Di kiri serai di kanan pandan,
Dijaga nanas tumbuh seperdu;
Selamat datang duhai Ramadhan,
Hati menantimu penuh rindu.
Petik setangkai si daun kari,
Buat masakan di tengah hari;
Menghitung waktu engkau dinanti,
Hajat bertemu sua kembali.
Mencari rotan di tengah rimba,
Bawalah teman si anak muda;
Menahan lapar jua dahaga,
Merasa susahnya pada yang tiada.
Masak lepat berisi inti,
Inti kelapa membuka selera;
Sulami simpati dengan empati,
Betapa ehsannya meruntun rasa.
Tepung pelita turut dijaja,
Puteri mandi tidak dilupa;
Perut telah lama bekerja,
Izinkan ia berehat pula.
Hinggap mari si burung bayan,
Di atas dahan di waktu senja;
Hawa nafsu jangan dilayan,
Usah membazir di bulan mulia.
Mekar mengharum mawar di taman,
Kembang melati putih warnanya;
Bersama malam kita hidupkan,
Solat tarawih bersama-sama.
Manis rasanya buah pulasan,
Jangan lupa si buah mangga;
Burulah satu peluang keemasan,
Tadabbur Quran seisi keluarga.
Gelak tawa tambah meriah,
Anak kecil begitu adatnya;
Zakat fitrah dan sedekah jariah,
Tanda kasih sesama manusia.
Berpencak silat di tengah medan,
Menyambut pengantin jauh bertamu;
Selamat datang wahai Ramadhan,
Tidak sabar menunggu hadirmu.
Takkanlah hanya memandang indeks pencemaran saja
Sampai ke satu tahap kita berada dalam bahaya
Mengeluh sini sana
Berfikirlah sejenak.....
Sesungguhnya ada hikmah di sebalik musibah
Panjatkanlah doa dan barangkali mungkin solat hajat
Solat sunat mohon diturunkan hujan
PadaNYA jua kita mengadu
Usah sesekali mohon pada yang tidak punya kuasa
Takkan mungkin mampu mengatasi ujian sebegini
Barang tentu mungkin menyalahkan pihak lain
Menyumpah seranah tak ketahuan
Duduklah muhasabah diri
Merenung pada semalam
Agar kita tak mudah melatah
Mendepani ujian Tuhan
.....Bersyukurlah saat diuji........
Siapa suka makan labu? Apa yang terbayang di minda kita ialah sayur lemak labu, lepat labu, bingka labu dan mungkin juga cucur atau jejemput labu.
Tapi tahukah kita bahawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW suka makan labu? Anas bin Malik memberitahu bahawa Nabi suka labu. Kata Anas: "Pada suatu hari Rasulullah dihadiahkan kuah yang di dalamnya ada labu dan daging. Aku perhatikan Baginda mencari-cari labu untuk dimakan." ( Riwayat Al Bukhari).
Anas menceritakan lagi temtang sahabat tukang jahit menjemput Rasulullah SAW untuk jamuan yang dibuatnya sendiri. Lalu aku perhatikan Nabi mencari-cari labu. Sejak hari itu aku pun suka labu. (Riwayat al Bukhari dan Muslim). Para sahabat arif akan kegemaran Nabi ini.
Jadi, anda boleh tumpang berbangga jika anda juga penggemar labu. Nabi kita suka makan labu!
Rujukan: Solusi isu 57