Selasa, 13 September 2022

TEGURAN ALLAH


     UJIAN yang datang itu sebenarnya tanpa kita sedari bahawa Allah sedang menjentik hati kita. Barangkali mungkin kita telah terleka, asbab itulah Allah 'menghadiahi' ujian tersebut khas untuk kita.  Maka berbaik sangkalah terhadap-Nya.  Sesungguhnya ada hikmah di sebalik musibah atau ujian yang datang. Tersentak kita, bukan?

    Sedang elok-elok kita berkawan, tiba-tiba Allah menghendaki suatu musibah menimpa. Perkara yang tidak pernah berlaku dalam hidup kita tiba-tiba Allah hadirkan hingga kita amat terkesan dengannya. Mungkin begitu caranya Dia menegur kita. 

    Cuba kita renung kembali atau muhasabah diri... kita tenung dalam-dalam. Buka minda selayaknya. Adakah diri kita pernah membuat percaturan yang betul?  Atau kita telah terjerat dengan permainan yang dicipta oleh musuh kita yang licik, iaitu syaitan. Hingga akhirnya kita tersilap langkah dan terjerumus di dalam silang kata yang diciptanya. Seterusnya kita menjadi mangsa. 

    Kekadang kita beranggapan bahawa kita dipihak yang benar, dan tindakan kita dianggap betul. Sedangkan dari sisi pandang yang lain kita sebenarnya telah silap membuat perhitungan. Jika dahulu kita mungkin mempunyai kekuatan berbekalkan ilmu yang kita pelajari di sekolah mahupun di pusat pengajian tinggi, namun tanpa disedari sedikit demi sedikit kita digoda dengan 'gula-gula' yang dihidangkan. Hinggakan hati kita berbunga dek godaan yang mengelabui mata. Terlalu banyak dugaan di luar sana, memang tidak dinafikan.

    Sedarkah kita waktu itu, kita berkawan hingga merasakan bahawa dunia kita yang punya... Itu sebenarnya cuma pada tanggapan kita. Semua tindakan yang kita lakukan, kita anggap betul belaka. Keputusan yang kita ambil rupa-rupanya salah dan berdosa. Jika dahulu kita patuh pada suruhan Allah, larangan-Nya kita amat titikberatkan.... namun kini secara tanpa sedar kita telah membuka sedikit ruang untuk syaitan bertenggek.

    Jika dahulu kita kenal halal haram dan kita tahu mana yang boleh dan mana yang tidak. Namun kini kita ambil mudah semua itu. Pemberatannya telah kita anggap 'tidak mengapa', 'apa salahnya' dan kita 'tahu batasannya'. Atas dasar itu, sedikit demi sedikit kita berani keluar dari kepompong yang kita anggap bagai mengurung diri kita. Kita yang dahulunya mengehadkan pergerakan, kini telah mula tersasar.  Perasankah kita?

    Kita dahulu yang pernah menutup ruang dan menguncinya dengan sebaik mungkin, kini kita membukanya sendiri. Sedarlah bahawa mata-mata syaitan itu sentiasa mengintai peluang yang ada. Keseronokan yang dirasakan berjaya memancing hati kita itu perlu diawasi. Oleh itu berjaga-jagalah. Cuba renung ke dalam diri... dahulu aku bagaimana? 

    Berhati-hatilah memilih kawan. Kawan yang baik sedikit sebanyak tempiasnya akan terkena kepada kita juga. Ibarat berkawan dengan penjual minyak wangi, maka kita akan mendapat bau wanginya juga. Justeru, kalau kita tidak mampu untuk menegur kesilapan kawan, jangan kita pula mengikut jejak langkahnya. Mungkin ada orang tengah yang boleh membantu kita dalam menangani permasalahan tersebut. Berikhtiarlah semampu yang boleh. Kalau tidak ada daya membantunya, doakanlah dia.

    Kembalilah meletakkan diri kita betul pada treknya. Jadilah seperti kita yang dahulu. Cara berkawan sedemikian itu bukan kolot namanya, walaupun mungkin ada yang melabelkan  sedemikian. Bergaul ada had dan batasannya, apatah lagi dengan yang bukan mahram. Jangan mudah terpengaruh dengan orang sekeliling, walaupun dia mungkin kawan baik kita. Sentiasa berwaspada. 

    Tika sedang enak berkawan, tiba-tiba Allah memberi 'teguran'...... segeralah muhasabah diri. Semak apa yang mungkin kita terlepas pandang. Wallahu'alam.

    

Tiada ulasan: