Ahad, 4 Julai 2021

KERETA API OH KERETA API!


Masih kuingat lagi, 3 tahun di MPSI bermakna 3 tahun jugalah menjadikan kereta api itu kenderaan pilihan utama untuk pergi dan balik kampung.
Cuma kekadang jika terpaksa atau ada keperluan yang mendesak, barulah aku memilih bas. Sebenarnya terasa nikmat menaiki kereta api ini. Walaupun tersengguk-sengguk, dan ada kalanya berhimpit-himpit, ia tetap menjadi keutamaan.
Dari Batu Gajah ke Tanjung Malim....... terasa agak lama juga perjalanannya. Diiringi pelbagai bunyi yang kekadang membingitkan.
Ada kalanya terpaksa berpaut kuat pada pemegang besi apabila kereta api mahu berhenti. Terkial-kial rasanya aku. Keadaan begitu terjadi sekiranya aku tidak mendapat tempat duduk. Bertahanlah berdiri sambil berpaut. Mengikut rentak goncangan gerabak yang sedang meluncur di landasannya.
Jika mendapat tempat, aku lebih selesa duduk berhampiran tingkap sambil melihat pemandangan di luar. Lebih mengasyikkan apabila melewati kawasan hutan yang menghijau.
Ada satu laluan yang tidak dapat aku pastikan di mana, tetapi aku agak teruja berada di tempat tersebut. Ada ketikanya aku dapat melihat gerabak ataupun kepala kereta api yang jauh di hadapan bila kami melalui selekoh berkenaan.
Sepanjang perjalananku, itulah satu-satunya tempat sedemikian. Kala itu pergerakan kereta api terasa agak lambat. Barangkali pemandunya mesti lebih berhati-hati. Hati terasa sedikit gementar.
Sebaik-baik tiba di stesen kereta api Tanjung Malim, akan adalah rakan-rakan lain yang turun sama. Kami akan berjalan bersama-sama beriringan menuju ke asrama sambil menjinjing beg dan bekalan yang dibawa.
Namun amat berbeza keadaannya bila waktu pulang bercuti semester atau cuti Hari Raya. Biasanya guru pelatih akan menaiki kereta api malam. Ketika kami menunggu kereta api tiba, keriangan jelas terserlah di wajah masing-masing. Ada sahaja cerita dan bahan gurauan.
Dalam keadaan begitu, biasanya aku akan beralah. Perjalanan malam yang dijangkakan bermula jam sembilan lebih, kulepaskan begitu sahaja. Tak sanggup rasanya melihat orang lain menyerbu masuk ke perut gerabak. Malah ada yang bergayut di pintu! Berderau darahku. Mereka ramai yang turun di Butterworth.
Maka aku dan beberapa rakan lagi akan menanti kedatangan kereta api seterusnya. Lambatlah jawabnya kami akan tiba di destinasi masing-masing.
Bagi rakan-rakan yang menghala ke selatan, kebanyakannya menaiki bas ekspress. Kami yang menuju utara, kereta apilah yang menjadi pilihan. Alhamdulillah, begitulah pengalaman perjalanan kami yang kemas tersimpan dalam ingatan.
Dan ayah akan menantiku penuh setia, walau jam berapa pun aku tiba. Terima kasih ayah. Pengorbananmu tak mungkin dapat kulupa.
oh Senandung Malam......
........bersambung

Jumaat, 2 Julai 2021

Dan Rindu Masih Bertaut......


Cerita-cerita duka sama kita lalui, walau tidak seteruk mana.... ia merupakan ujian yang menjadikan kita tabah dan kuat sehingga hari ini. Alhamdulillah.
Enam semester bersama di IKSB melakar sejarah yang masih dikenang. Barangkali masih ingat tika ketiadaan air di asrama. Bagi guru pelatih lelaki....... boleh sahaja mendapatkan air di sungai Bernam. Ah, mudahnya! Tetapi segelintir sahaja. Itu bukan cara kita.
Dengan segala kudrat yang ada. maka berbondong-bondonglah kita keluar dari asrama sambil membawa baldi dan gayung. Terasa bagaikan berada di zaman emak ayah kita dulu-dulu. Mereka ke sungai atau perigi, mencari air. Tapi kita cuma ke surau lama.
Berjemaah kita ke sana dalam suasana kelam. Bimbang berselisih dengan pelatih lelaki. Aurat mesti dijaga walau dalam keadaan apa sekalipun. Cabaran sungguh waktu itu.
Syukur alhamdulillah, air di surau lama tidak kering. Keajaiban yang Allah anugerahkan. Dapat menampung kehadiran kami semua. Selesai membersihkan diri, terpaksa pula mengendong air sebaldi untuk dibawa pulang ke asrama. Makin lama melangkah, terasa makin berat baldi, maklumlah sudah kepenatan. Itu belum kira lagi berapa banyak air yang mungkin tumpah di dalam perjalanan. Namun syukurlah dapat menampung keperluan dalam beberapa tempoh sementara menanti air di asrama muncul kembali.
Apabila menyedari air di asrama tidak ada, pasti keadaan sebegitu akan berulang kembali. Namun pengalaman itu mengajar erti hidup di rantau orang. Mengenang kembali peristiwa itu, mengingatkan aku akan peristiwa bekas anak muridku yang pernah berhenti sekolah berasrama kerana air semata-mata.
........ air oh air.....


....bersambung

Dan Rindu Pun Menggamit.....

 
Hari ini 1 Julai mengingatkan aku tentang perjalanan hidup kami sebagai guru pelatih yang buat pertama kalinya menjejak kaki di IKSB. Itu ketika berada di era 80-an. Kemasukan paling sedikit. Masuknya pula boleh dikatakan di pertengahan tahun.
Seperti biasa ...... guru pelatih lelaki boleh dibilang dengan jari. Bermulalah kehidupan kami yang dipenuhi dengan kuliah, gerko dan kerja kursus. Semuanya menjadi sibuk setelah berakhirnya minggu orientasi.
Tiga tahun menadah ilmu. Selama itu jugalah pelbagai pengalaman dapat dibukukan (jika ada yang rajin menulis). Berbicara tentang kehidupan sebagai guru pelatih, memang menyeronokkan biarpun ada kalanya menemui jalan-jalan buntu.
Menginap di asrama yang bersejarah, berjalan di lorong-lorong dan kaki lima peninggalan warisan lama..... terkadang menggetar hati. Ditambah lagi dengan beberapa kejadian pelik yang mengganggu sahabat-sahabat kami. Ye.......kekadang agak menyeramkan.
Teringat tika sama-sama berada di dorm. Bak katil-katil di hospital. Tambahan meja tulisku ketul-betul menghadap bangunan tua itu. Di dalamnya ada kisah misteri yang pernah dikisahkan oleh Pak Aris (almarhum). Pak cik yang berkaca mata bingkai hitam itu punyai sejarahnya tersendiri. Kata-katanya berunsur nasihat amat kuhargai.
Masih kuingat lagi tentang beberapa bangunan dan lokasinya. Taman astakona, surau lama, bangunan Suluh Budiman, dewan makan, asrama (ada yang baru, ada yang lama), rumah pensyarah, Dewan Rahman Talib, beberapa bilik kuliah dan kelas. Tidak lupa kantin dan padangnya yang luas.
Terdapat pentas dan laluan yang ada rahsianya tersendiri. Namun tidak sempat untuk menyiasat. Urusan lain yang lebih utama menjadi semua itu ditolak ke tepi.
Terkenang pula pelbagai jabatan yang ada dengan barisan exconya. Sahabat kami, saudara Isnani dan Siti Norhashidah pernah memegang jawatan exco itu. Tahniah di atas kebolehan dan kekuatan yang ada. Amanah bukanlah mudah untuk disandang.
Saudari Norhashidah atau mesra kami panggil Kak Syidah punya pengalaman yang agak menggerunkan ketika sibuk menyiapkan tugasannya sebagai Setiausaha Agung Kehormat. Namun beliau kuat semangat dan gangguan tersebut bukanlah penghalang baginya untuk menyerah kalah. Kalau secara tiba-tiba kedengaran bunyi mesin taip atau derapan kasut tentera berkawad di larut malam, siapakah agaknya itu?
Aku sekadar menulis bagi mengisi masa lapang. Minat yang berputik tika aku di tingkatan empat, kubawa dan kubaja di situ. Terima kasih kepada kawan-kawan terutama Kak Normah yang banyak memberi sokongan. Bergerak bersama Kak Manisah, Kak Jemie dan Jun di dalam ASASMU, memberi pengalaman baru buatku. Masihkah lagi kalian menulis?


............bersambung.
Kepada sahabat, kalau berminat untuk memiliki buku yang kutulis berjemaah dengan adik-beradik Legasi Abah.... bolehlah jenguk di sini :