Sabtu, 7 Februari 2015

selamat pergi adindaku.....

Lima musim di daerah ini bersamamu, dik Yani........... 

Memegang jawatan guru bimbingan & kaunseling bukanlah satu perkara mudah.  Walaupun mungkin tidak mengajar subjek utama di kelas seperti guru-guru lain, bukanlah bermakna punya waktu lapang dan terluang yang banyak.  Itu semua kena maklum.

Semua tergalas di bahu seorang guru B&K.  Soal bimbingan atau motivasi, kaunseling individu & kelompok merupakan yang utama.  Namun bukan terhenti setakat itu sahaja.  Banyak kerja-kerja lain turut menjadi tugasan untuk diuruskan.  Lebih-lebih lagi jika ianya berkaitan dengan disiplin.

Selain itu, masalah ponteng, bergaduh dan sahsiah murid, maknanya hal ehwal murid  menjadi agenda dalam kehidupan seorang guru B&K di samping masuk ke kelas memberi penerangan dan makluman dari semasa ke semasa.

Cuma barangkali mungkin sedikit membantu apabila Guru Kanan HEM memberi ruang kepada guru lain membantu dengan menyenaraikan tugas dalam pecahan kecil.  Misalnya untuk unit anti dadah & rokok, ketuanya diamanahkan kepada guru lain.  Begitu juga dengan unit kebajikan dan unit disiplin.



Sepanjang bertugas bersamamu, ada satu kelainan yang diwujudkan di SKL.  Iaitu meraikan kejayaan murid tahun 6 dalam setiap kali ujian berakhir.  Menghargai mereka dengan menyediakan waktu untuk menikmati hidangan bersama pemimpin sekolah.  Justeru membangkitkan semangat berlumba dalam kalangan anak-anak tahun enam untuk cuba menggapai peluang keemasan itu.

Di samping itu, diadakan juga sambutan dan hadiah ulang tahun bagi semua anak didik mengikut bulan kelahiran mereka.  Biarpun perkara tersebut mengambil sedikit masa, namun ia berbaloi bila mana mereka rasa dihargai oleh seluruh warga sekolah!

Sekalung tahniah dari kakakmu ini....... kerana kini kau berada nun di IPG Sungai Petani, sebagai kaunselor.  Mudah-mudahan kami seluruh warga SKL tetap dalam ingatanmu.  Teruskan memberi khidmat terbaik di sana.

Tiada ulasan: