Sabtu, 28 Ogos 2021

KENANGAN SUNGGUH......

 Barangkali ramai dalam kalangan kita mengenali terung pipit ataupun terung rembang.  Terung yang berjambak-jambak.  Bentuknya bulat-bulat kecil mudah ditemui di mana-mana sahaja.  Kebiasaannya jarang ditanam orang.  Sedap kalau ditumis dengan ikan bilis.

Begitulah rezeki yang Allah nak beri.  Mungkin Dia kirimkan makhluk lain sebagai agen pembawa benih pokok tersebut ke mana sahaja yang dikehendaki. Syukurlah di sebelah rumah ni terdapat lima enam batang pokok itu tumbuh. Lebat pula buahnya.

Ingatanku kembali mengenang sejarah silam.  Waktu itu aku dan abang akan memetik buah terung ini dengan tangkainya sekali.  Ia mesti dipetik dengan tangkainya kerana tangkai itulah yang akan diselitkan pada pemetik pistol kayu nanti.  

Abang pandai membuat pistol tersebut.  Aku hanya memerhati ketekunannya membentuk pistol itu.  Kerjanya begitu teliti dan berhati-hati.  Diam-diam dia mengambil sebilah parang dan pisau dari dapur.  Dia akan membawanya ke bawah rumah.  

Bertukanglah abang sorang-sorang.  Bab itu aku tak reti. Aku cuma tahu menggunakannya apabila sudah siap.  Maknanya abang terpaksa membuat dua pucuk pistol.  Satu sudah tentu untuk aku.  

Apabila telah siap ditukang, kami mengajak kawan-kawan bermain sama.  Sekiranya telah ada yang sudi menyambut pelawaan itu maka barulah kami memetik terung tersebut.  Oleh kerana kederasan peluru terung itu dilepaskan, terasa sakit juga apabila ia mengenai sasaran.

Sekiranya terung rembang tidak ada, kami beralih pula kepada ceri muda.  Sama sahaja cara penggunaannya.  Walaupun penat bertempur, tidak ada sesiapa yang mengaku 'mati'.  Kehebatan berlari, melompat, menyembunyikan diri dan menembak menuju sasaran dipraktikkan dengan baik sekali.

Hinggalah akhirnya aku berjaya menembak tepat mengena sasaran!  Menangis budak lelaki itu sambil berjalan pulang.  Begitulah hebat tak hebatnya aku di 'zaman perang' atau 'main tembak-tembak' suatu ketika dahulu.

Itulah cara kami bermasyarakat zaman kanak-kanak yang penuh warna-warni. Berbeza sungguh dengan generasi hari ini.  Tembak-menembak dan berperang hanya di dalam telefon bimbit atau komputer.  Duduk seorang, bermain tanpa teman.  Setelah 'game over'... badan jadi letih.  Stress pula jika tewas. Mata pun penat kerana seratus persen tertumpu pada skrin.  

Syukur alhamdulillah ... kenangan itu amat berharga bagiku.  Detik-detik indah terpahat kukuh dalam ingatan.



Tiada ulasan: