Rabu, 25 Ogos 2021

31 OGOS YANG LALU & HASIL MAHSUL KAMPUNGKU

KENANGAN 31 OGOS

 Masih kuingat lagi zaman ayah bekerja lombong dahulu.  Zaman kanak-kanak bagiku amat menyeronokkan. Apa tidaknya... bila tiba sahaja tanggal 31 Ogos, ayah akan membawa pulang dua bungkusan hadiah untuk kami adik beradik.  Untuk aku satu, untuk abang satu. Besar sungguh bungkusannya!

Hadiah yang aku maksudkan itu ialah bungkusan plastik yang berisi 'jajan' atau makanan, mainan dan juga bendera Malaysia.  Bukan kepalangnya gembira hati kami.  Setiap bungkusan itu mengandungi pelbagai jenis makanan termasuk gula-gula, coklat dan biskut, Dan yang penting ada bendera Malaysia yang boleh kami letakkan pada hendal basikal.

Masing-masing pekerja lombong itu akan menerima bungkusan berkenaan mengikut bilangan anak mereka.  Kalau ramai anak, banyaklah bungkusan yang akan diterima untuk dibawa pulang.  Dan tiap-tiap tahun ayah akan membawa pulang dua bungkusan!  Sebab anak ayah dua orang sahaja. Iaitu abang dan aku.  

Bab adik beradik ini, kami agak miskin.  Namun aku tetap bersyukur kerana aku masih ada kawan untuk sama-sama bermain dan juga 'berperang'.  

Aku agak berjimat.  Kesemua makanan tersebut tidak akan kuhabisi sekaligus.  Makanan itu kumakan sedikit demi sedikit.  Kadang-kadang di penghujung September masih lagi berbaki. Ia akan jadi bertahan lebih lama kalau 31 Ogos itu jatuh dalam bulan puasa.

Selagi namanya pekerja lombong, tidak kira bahagian mana sekalipun....buah tangan itu mereka akan dapat mengikut bilangan anak. Ya, mengikut bilangan anak masing-masing!

Hadiah bungkusan sempena 'Hari Merdeka' itu diterima saban tahun. Apabila ayah berhenti, maka tidak ada lagi pemberian istimewa seperti itu. Keputusan berhenti kerja itu diambil tatkala lombong bijih itu masih rancak beroperasi.   Kami tidaklah hidup mewah.  Namun aku rasa serba cukup semuanya. Alhamdulillah.

BIJIH TIMAH

Semasa tinggal di Kampung Pisang, seringkali aku melihat ramai orang pergi 'melanda' di lombong berhampiran.  Mereka beramai-ramai menuju ke lombong dengan membawa dulang yang berupa kuali besar tanpa telinga.  Mereka memakai topi lebar untuk melindungi wajah dan kepala daripada panas matahari. 

Hasil yang diperoleh akan dijual kepada tauke di pekan lama Batu Gajah. Kehidupan agak mewah pada waktu itu.  Mudahnya mencari rezeki.  Cuma kena rajin sahaja.  Asyik aku memerhatikan mereka terbongkok-bongkok melanda ataupun mendulang bijih.

Mula-mula mereka menenggelamkan dulang itu sambil mencedok ke dasar tanah. Kemudian diangkat sambil melenggang-lenggangkan dulang itu di air bagi mengasingkan tanah daripada bijih.  Oleh kerana bijih timah itu berat, ia akan mendap di dalam dulang manakala tanah dan kekotoran lainnya akan terasing.

Cuma sedikit cabaran yang harus ditempuh ialah keadaan panas mentari yang membakar.  Megahnya bumi bertuah pada era 60-an dan 70-an itu.  

Ayah kadang-kadang membawa kami berbasikal di sekitar kawasan lombong tempatnya bekerja.  Kami asyik memerhati 'raksaksa besi' yang berat tetapi peliknya ia tetap timbul di permukaan lombong itu.  Kami menyebutnya 'kapal dojo'.  Itulah kapal korek yang menjadi kebanggaan penduduk sekitar.

Betapa banyak bijih yang terdapat di dasar lombong itu tidaklah kami ketahui.  Waktu itu Batu Gajah cukup dikenali kerana bijih timahnya. Bangunan kesan tinggalan Inggeris yang menjadikan Batu Gajah sebagai pusat pentadbirannya masih berdiri kukuh sehingga kini.

TINGGALAN SEJARAH

Tidak ada apa-apa pun yang tinggal lagi. Tapak lombong tempat ayah bekerja dahulu kini telah dijadikan  Depot Keretapi Batu Gajah. 

Sesekali apabila pulang ke kampung, kami akan melewati kawasan lombong yang luas saujana mata memandang.  Masih terbayang-bayang akan kapal koreknya, kenangan berbasikal bersama ayah dan saat-saat indah ketika kami memancing bersama.

Landasan kereta api serta gerotaknya bagai bermain di ruang mata.  Ingatanku mula menerawang pada sahabat lama sama sekampung. Pada Ita yang dah pergi lebih dahulu meninggalkan kami.  Odah, Uja, Enab dan beberapa orang kawan lelaki yang sama-sama bersekolah rendah di SK Batu Gajah. Aku kembali teringat jiran-jiranku Nyah Lon, Pak Meor, Cikgu La ...... 

Teringat kawan-kawan ayah... Pak Cik Yusof, Pak Cik Rais, Pak Cik Mat Yen, Pak Badaruddin...yang sama-sama kerja lombong dahulu.  Didoakan mudah-mudahan sihat walafiat sekiranya masih ada, dihadiahkan bacan Fatihah buat mereka andaikata telah mendahului kita menemui Yang Maha Esa,

Kampung Pisang dalam kenangan.... rinduku tidak bertepi.



Tiada ulasan: