Isnin, 14 Julai 2025

KAK PIAH

Jadual ziarah dan salam Jumaat di sebelah pagi 11 Julai 2025 tidak dapat kami laksanakan seperti biasa. Kami gantikan pada sebelah petang. Hanya aku dan kak uda dapat bersama. Kak Normah telah memaklumkan bahawa dirinya kurang sihat. Tak mengapa kak, mudah-mudahan di lain masa kita dapat bersama pula. Moga segera sembuh.

Sebaik-baik kereta di parkir, kami berjalan perlahan-lahan menuju wad yang dimaksudkan. Ada ketikanya kami berpimpin tangan dek kerana keadaan laluan yang tidak rata. Terpaksa menumpang kekuatan kak ude dalam melangkah di laluan yang sedikit sukar bagiku. Naik atau turun tangga masalah bagiku juga, satu mata tangga itu memaksa aku menapak kedua-dua belah kaki. Jadi, memang sedikit lambat pergerakanku. Ada waktunya aku memberi laluan kepada orang lain yang bergerak pantas.

Tiba di wad, Kak Piah tidak ada. Menurut doktor yang ditemui di kaunter, beliau sedang menjalani dialisis. Makan masa selama tiga jam. Allah....lamanya. Kak ude meninggalkan bungkusan yang dibawa di atas meja kecil tempat Kak Piah. Hanya ada nama dan usia yang tertera pada sekeping kad di dinding atas bahagian kepala katil. Katil pun tidak ada di ruangan itu.

Tatkala kami berpatah balik, aku terserempak dengan suami Kak Piah. Kami berbicara sebentar. "Kak Piah pi dialisis, tapi saya tak tahu lokasinya di mana. Doktor tak benarkan masuk." jelasku. Kami berpisah di laluan tersebut. Beliau menuruni laluan condong di belakangnya setelah melafazkan terima kasih manakala aku menuruni tangga di hadapan. Sempat dia menyatakan bahawa jaga yang bertugas pun tidak tahu lokasi tempat dialisis yang dimaksudkan. Geleng kepala dibuatnya. Barangkali petugas baru agaknya.

Seingat aku sebelum ini Abang Mat pernah masuk wad, cuma aku tak ingat bila tarikhnya. Kak Piah juga pernah ditahan di wad sebelum ini. Tidak silap aku tahun lepas. Aku datang menziarahinya seorang diri, dan waktu itu Kak Piah sedang tidur. Tapi kali ini aku dimaklumkan Kak Piah ditidurkan, ada jangkitan kuman menurut adiknya. Maknanya Kak Piah tidak sedar bahawa aku datang. 

Sebak hatiku mengenang budinya padaku. Dialah bidan selepas aku bersalinkan anak bongsu 22 tahun yang lalu. Sewaktu kaki Fahmi terseliuh semasa bermain bola di sekolah rendah dulu, dia jugalah yang tolong mengurutnya. Banyak urusan pembelian pakaian sukan dan buku tulis cucunya yang aku selesaikan sementelah aku guru kedai buku sekolah. Lembut bicaranya tika kami bersama. Allahu akbar....

Ya Allah, Kau ampunilah dia. Sembuhkanlah dia. Semoga kami dapat bersama lagi meniti usia yang masih bersisa.