Ahad, 8 Februari 2026

Selamat Pengantin Baru

 


    Penghujung tahun lepas dan awal tahun ini berturut-turut menerima undangan majlis walimatul'urus. Alhamdulillah dapat memenuhi undangan tersebut, cuma sedikit sahaja tak upaya untuk dipenuhi. Ada tikanya jemputan terlalu banyak untuk tarikh yang sama menjadi asbab ada yang terpaksa ditinggal begitu sahaja. Pun begitu, terima kasih untuk semua. Didoakan agar majlis berjalan lancar penuh keberkatan.

    Diharapkan agar pasangan pengantin bahagia hingga ke jannah. Perkahwinan itu disertai dengan tanggungjawab. Ia bukan sedakar suka-suka dan seronok sahaja. Asam garam kehidupan, tawa tangis dan suka duka pasti hadir ibarat meredah samudera. Ada ombak kecil, malahan tidak kurang juga ombak ganas. Suami sebagai kapten atau nakhoda perlu bijak mengemudi bahtera, agar tidak karam di lautan.
Suri yang hadir juga wajar memberi kerjasama dan saling bertolak ansur, mengharung susah senang bersama. 

    Buat sahabat dan bekas-bekas anak didik yang telah bergelar suami atau isteri, didoakan agar sentiasa berada dalam kasih dan rahmat Ilahi. Moga terbina rumah tangga penuh sakinah, mawaddah warahmah. Serta menambah erat ukhuwah kekeluargaan. Bahagia di dunia juga di akhirat.  Amin yarobbal 'alamin....