Selasa, 2 September 2025

Berangkatlah dengan tenang

    Kami direzekikan bertemu semula setelah bertahun-tahun tidak bersua. Membawa haluan masing-masing, namun tali persaudaraan itu tetap mengikat kami. Emakku hanya empat beradik, tiga perempuan dan seorang lelaki. 

    Mak long dan keempat-empat orang anaknya telah kembali ke rahmatullah. Acu sekeluarga berkampung di Kuala Lumpur. Dia merupakan adik bongsu emakku. Raya puasa yang lepas kami dapat bersua muka. Meniti usia emas, begitu adanya. Mudah-mudahan acu dan pak chu sihat wal'afiat. Anaknya Iza sesekali kujengah menerusi mesej di talian, malahan kami berada dalam group whatsapp yang sama.

    Ayah Yang merupakan adik lelaki emak. Mengikut turutannya begini....Mak Long Zaiton (arwah), Emak (arwah), Ayah Yang Abdul Hamid (arwah) dan Acu Sakdiah. Meskipun jodoh Ayah Yang Hamid agak lambat, namun direzekikan memiliki tujuh orang anak hasil perkahwinannya dengan mak yang. Setelah beliau meninggal, keluarga ini berpindah balik ke kampung ibu mereka (mak yang). Sejak itulah hubungan kami mulai renggang. 

    Membesarnya anak-anak ayah yang dengan khabar yang sesekali sahaja aku terima. Pernah suatu ketika dahulu kami bertemu di rumah ayah di Batu Gajah. Waktu itu kesemua anak ayah yang kecil-kecil belaka sedangkan aku sudah beranak dua.Walaupun sesekali aku balik kampung, kami tidak pernah bersua, sehinggalah akhirnya aku dapat menjejak Yati yang merupakan anak sulung ayah yang melalui group whatsapp keluarga kami di kampung.

    Melalui Yatilah aku memperoleh berita adik-beradik dan ibunya. Kisah suka duka kehidupan mereka mula mengisi sebahagian hidupku. Kami diikat dengan ikatan sepupu. Ikatan yang kuat kerana emakku dan ayahnya adik-beradik. Hanya jarak yang memisahkan kami.

    Kisah terkini antara kami ialah baru-baru ini adiknya telah berangkat pergi ke negeri abadi. Berakhirnya ujian sakit kanser yang Allah berikan kepadanya. Semoga isterinya Liza menerima semuanya dengan reda. Aku  mohon pada-Mu ya Robb, berilah kekuatan buat Liza dan seluruh keluarga. Sesungguhnya pasti ada hikmah di sebalik semua ini. Ujian kesakitan bagimu Karim telah berakhir. Berehatlah engkau di taman barzakh.

    Pemergiannya pada 27 Ogos 2025, bersamaan 3 Rabiul Awal 1447H. Ampunilah dia Ya Allah, rahmatilah dia. Mudah-mudahan tergolong dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.


catatan pagi:

5.00 pagi, 2 September 2025


Semoga Allah mengampunimu, sepupuku 
allahyarham Karim bin Abdul Hamid




Isnin, 14 Julai 2025

KAK PIAH

Jadual ziarah dan salam Jumaat di sebelah pagi 11 Julai 2025 tidak dapat kami laksanakan seperti biasa. Kami gantikan pada sebelah petang. Hanya aku dan kak uda dapat bersama. Kak Normah telah memaklumkan bahawa dirinya kurang sihat. Tak mengapa kak, mudah-mudahan di lain masa kita dapat bersama pula. Moga segera sembuh.

Sebaik-baik kereta di parkir, kami berjalan perlahan-lahan menuju wad yang dimaksudkan. Ada ketikanya kami berpimpin tangan dek kerana keadaan laluan yang tidak rata. Terpaksa menumpang kekuatan kak ude dalam melangkah di laluan yang sedikit sukar bagiku. Naik atau turun tangga masalah bagiku juga, satu mata tangga itu memaksa aku menapak kedua-dua belah kaki. Jadi, memang sedikit lambat pergerakanku. Ada waktunya aku memberi laluan kepada orang lain yang bergerak pantas.

Tiba di wad, Kak Piah tidak ada. Menurut doktor yang ditemui di kaunter, beliau sedang menjalani dialisis. Makan masa selama tiga jam. Allah....lamanya. Kak ude meninggalkan bungkusan yang dibawa di atas meja kecil tempat Kak Piah. Hanya ada nama dan usia yang tertera pada sekeping kad di dinding atas bahagian kepala katil. Katil pun tidak ada di ruangan itu.

Tatkala kami berpatah balik, aku terserempak dengan suami Kak Piah. Kami berbicara sebentar. "Kak Piah pi dialisis, tapi saya tak tahu lokasinya di mana. Doktor tak benarkan masuk." jelasku. Kami berpisah di laluan tersebut. Beliau menuruni laluan condong di belakangnya setelah melafazkan terima kasih manakala aku menuruni tangga di hadapan. Sempat dia menyatakan bahawa jaga yang bertugas pun tidak tahu lokasi tempat dialisis yang dimaksudkan. Geleng kepala dibuatnya. Barangkali petugas baru agaknya.

Seingat aku sebelum ini Abang Mat pernah masuk wad, cuma aku tak ingat bila tarikhnya. Kak Piah juga pernah ditahan di wad sebelum ini. Tidak silap aku tahun lepas. Aku datang menziarahinya seorang diri, dan waktu itu Kak Piah sedang tidur. Tapi kali ini aku dimaklumkan Kak Piah ditidurkan, ada jangkitan kuman menurut adiknya. Maknanya Kak Piah tidak sedar bahawa aku datang. 

Sebak hatiku mengenang budinya padaku. Dialah bidan selepas aku bersalinkan anak bongsu 22 tahun yang lalu. Sewaktu kaki Fahmi terseliuh semasa bermain bola di sekolah rendah dulu, dia jugalah yang tolong mengurutnya. Banyak urusan pembelian pakaian sukan dan buku tulis cucunya yang aku selesaikan sementelah aku guru kedai buku sekolah. Lembut bicaranya tika kami bersama. Allahu akbar....

Ya Allah, Kau ampunilah dia. Sembuhkanlah dia. Semoga kami dapat bersama lagi meniti usia yang masih bersisa.




Rabu, 25 Jun 2025

Kak Emis

Baru Isnin lepas kami menziarahinya. Sebelum-sebelum inipun Kak Emis sudah beberapa kali diuji dengan masalah kesihatan. Dalam usia yang sedemikian, ada sahaja ujian yang datang. Di usia warga emas, sesungguhnya amat benar bahawa saat itu amat berharga.

    Pertama kali mengenalinya ialah ketika aku menghadiri program anjuran Perkim. Lembut perawakannya. Gaya bahasanya berbeda dengan masyarakat tempatan. Orang Sabah rupa-rupanya. Ibu mentuaku turut mengenalinya, sementelah mereka berjiran di taman perumahan yang berdekatan.

    Kehilangan suami yang terbabit dalam kemalangan jalan raya menjadikan dirinya ibu tunggal. Meniti kehidupan dalam membesarkan anak-anak di tempat orang. Namun dia ada kami yang sering memberi sokongan. Dia amat rapat dengan Ustazah Samhah. Banyak usaha ustazah dalam membantu dirinya. Ilmu yang diperoleh menjadi amalan dalam kehidupan seharian. Alhamdulillah.

    Kak Emis diuji beberapa kali dengan masalah kesihatan. Namun setiap kali ujian menimpanya, jiwanya tetap berdiri teguh. Allah menjadi tempatnya memohon dan bergantung harap. Zikir menjadi mainan di bibirnya. Walau tampak keuzurannya begitu jelas di pandangan, namun semangatnya tak pernah luntur. Kehadiran sahabat-sahabat Perkim yang datang berziarah serta kiriman doa untuknya menjadi pemangkin dan penguat harapannya.

    Namun akhirnya Kak Emis pergi jua asbab masalah pernafasan dan jangkitan kuman di paru-paru. Kenangan kita bersama tetap kukenang. Semoga bahagialah kau di sana.