadi kurang waras akibat daripada kehilangan insan tersayang itu.
Alangkah bertuahnya sekiranya kita memulangkan semula apa yang dipinjam itu dengan penuh rela, penuh redho. Barang yang kita pinjam, wajarlah kita pulangkannya semula kepada tuannya. Mana tahu mungkin Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik. Itu semua kerja Allah. Ada hikmah di sebalik musibah. Sesungguhnya hanya Allah sahaja Maha Tahu. Jangan tertekan dengan semua permasalahan itu. Pulangkan semua kepadaNYA. Sesungguhnya tidak ada satu pun milik kita. Bersyukurlah pada Allah kerana memberi peluang kepada kita memiliki sesuatu itu buat sementara. Berpeluang merasa nikmat dan anugerah Allah yang tidak terhingga banyaknya.
Harta, wang ringgit, emas permata, kediaman yang mewah, kereta besar, isteri jelita, suami kacak tampan bergaya, anak-anak yang berjaya............. semua itu sesungguhnya pinjaman belaka. Sentiasalah kita ingat bahawa semua yang ada itu Allah yang punya. Dan kita hanya mengusahakannya sahaja. Bila kita meninggalkan dunia fana ini pun, tidak ada apa yang akan kita bawa ke sana nanti. Hanya amal ibadah yang dapat membantu kita. Juga doa dari anak yang soleh. SESUNGGUHNYA TIDAK ADA SATU PUN MILIK KITA.......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan