Berturut-turut hari ada sahaja yang meninggal dunia dalam minggu ini. Bermula dengan jiran di taman perumahan hadapan, esoknya seorang lagi di kejiranan yang sama juga. Lusa pula di Kampung Tersusun kami. Suami kepada Cikgu Husniah, iaitu Cikgu Abdul Rahman yang sering keluar masuk hospital juga pergi untuk selamanya.
Hari berikutnya pula bonda kepada rakan sejawatku, ibu kepada Cikgu Salawati pergi menghadap Ilahi. Meninggal di hospital pada sebelah malamnya, dan dikebumikan pada keesokan harinya di tanah wakaf tempat kami. Innalillahi wainna ilaihi rojiuun. Semoga Allah mengampuni mereka semua, dan ditempatkan di dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Semalam aku menerima khabar berita dari kumpulan whatsapp rakan sekolah rendah bahawa sahabat lama kami telah menghembuskan nafas terakhir. Allahu akbar.....Memang sebelumnya dia dikhabarkan kurang sihat. Telah dimasukkan ke hospital, hatinya bengkak. Pulanglah sahabat kami Noraini Dahalan kepada pencipta-Nya di bulan mulia penuh barokah.
Baru tahun lepas aku dimasukkan dalam kumpulan whatsapp sekolah rendah tersebut. Walaupun aku tidak aktif 'menyampuk', namun setiap info tetap kubaca. Ayahnya dulu sama tempat kerja dengan ayahku. Kerja lombong bijih timah di Kampung Pisang, Batu Gajah. Kami pula sebaya, satu sekolah. Cuma kelasnya berbeza. Aku masih ingat lagi padanya, berkulit cerah dengan rambut tersisir rapi diikat dua. Kadang-kadang diikat satu.
Tahun lepas direzekikan aku bersua muka dengan kawan lama pada suatu hari yang tidak disangka-sangka. Itupun ketika aku dan kak uda singgah sekejap ke rumah salah seorang sahabat kami di Bemban dalam perjalanan pulang ke Lekir. Bertemu Oja, Nab, Zawiyah, Suzana, Ani dan seorang lagi yang kulupa namanya. Maaf atas pelupanya diri ini.
Noraini telah mendahului kami... Kami juga bakal ke sana suatu hari nanti, cuma tidak diketahui bila tarikhnya. Ampunilah dia Ya Allah. Eratkanlah ikatan persahabatan kami yang masih bernafas di bumi-Mu ini. Kenangan suatu waktu dahulu masih bermain di ingatan walaupun telah bergelar nenek/ opah.... Mudah-mudahan semuanya sentiasa beroleh kesihatan yang baik dalam meniti sisa hidup ini.
kredit buat tuan punya youtube ini