Memaparkan catatan dengan label WANITA PADA ZAMAN RASULULLAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label WANITA PADA ZAMAN RASULULLAH. Papar semua catatan

Sabtu, 21 Februari 2015

HINDUN BINTI 'UTBAH RA

Hindun adalah seorang wanita Quraisy yang amat jelas fikiran dan kecerdasan!  Selain itu, dia adalah penyair yang baik dan terkenal dengan syair yang disusun untuk membangkitkan semangat dalam Perang Badar.  Namanya sebenarnya Hindun binti Utbah bin Rabiah bin Abdi Syams al-Abasyiah al-Qurasyiah.

Pada waktu sebelumnya, wanita yang bernama Hindun ini menghabisi masanya dengan permusuhan yang sangat besar dengan Rasulullah, Islam dan Muslimin.  Selalu berhias dengan perhiasan emas.  Dan dengan apa yang dimilikinya, berusaha menghentikan perjalanan Islam.  Dia bersama berhala-berhalanya berada dalam kesombongan.

Di dalam peperangan Badar, di pihak musyrikin ada beberapa kerabat Hindun, antaranya ialah ayahnya, saudara kandung, bapa saudara  dan suaminya. Namun Hindun tidak menangisi kekalahan dan kehilangan keluarganya.  Kemenangan kaum Muslimin dalam perang tersebut menyebabkan Hindun menyimpan dendam terhadap Muhammad dan sahabat-sahabatnya.  Dia berhasrat untuk membunuh kaum Muslimin yang membunuh keluarganya dalam Perang Badar itu.

Hindun menyertai Perang Uhud kemudiannya, di mana waktu itu Pasukan Quraisy telah berjaya membalas dendam kekalahan di Badar.  Kematian Hamzah bin Abdul Muthalib amat menggembirakan hatinya.  Hamzah yang terbunuh di tangan Wahsyi dirapati dan mayatnya diseksa dan dipotong-potong, hal-hal yang terkeji dilakukan ke atas jasad itu.

KEISLAMAN HINDUN

Hindun memeluk Islam pada suatu malam setelah melihat orang Islam solat, berdiri, rukuk

dan sujud menyembah Allah.  Rasulullah tidak menghukum atas apa yang telah dilakukannya terhadap Hamzah.  Rasulullah membacakan Quran dan membaiah Hindun dan beberapa orang yang memeluk Islam.  

Setelah berada di jalan Allah, Hindun tidak lagi menumpahkan darah, sifat liar telah hilang dari dalam dirinya.  Allah SWT telah mensucikan hatinya, dia tidak lagi tunduk kepada akidah yang rosak.  Berhala yang ada di rumahnya dihancurkan kesemuanya.  

Hindun binti Utbah RA mempunyai kata-kata indah yang kaya dengan maknanya.  Pola pemikirannya cukup baik.  Buah fikirannya cukup bernas dan akal yang pintar.  Hindun binti Utbah RA sangat menghormati Saidina Umar RA.  Dan anaknya yang bernama Mu'awiyah telah dilantik oleh Umar sebagai pemimpin di Syam.  Mu'awiyah mewarisi kepintaran dan idea cemerlang daripada ibunya.

Hindun mengikuti jalan hidupnya dengan memelihara apa yang telah dibaiahkan oleh Rasulullah SAW pada dirinya.  Dia menghabiskan beberapa tahun dalam naungan islam dengan kesan yang mulia.  Beberapa riwayat menyebut beliau wafat pada tahun 14H. Mudah-mudahan Allah meredhainya dan menempatkannya dalam naungan rahmat-Nya.  Amin. 

Selasa, 15 Julai 2014

SALMA BINTI SAKHR

Salma binti Sakhr merupakan kaum wanita dari Bani Taim, juga wanita terawal memeluk Islam.  Nama penuh wanita ini ialah Ummu Khair Salma binti Sakhr Ibnu Amir Ibnu Ka'ab Ibnu Sa'ad Ibnu Taim Ibnu Murrah.  Beliau mengumpul sifat-sifat terpuji, dan mengamalkannya dalam segala aspek kehidupannya.

Beliau merupakan ibu kepada khalifah Abu Bakar ash-Shiddiq.  Beliau sangat berbakti kepada Rasulullah SAW. Rasulullah adalah kawan bermain anaknya, iaitu Abu Bakar ash-Shiddiq.  Suaminya bernama Utsman Abu Qahafah, seorang sahabat memeluk Islam pada hari penaklukan kota Mekah.

Ummu Khair Salma binti Sakhr memeluk Islam sejak di rumah Arqam Ibnu Abu Arqam di Mekah dan membaiah Rasulullah SAW. Keislaman bondanya ini menggembirakan hati Abu Bakar ash-Shiddiq.  Dan ketika Rasulullah SAW menakluk kota Mekah, Allah telah membuka hati ayahnya pula iaitu Abu Qahafah memeluk Islam.  Tiada orang lain daripada golongan Muhajirin selain Abu Bakar yang kedua orang tuanya memeluk Islam.

Ummu Khair bersama yang lainnya berhijrah ke Madinah agar dapat beribadah dengan tenang kepada Allah setelah diperintahkan oleh Rasulullah SAW. Dia telah menyaksikan semua peristiwa pada zaman Rasulullah.  Baginda meninggal dunia dalam keadaan redho kepada Ummu Khair.  Setelah itu kaum Muslimin membaiat Abu Bakar sebagai khalifah Rasulullah SAW.Allah memuliakan Abu Bakar ash-Shiddiq dengan keislaman kedua orang tuanya, anak-anak dan cucu-cucunya.  Ketika Abu Bakar meninggal dunia, kedua orang tuanya mewarisi segala hartanya.  Namun Abu Qahafah mengembalikan harta warisan tersebut kepada anak-anak Abu Bakar ash-Shiddiq.

Ummu Khair banyak berbuat baik dalam kehidupannya sehinggalah dia kembali kepada Allah.  Beliau meninggal dunia setelah beberapa bulan anaknya Abu Bakar meninggal terlebih dahulu.  Semoga Ummu Khair di tempatkan di dalam syurga-Nya yang luas.  Amiiin.

Sumber Rujukan : Peranan Wanita Pada Zaman Rasulullah
Terjemahan oleh : Ustaz Johari Yaman


Ahad, 31 Mac 2013

DURRAH BINTI ABU LAHAB R.A.

Durrah binti Abu Lahab merupakan sepupu Rasulullah.  Beliau menolak semua tindakan ayahnya, Abu Lahab yang tidak akan memberinya sebarang faedah daripada hartanya yang banyak.

Walaupun banyak tekanan dari persekitarannya, Islam mendapat tempat di hatinya yang bersih dan telinganya yang mendengar.  Akhirnya Durrah memeluk Islam.  Allah SWT telah mengeluarkannya daripada kegelapan kepada cahaya keimanan.    Durrah binti Abu Lahab ikut berhijrah ke Madinah. Beliau telah memperoleh pahala orang-orang yang berhijrah.  

Di Madinah Munawarah, Durrah binti Abu Lahab memiliki kedudukan yang tinggi dalam kalangan sahabat wanita, tetapi pandangan sinis daripada beberapa wanita telah membuatnya bersedih, kerana mereka melihatnya seorang puteri Abu Lahab yang telah menjadi musuh Allah dan Rasul-Nya.  Rasulullah SAW dengan segera menangani perkara tersebut dengan menjelaskan bahawa seseorang itu tidak akan memikul dosa orang lain.  Manusia tidak memiliki kecuali apa yang mereka telah usahakan.  Segala perbuatannya akan diperlihatkan dan akan dibalas dengan balasan yang sebanding.

Durrah binti Abu Lahab tidak pernah berjauhan dari rumah Rasulullah.  Beliau sering mengunjungi Aisyah Ummul Mukminin untuk mempelajari ilmu dan fikh.  Kadangkala dia berlumba dengan Aisyah untuk berkhidmat kepada Rasulullah SAW.  Beliau juga adalah salah seorang penyair-penyair wanita Quraisy yang telah meriwayatkan hadis Rasulullah.  Selain meriwayatkan hadis Rasulullah, Durrah sangat hebat dalam bersyair.  Syair-syairnya mengandungi erti yang sangat elok dan mendalam.  

Durrah selalu menjaga dan memelihara kedudukannya dan sebelum baginda wafat, baginda meredai Durrah binti Abu Lahab.  Beliau hidup sehingga ke tahun 20H.  Dia meninggal dunia pada zaman khalifah Umar Ibnu Khathab RA selapas mewarnai sejarah hidupnya dengan warna-warna kegemilangan yang baik dalam sejarah wanita.  Semoga Allah SWT sentiasa mencurah keredhaan-Nya ke atas Durrah binti Abu Lahab.



Rujukan :   Buku Peranan Wanita Pada Zaman Rasulullah
Terjemahan oleh Ustaz Johari Yaman

Sabtu, 2 Februari 2013

AFRA BINTI UBAID AL-ANSHARIAH RA

Sumber riwayat hidupnya mengatakan bahawa Afra binti Ubaid berkahwin dengan Harits ibnu Rifa'ah al-Najjari.  Anak-anak yang lahir dari pernikahan ini ialah Mu'az, Mu'awwiz dan 'Auf.  Mereka bertiga digelar dengan panggilan anak-anak Afra.Setelah suaminya menceraikannya, Afra datang ke Mekah.  

Setelah itu dia berkahwin dengan Bukair Ibnu Abu Yalail al-Laitsi.  Dari pernikahan ini maka lahirlah empat orang anak, iaitu Aqil, Khalid, Iyyas dan Amir.  Mereka berempat termasuk orang pertama yang berjanji setia dengan Rasulullah di Mekah di dalam rumah Arqam Ibnu Abu Arqam RA.

Ada sumber rujukan mengatakan bahawa Afra telah kembali dan menetap di Madinah sebelum kemunculan Islam.  Pada musim haji tahun ke 11, dakwah Islamian mulai menumbuhkan benih-benih yang subur.  Dalam peperangan Badar kesemua anak-anak Afra ikut serta.  Dengan demikian , Afra binti Ubaid adalah seorang sahabat wanita yang mempunyai tujuh orang anak yang ikut hadir dalam perang Badar bersama Rasulullah SAW.  Aqil, 'Auf dan Mu'awwiz mati syahid dalam perang Badar tersebut.

Afra binti Ubaid menunjukkan sikap dan pendirian yang menakjubkan dan menunjukkan kekuatan imannya.  Ketika kedua-dua anaknya 'Auf dan Mu'awwiz mati syahid dan yang selamat hanya Mu'az, dia datang kepada Rasulullah dan berkata, " Wahai Rasulullah, yang tinggal adalah anakku yang jahat?"  Rasulullah menjawab, "Tidak".  Seolah-olah Afra mengharapkan agar semua anaknya mendapat penghormatan mati syahid di jalan Allah.  

Dengan demikian, Afra telah mendapat pujian suci daripada Rasulullah SAW.  Afra memiliki kedudukan yang baikdi sisi Saudah Ummul Mukminin.  Iman ath-Thabarri Rahimahullah ada menyebut bahawa Saudah binti Zam'ah Ummul Mukminin datang ke rumah keluarga Afra untuk meringankan kesedihan mereka atas pemergian 'Auf dan Mu'awwiz.

Begitulah kisah hidup sahabat wanita yang ditemukan dalam sejarah.  Imannya telah mendorongnya untuk mengorbankan anak-anaknya di jalan Allah.  Meskipun sejarah tidak mencatat tahun kelahiran dan kematiannya, namun sejarah tidak pernah lupa untuk mencatat jasa-jasanya.

Semoga Allah SWT sentiasa mencurahkan keredhaan-Nya ke atas Afra binti Ubaid dan anak-anaknya dan menjadikan mereka orang yang mendapat rahmat-Nya bersama para shiddiqin, syuhada' dan orang-orang soleh.  Amin.

(Rujukan Buku : Peranan Wanita Pada Zaman Rasulullah) terjemahan oleh Ustaz Johari Yaman.
                                 




Isnin, 7 Januari 2013

KHAULAH BINTI HAKIM RA

Khaulah binti Hakim Ibnu Umaiyah as-Sulamiah.  Beliau merupakan isteri kepada Utsman Ibnu Maz'un dan beliau digelar dengan Ummu Syuraik.  Khaulah binti Hakim memeluk Islam bersama kumpulan pertama memeluk Islam di kalangan Muslimin.

Sejak mengenali Islam dan manisnya iman, hatinya disinari cahaya kebenaran dan beliau sangat gembira menjadi sahabat wanita Rasulullah.  Beliau telah berkhidmat kepada Baginda dan membantunya dalam beberapa perkara yang menyebabkannya memperoleh keistimewaan dan keuntungan.


Perkara yang mengharukan dalam sejarah hidup Khaulah ialah perhatian beliau terhadap beberapa urusan Rasulullah dan usahanya untuk membahagiakan hati Baginda.  Apabila baliau melihat Baginda bersedih di atas pemergian Khadijah, beliau telah melamar Saudah binti Zam'ah dan Aisyah binti Abu Bakar untuk Baginda.  Itupun dengan izin Baginda Rasulullah SAW.  

Khaulah binti Hakim sering menjenguk para isteri Rasulullah SAW.  Mereka sangat menghormatinya dan bertanya keadaannya.  Apa yang mengharukan ialah sahabat wanita ini adalah kefasihan kesempurnaan adab dan perasaannya yang lembut.  Ketika suaminya meninggal dunia dia meratapinya dalam sebuah syair yang menyentuh hati.  Kedua-dua orang anak hasil pernikahannya dengan Utsman Ibnu Maz'un, iaitu Sa'ib dan Abdur Rahman memiliki peranan penting dalam emmbina benteng Islam.

Khaulah binti Hakim telah meriwayatkan lima belas buah hadis terus daripada Rasulullah.    Di medan jihad, beliau juga memiliki jasa yang baik.  Beliau telah ikut berjihad ke Thaif.    Satu penghormatan bagi Khaulah binti Hakim ketika Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 50 menyebutnya sebagai seorang wanita mukminah dan alangkah mulianya beliau.  Beliau telah menjauhkan dirinya dari kehidupan dunia dan mendekatkan dirinya dengan akhirat.   

Rujukan :  Buku Peranan Wanita pasa Zaman Rasulullah
Terjemahan : Ustaz Johari Yaman
Terbitan :  Nadi Minda Resources





Ahad, 9 Disember 2012

UMMU HANI BINTI ABU TALIB RA

Ummu Hani anak kepada bapa saudara Rasulullah SAW, Abi Thalib bin Abdul Manaf bin Hashim, al-Hasyimiah al-Makkiah. Ibunya adalah seorang tuan yang mulia, Fatimah binti Asad bin Hasyim, beliau adalah daripada golongan Muhajirin yang dibaiah, ibu kepada semua anak Abi Thalib, iaitu Ali, Ja'far, Uqail, Thalib dan Ummu Hani.  Dia telah mewarisi kefasihan daripada bapanya yang merupakan salah seorang yang fasih berbahasa Quraisy dan ahli sastera.  Begitu juga dia mewarisi akhlak daripada ibunya, Fatimah binti Asad yang membuatnya menjadi salah seorang wanita terhormat dalam dunia Islam.

Ummu Hani agak lambat memeluk Islam tetapi semua bukti mengatakan bahawa Ummu Hani tidak pernah menentang dan memerangi dakwah Islam.  Dia merupakan orang yang amat menghargai dan menghormati Islam. 

Berbagai sumber sependapat beliau memeluk Islam bertepatan dengan peristiwa Fathu Makkah (Pembukaan Kota Mekah).  Selepas peristiwa bersejarah itu, Ummu Hani menyingkap dengan sikap yang amat mulia.  Pada hari tersebut, Rasulullah SAW masuk ke rumah Ummu Hani, mandi kemudian solat sebanyak 8 rakaat.  Solat ini disebut solat kemenangan.  Para pemimpin Islam apabila menakluk negeri musuh, mereka solat dengan solat kemenangan.

Di zaman jahiliah, wanita mempunyai kuasa untuk membebas dan menjamin orang tawanan.  Ummu Hani juga telah menjamin dan membebaskan dua orang lelaki daripada keluarga suaminya, yang dihukum mati oleh Rasulullah SAW, kemudian baginda mengabulkan pembebasannya. Ummu Hani juga telah meriwayatkan daripada Rasulullah SAW sebanyak 46 buah hadis. 

 Ummu Hani mempunyai kelebihan yang sangat banyak.  Yang terbesar adalah bahawa peristiwa Israk  dan Mikraj bermula dari rumahnya di Mekah.  Antara keutamaan lain Ummu Hani ialah tentang adabnya terhadap Rasulullah SAW.  Beliau menyertai Peperangan Khaibar bersama Rasulullah SAW.

Semoga Allah menempatkannya dengan limpahan kasih sayang-Nya bersama para abrar dan solehin, dan segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Rujukan : Buku Peranan Wanita Pada Zaman Rasulullah
Terjemahan oleh : Ustaz Johari Yaman
   


Isnin, 8 Oktober 2012

LAILA BINTI ABU HATHMAH

PADA zaman awal kemunculan Islam, sekelompok kaum lelaki dan wanita dengan pantasnya bersatu di bawah satu petunjuk dan agama yang benar.  Salah seorang daripada kelompok itu ialah Laila binti Abu Hathmah Ibnu Huzaifah al-Qurasyiah al-Adawiah.  Isteri seorang sahabat yang mulia bernama Amir Ibnu Rabi'ah RA.  Suaminya adalah sekutu Khathab Ibnu Naufal iaitu ayah kepada Umar Ibnu al-Khathab.  

Pasangan suami isteri Laila dan Amir memeluk Islam sejak sekian lama sebelum Rasulullah SAW masuk ke rumah Arqam Ibnu Abu Arqam dan berdakwah di dalamnya.  Dari pernikahannya itu Laila melahirkan anaknya yang bernama Abdullah Ibnu Amir.

Keimanan kepada Allah SWT memiliki pengaruh yang sangat besar pada jiwa Laila.  Dia selalu melihat dengan cahaya Allah.  Telah menjadi satu kenyataan firasat yang terdetik di dalam jiwa Laila binti Abu Hathmah dengan keIslaman Umar Ibnu al-Khathab.  Dia telah mempunyai firasat bahawa Umar akan memeluk Islam pada ketika semua orang beranggapan bahawa satu hal yang mustahil kalau Umar Ibnu Khathab akan memeluk Islam.  Sesungguhnya hati Laila itu telah berkata benar.  Umar Ibnu Khathab datang kepada Rasulullah SAW dan mengisytiharkan keislamannya.  Ternyata kekerasan dan seksaan yang datangnya daripada Umar Ibnu Khathab tersimpan sumber rahmat dan kasih sayang.

Laila bersama suaminya berangkat bersama kelompok awal yang berhijrah ke Habsyah.  Rombongan ini dipimpin oleh Uthman Ibnu Affan RA.  Ini merupakan hijrah pertama dalam Islam.  Laila binti Abu Hathmah memeluk Islam sejak sekian lama dan ikut berbaiah.  Dia berhijrah dua kali ke Habsyah.  Kemudian berhijrah ke Madinah.  Dikatakan Laila adalah wanita pertama masuk ke Madinah berhijrah dengan menaiki seekor unta.

Laila binti Abu Hathmah memiliki kedudukan yang mulia di sisi Rasulullah SAW.  Baginda sering datang menjenguknya dan bertanya tentang keadaannya.  Kemudian mengarahkan Laila kepada hal-hal yang memberinya kebahagiaan.

Laila selalu memainkan peranannya sebagai seorang sahabat wanita dan sebagai contoh bagi kaum wanita yang lain.  Sumber sejarah tidak menyebut tahun berapa Laila meninggal dunia.  Meskipun demikian hembusan-hembusan wangi daripada sejarah sahabat wanita ini dan firasatnya yang tajam selalu menjadi kenangan kita semua.

Rujukan : Buku Peranan Wanita Pada Zaman Rasulullah
               Terjemahan oleh Ustaz Johari Yaman

Sabtu, 26 Mei 2012

ATIKAH BINTI ZAID


Atikah binti Zaid Radhiyallahu Anhu merupakan seorang wanita mukminah, fasih percakapan, penyair dan berkahwin dengan beberapa orang lelaki yang semuanya mati syahid ketika hayatnya.

Beliau terkenal di kalangan sahabat wanita sebagai seorang wanita yang fasih, berkemampuan dalam bersyair dan kekuatan akalnya.  Beliau telah mewarisi perkara tersebut daripada ayahnya, Zaid Ibnu Amru, salah seorang yang telah menghina berhala-berhala kaum Quraisy pada zaman jahiliah.

Dengan mewarisi cara berfikir ayahnya dan akhlak mulia, Atikah binti Zaid menjadi dewasa dan telah mewarisi kefasihan, kemampuan bersyair, kelembutan perasaan, ketajaman hati, kesucian jiwa untuk beriman kerana ketika awal kemunculan Islam di Mekah, dengan pantasnya Atikah mempercayainya.  Kemudian dia memeluk Islam dan berbaiat kepada Rasulullah.  Ketika perintah berhijrah datang, dia ikut keluar berhijrah.

Ibnu Katsir Rahimahullah menyebut bahawa Atikah adalah salah seorang daripada wanita-wanita yang cantik dan kuat beribadat.  Dia telah berkahwin dengan seorang sahabat ayahnya iaitu Abdullah Ibnu Abu Bakar ash-Shiddiq RA.  Abdullah ikut serta bersama Rasulullah SAW dalam perang Thaif.  Dalam peperangan tersebut dia cedera parah dan akhirnya beliau meninggal secara syahid.

Pernikahan Atikah kali kedua pula adalah dengan Umar Ibnu Khathab.  Kehidupannya bersama suaminya ini dipenuhi dengan keadilan, zuhud dan ibadah.  Sifat-sifat ini semakin membesar dalam dirinya.  Khalifah Umar Ibnu Khathab telah ditikam oleh seseorang ketika beliau sedang solat di masjid.  

Kemudiannya Zubair Ibnu Awwam pula melamar Atikah. Suami ketiga Atikah ini pula terbunuh secara zalim ketika perang Jamal (unta) di Wadi Siba.  Dia telah dibunuh oleh Amru Ibnu Jurmuz tahun 36H.  Setelah berakhir masa iddahnya, Ali Ibnu Abu Thalib pula melamarnya.  Atikah mengutus sepucuk surat yang kandungannya:
      "Ya Amirul Mukminin!  Hanya engkau yang tertinggal dan engkau pemimpin kepada kaum muslimin, sesungguhnya aku bimbang terhadapmu wahai sepupu Rasulullah.  Semua yang berkahwin denganku  akan mati terbunuh."

Atikah binti Zaid telah meratapi mereka semua melalui syair-syairnya.  Dia adalah seorang wanita paling tabah dalam menghadapi musibah.  Dia telah menjadi wanita yang terunggul dengan syair-syair ratapan.  Dia telah mencapai puncak dalam syair ratapan letika dia meratapi pemergian Rasulullah SAW melalui syairnya.

Atikah binti Zaid hidup dengan penuh beribadah dan zuhud sepanjang zaman Khalifah ar-Rasyidin dan pada tahun 40H, Atikah meninggal dunia menuju kepada Penciptanya.  Semoga Allah SWT mencurahkan keredhaan-Nya dan menerangi kuburnya serta diberi kenikmatan bersama orang-orang yang dicintainya.

(Rujukan : Buku Peranan Wanita Pada Zaman Rasulullah)
 Terjemahan oleh Ustaz Johari Yaman 
 Terbitan Nadi Minda Resources