I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, 7 January 2015

MELAUT SAWAH PADIMU

tika hamparan menguning itu kian lenyap.....

Yang memandang teruja
Mengabadikan kenangan
Di lensa kamera

Sedang pak tani punya pandangan yang berbeda
Dari nurani sayu memilu
Merembes mutiara
Luruh membasahi

Salam sendu dari kami
Dalam kiriman tak bertepi
Terangkum doa pada-MU Robbi
Tabahkanlah hati

Mengharap sinar takkan pudar
Merintih biar iman mantap
Menagih simpati pada yang sudi
Percayalah ehsan pasti terserlah
Kerana ada hikmah di sebalik musibah

......ida a.z.
kg kayan, manjung
1 jan 2015

Tuesday, 6 January 2015

SELIMUT OH SELIMUT.......

Walaupun masih cuti sekolah pada waktu itu, kelas perlu dibersihkan dan dikemas.  Dalam kesibukan itu, tiba-tiba kuterima panggilan dari suami.  Dia bercerita tentang selimut BV.  Waktu itu semuanya 'blur'....... entah ..... tak faham langsung.  Perbualan singkat di talian itu hambar begitu sahaja.

Sebaik pulangnya dari pejabat hari itu, kubaca flyer yang dibawa.  Barulah kufahami apa yang dimaksudkannya itu.  Seperti biasa, mulanya suamiku tidak tertarik tentang selimut tersebut.  Padanya penjual sama sahaja seperti biasa.  Demi untuk melakukan barangan jualan, maka pelbagai testimoni yang menarik dan yang positif diketengahkan kepada yang hadir dan yang memerhati.  Begitulah apa yang berlaku di pejabatnya awal pagi itu.

Entah apa yang membuatkan dirinya tertarik, aku pun tidak tahu.  Untuk lebih penjelasan, suamiku menjemput pasangan suami isteri itu hadir ke rumah.  Dan kehadiran mereka pada malam itu menjelaskan apa yang kabur.  Soal perniagaan turut diterangkan.  Namun aku lebih tertarik untuk membantu!  Membantu rakan sekerja yang mempunyai masalah kesihatan yang agak ketara.  

Apalah yang ada cuma pada sehelai selimut.........alahai.......  barangkali itu pada sesetengah pendapat.  Namun selimut ini punya perbezaan yang jelas.  Tapi semuanya perlu disangkutkan pada keizinan Allah SWT.  Penerangan yang jelas, dikuatkan lagi dengan testimoni yang ada, sedikit sebanyak memancing hatiku.

Dan setiap penyakit itu Allah turunkan ubatnya, cuma mungkin mengambil masa yang agak berbeda untuk menemukannya.  Atau barangkali juga ada yang sesuai dan mungkin juga tidak dengan insan yang berbeza.  Ada yang cepat bertindakbalas, mungkin juga ada yang sebaliknya.  Mencari ubat atau penawar itu perlu diikhtiarkan.  Kita tidak boleh hanya menadah tangan semata-mata, mengharap tanpa usaha.  Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri berusaha mengubahnya.

Dan hingga kini kekadang kami sekeluarga bergilir-gilir menggunakannya....... Selimut BV (Bio Velocity sleepmate)..   Mudah-mudahan Allah mengizinkan kami beroleh kesihatan yang baik, seterusnya dapat beribadah dengan lebih baik dan selesa sebelum menemuiNYA nanti.  Terima kasih juga buat Syikin dan Haniff, moga Allah memudahkan segala urusan.


Sesungguhnya yang hebat itu adalah Allah, bukannya selimut.  Semuanya atas kehendak dan izinNYA.  Kena faham benar-benar kalimah ini.  Kita boleh jatuh syirik andaikata menyatakan selimut ini hebat, ada kuasa dan yang seumpamanya.  Tersilap tafsir akan menyebabkan aqidah kita terpesong, nauzubillahi minzalik!  Minta dijauhkan dari ini semua.



Tenaga matahari (dhuha) anugerah Allah
Ramai yang sudah kembali mendapat sinar
KINI SUDAH TIBA MASANYA
Untuk anda merasai manfaatnya pula kerana
perkara yang baik wajib dikongsi bersama.....

Aku kembali teringat akan doa dhuha, 
"Ya Allah sesungguhnya waktu dhuha itu dhuhaMU, kecantikannya kecantikanMU, keindahannya keindahanMU, kekuatannya kekuatanMU, kekuasaannya kekuasaanMU, perlindungannya perlindunganMU.
Ya Allah, jika rezeki masih di langit turunkanlah, jika di bumi keluarkanlah, jika sukar permudahkanlah, jika haram sucikanlah, jika jauh dekatkanlah.
Berkat waktu dhuha, kecantikanMU, keindahanMU, kekuatanMU, kekuasaanMU, limpahkan kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hambaMU yang soleh..."

Sunday, 28 December 2014

KASIHANILAH MEREKA YA ALLAH

Terlalu banyak berita yang masuk.  Semuanya pantas.  Bagaikan air bah yang naik mendadak.  Baik menerusi whatsapp atau info melalui facebook.  

Aku meneliti bait-bait bicara dalam diam.  Membaca status mereka di telefon bimbitku.  Melihat foto-foto yang dimuat turun.  Cuba menjiwai resah yang bertandang.  Empatiku menerjah datang.

Ada dalam kalangan rakan sekerjaku merupakan orang Pantai Timur.  Kebetulan ramai pula.  Emak ayah dan adik-beradik serta saudara-mara ramai di sana. Kami di sini syukur alhamdulillah, cuaca baik sahaja.  Kalau pun hujan, tidak membimbangkan.  Ada kalanya mendung, ada waktunya renyai sahaja.  Jauh berbeda dengan situasi di sana.  Hujan lebat saban waktu.  Tidak menampakkan tanda-tanda reda.  Hingga menyebabkan air sungai naik melimpahi tebing.

Kekadang aku mencelah jua bagi meredakan resah hati yang meraja.  Teramat kuat degup jantung kuduga.  Anak menantu yang bertugas di sini gelisah kian ketara.  Manakan tidak..... berita dari sana tidak pernah berdusta.  Hingga terputus hubungan mereka.  Dan akhirnya khabar diterima...... rumah asal terpaksa ditinggalkan.  Pusat pemindahan bakal menerima penghuni baru.

Aku dapat merasakan kepiluan yang amat sangat mula menerawang segenap rasa.  Hati yang sebu.  Fikiran yang buntu. Berbaur jadi satu.  Hanya doa yang mampu dipanjatkan pada-Mu Ya Robbi.  Kasihanilah mereka Ya Allah.  Lapangkan hati mereka menerima dugaan ini.  Teguhkan iman mereka, kurniakan mereka kekuatan semangat dan kesabaran dalam menempuh ujian yang melanda.

Anak-anak di perantauan sering mendoakan dan mengharap yang terbaik buat mereka.  Aku turut terharu, berkongsi rasa bersama mereka.  Semoga ENGKAU jadikan kami umatMU yang bersyukur dan bergantung harap pada kasih dan rahmatMU.  Jangan tinggalkan kami Ya Allah, usah biarkan kami menentukan nasib kami sendiri.



Thursday, 11 December 2014

EMM...... BOLEH MENANG KE?

Emm............... bola tu bulat!  Apa-apa pun boleh terjadi.  Bagi peminat bola sudah tentu menanti-nanti dan menunggu-nunggu akan tarikh hari ini..... 11 Disember 2014.

Apa tidaknya, pasukan negara akan bertemu dengan pasukan Vietnam.  Bagi peminat bola, sudah pasti  tidak sabar menanti detik itu.  Setelah kecundang di stadium sendiri, sudah pasti harapan begitu menggunung untuk menang kali ini.  Tetapi....... kali ini bukanlah bermain di tempat sendiri.  Bermain di tempat lawan yang sudah pasti memberi kelebihan kepada mereka.  Agak berat tugas yang dipikul kali ini!

Bagaimana berat pun tugas itu, ada keutamaan lain lagi yang patut dipandang berat...... iaitu SOLAT!  Kebiasaannya penonton menunggu di padang bola adalah terlalu awal.  Barangkali mungkin menyebabkan panggilan ALLAH itu tidak diendahkan, walaupun di stadium itu ada ruang untuk solat, bermakna adanya surau.  Tapi berapa kerat yang mengunjungi ruang itu?  Hatta di tengah padang pun boleh kita tunaikan solat itu..... kenapa dipandang enteng?

Sebagai umat Muhammad SAW, idola kita....  berbuatlah sebaiknya.  Baginda adalah contoh ikutan.  Allah didahulukan, bukannya bola didahulukan.  Bila seruan dilaungkan, kita sahut dahulu panggilan itu.  Berapa minit sangatlah kita berbicara denganNYA.  Malah sebenarnya pihak berkenaan boleh menyusun jadual perlawanan.  Boleh menjaga batas-batas aurat dalam bersukan.  Tapi mengapa kita mengalah dengan undang-undang dan peraturan manusia?  Sedangkan kita tahu dan maklum undang-undang Allah itu termaktub hebatnya.

Dan seperkara lagi yang amat mendukacitakan dan memalukan ialah sikap sesetengah penonton yang nampaknya tidak bersedia menerima kekalahan.  Tidak adanya semangat kesukanan.  Islam tidak mengajar sedemikian.  Rakyat negara ini seringkali berbangga dengan slogan Negara Islam, sedangkan banyak perkara tidak menunjukkan Islam tertegaknya di negara tercinta ini.  Tengok sahajalah dalam aktiviti bersukan seperti ini.  Waktu-waktu genting seperti Maghrib dilalaikan.  Budaya timur penuh sopan santun yang dahulu dibanggakan, hilang entah ke mana.  Adakah ini akibat daripada tidak ambil pusing hukum-hakam yang telah Allah tetapkan.....  wallahu'alam.

Dan malam ini, biar apa pun strategi, walau hebat mana pun latihan yang telah dijalankan...... ketentuan hanya padaNYA.  Setiap yang mengambil bahagian, sudah pasti berharap akan kemenangan.  Namun kalah menang itu adat pertandingan.  Janganlah hendaknya kejadian malam itu berulang kembali.  Sebagai umat Islam, Rasulullah SAW tidak mengajar kita berbuat tidak baik kepada orang lain.  Di mana bumi dipijak, di situ Islam sepatutnya kita junjung!




Friday, 5 December 2014

LAMA SUNGGUH TAK JUMPA!

Sebaik-baik menuruni kereta, aku segera menuju ke kedai buku.  Di hadapanku tiga wanita bangsa Cina berlalu di hadapanku.  Tanpa diduga pandangan kami bertentang.  "Eh, Puan Tieh!". Kami bersalaman. Berpelukan.  Erat.  Lama sungguh kami tidak bersua.

Wanita berbangsa Cina berusia melebihi separuh abad itu masih seperti dulu.  Kami berbicara sebentar cuma.  Beliau mesra macam dulu.  Menurutnya sudah tiga tahun lebih beliau pencen.  Hendak ke kedai sebelah menurutnya.  Kedai yang menjual "Bird Nest".  Dua orang rakannya telah meninggalkannya di belakang.

Semasa aku membongkok untuk menanggalkan sepatu, mataku tidak lekang dari memandang tiga sosok tubuh wanita Cina itu.  Jelas kedengaran perbualan mereka dalam bahasa Cina sambil mata mereka memandang kepadaku.  Aku hanya senyum sambil melambaikan tangan.  Barangkali Puan Tieh memperkenalkan siapa aku kepada dua orang temannya itu.

Setelah memberi salam, aku melangkah masuk ke Anamuslimland, kedai di mana aku biasanya membeli majalah dan buku-buku agama buat bacaan kami sekeluarga.  Selesai memilih buku dan majalah serta membuat pembayaran, aku kembali ke kereta.

Fikiranku menerawang semula pada Puan Tieh Nyit Koy....... wanita itu pernah mengajar anak sulungku di Tahun Satu dulu.  Terima kasih Puan Tieh!


Wednesday, 26 November 2014

SAHABAT AYAHKU

Tengah hari Jumaat 21 November itu kuterima panggilan telefon dari ayah.  Hari itu merupakan hari terakhir sekolah, hanya beberapa minit sahaja lagi waktu akan berakhir.  Sahabat baik ayah telah menemui pencipta-NYA.  Begitu khabar yang kuterima.

Petang itu aku bersama Angah dan suami bertolak ke Batu Gajah untuk mengambil ayah.  Biarpun mungkin wajah ustaz tidak dapat kami tatapi buat kali terakhir, namun dapat bertemu keluarganya sudah memadai.  Tambahan pula ayah begitu rapat dengan ustaz.

Dalam perjalanan, kami singgah untuk mengambil Kak Alang di rumah sewanya di Kuala Kangsar.  Perjalanan mengambil masa agak lama.  Melewati jam lapan malam kami tiba di perkarangan rumah ustaz.  Kami dipersilakan masuk, namun rasa lebih selesa berbual di luar sahaja.

Ustaz Akmal dan iparnya menyambut kami.  Tatkala sedang ayah dan suami berbual tentang sejarah ustaz, Ustazah Mariam muncul dengan berkerusi roda.  Uzur nampaknya beliau.  Bicaranya perlahan dalam batuk-batuk.  Ustazah yang selalu keluar masuk hospital, tapi ustaz yang pergi terlebih dahulu.  Begitulah ketentuan Ilahi, tak siapa boleh menolak atau menangguhnya.

Aku hanya banyak mendengar.  Mendengar bicara ayah........ seolah ayah begitu rapat dengannya.  Banyak yang ayah kongsikan bersama ustaz, walaupun ayah bukan orang besar dalam jemaah. Mungkin barangkali pengalaman ayah di bidang politik membuatkan mereka begitu rapat, tambahan pula ustaz sering mengadakan kuliah ataupun pengajian di rumah ayah dan masjid berdekatan.  

Dalam beberapa perkara, ustaz sering meminta pandangan ayah.  Banyak yang ayah pelajari daripada ustaz.  Mungkin banyak perkara juga yang mereka kongsikan bersama.  

Kali terakhir bertemu dengan ustaz ialah semasa walimatul urus dua orang anaknya, dalam tahun ini juga.  Lupa pula aku bila tarikhnya.  Ustaz menyambut tetamu yang hadir, sedangkan ustazah hanya duduk menanti. Berkumandang nasyid Al Qasam berulang kali.  Penuh semangat kami mendengarnya.

Sebaik-baik kami melangkah meninggalkan rumah ustaz pada malam itu, sebuah kereta mewah meluncur masuk.  Rupa-rupanya anak murid ustaz, yang datangnya dari Melaka.  

Suamiku memandu dengan berhati-hati meredah malam yang semakin pekat.  Kenangan bersama ustaz tak mungkin dapat dilupakan.  Sumbangan beliau begitu besar dalam jemaah dan masyarakat.  Perjuangannya memartabatkan Islam sejak dulu hingga saat nyawanya diambil begitu mengujakan.  Sepuluh tahun usia ayah lebih tua dari ustaz, begitu cerita ayah.  Pengalaman indah dan bermakna ayah ketika bersama ustaz diceritakannya kepada kami dalam perjalanan pulang.

Friday, 14 November 2014

TERIMA KASIH, SAHABAT

Terima kasih duhai sahabat......


Bertemu denganmu di daerah ini
Berbunga sebuah keakraban
Dalam satu rasa satu hati
Mencanai erti sebuah pengorbanan

Terima kasih duhai sahabat......
Dalam pengisian penuh bermanfaat
Mengenal erti kesungguhan
Mengadun sama kepayahan
Buat anak-anak bakal pewaris masa depan

Terima kasih duhai sahabat.....
Kerana sudi menyelami bersama
Kerana sedia berkongsi rasa
Walau kita dianugerahkan kekuatan yang berbeza
Namun tetap sama di sisiNYA

Kalau esok ditakdirkan kita tidak bersama
......perjuangan mesti diteruskan
......perjalanan tidak terhenti di sini saja
......dan tidak ada titik nokhtahnya

Cuma yang ada.....
kenangan di ingatan
tersemat dalam lipatan sejarah
saat kita merasai susah 
waktu mengecap nikmat indah
hendaknya tidak terus hilang ditelan zaman

Terima kasih duhai sahabat......
kerana turut sama mewarnai perjalanan hidup ini.