Jumaat, 23 Januari 2026

Kak Ina


 Tak sempat mengabadikan kisah kita, Kak Ina. Lama kita bersama di SKL, namun berpisah juga apabila aku bersama empat orang lagi terpaksa berpindah keluar kerana telah melebihi 15 tahun berkhidmat di SKL.

    Izan dan Che Wa ke SK St Francis, Zarimah ke SJKC Chen Hwa Simpang Dua, manakala aku dan Ina Kay ke SKGL. Januari 2021 kita berpisah, tahun itu juga engkau menamatkan perkhidmatanmu di SKL. Aku pula bersara setahun kemudiannya. Cukup setahun aku berkhidmat di sekolah terakhir.

    Rumah kediamanmu sekeluarga merupakan laluan utama. Memang selamanya laluan itulah yang kami gunakan untuk keluar atau masuk untuk ke Kg Tersusun Batu 7. Kerapkali juga terpandang kelibatmu sekiranya melalui jalan itu.

    Perkhabaran duka itu aku peroleh daripada rakan ngajiku sewaktu kami sama-sama bertadarus di bawah bimbingan Ustazah Faridah. Dia membisikkan kepadaku tentang pemergianmu. Aku memang tidak tahu tentang keadaanmu kerana baharu sahaja pulang dari kampung pada waktu itu. Mula-mulanya terpinga-pinga juga. Akhirnya akur dengan berita tersebut. Innalillahi wainna ilaihi rojiuun. Semoga Allah mengampunimu.

    Sebenarnya baru lagi aku melewati hadapan rumahmu, barangkali beberapa hari sebelumnya. Tergerak hatiku berbisik tentangmu.....lama sungguh tak ketemu. Apa khabar agaknya... monologku sendirian. Apa yang aku tahu ialah sejak bersara engkau banyak menghabiskan waktu menadah ilmu di pondok. Alhamdulillah. 

    Lewat petang aku sempat bersama kenalan dan saudara-maramu di tanah wakaf tersebut. Tidak sempat untuk menatap wajahmu buat terakhir kali. Hanya doa yang aku panjatkan agar engkau diberi pengampunan dan tergolong dalam kalangan mereka yang beramal soleh. Sebak merajai hati. Setelah Aja pergi, engkau pula meninggalkan kami. Tenanglah duhai sahabatku di sana, kami bakal menyusul apabila tibanya saat itu nanti.

    

Bermulanya 2026

 2026 hadir kini, bertambah lagi usia. Namun perlu sedar bahawa rumah kata pergi dan kubur kata mari....itu yang pasti.

    Hari ini pagi-pagi lagi aku melangkah ke tanah wakaf. Agak awal daripada biasa. Begitulah selalunya rutin Jumaat sekiranya cuaca baik dan tidak ada urusan lain yang minta dilunaskan. Sebaik-baik tiba, tidak kelihatan anak muda penjaga kawasan tersebut. Mereka berdua biasanya berpagian menyiram tumbuhan di tanah wakaf yang menghijau itu. Terjaga nampaknya, bersih dan rapi.

    Usai kuhadiahkan bacaan Yaasin dan doa buat ayah dan bonda, aku melangkah ke pusara Kak Ina, Kak Piah dan Aja.  Kuhadiahkan bacaan Fatihah khas buat mereka. Entah kenapa hari ini terasa sebak sungguh. Aku tidak dapat menahan air mata daripada tumpah ketika berdiri di sisi pusara Kak Ina dan Aja. Kedua-dua rakan sekerja yang agak rapat denganku. Baru tahun lepas mereka pergi meninggaikan kami.

    Bulan Mei Aja pergi dalam usia 57 tahun manakala Kak Ina pula pada bulan Oktober dalam usia 60 tahun. Dan aku pula...entah bila dan entah di mana bakal ditempatkan nanti. Ya Allah, Kau ampunilah mereka. Kebiasaannya aku tidak lupa akan singgah sebentar ke tiga-tiga pusara ini sebelum melangkah pulang. Ada kenangan yang sukar untuk aku lupakan, ada rindu yang sering bertamu.

    Kau temukanlah kami di sana nanti, dalam suasana penuh kebahagiaan. Amin....



Khamis, 25 September 2025

ISRAIL

 israil...

wewenangnya dia menjadi biawak hidup

setelah elok didukung

dia pula menggigit si pendukung

betapa dahsyatnya


israil...

tidak tahu berterima kasih

jauh dari mengenang budi

paling tidak pun berdiam diri

tapi dengan gelojohnya

merentap dan merampas bukan haknya


israil...

menempelkan namanya di peta dunia

tanpa rasa malu dan segan

tidak menyedari bahawa namanya termaktub dalam kalam Allah

terpaling HINA dan SEHINA-HINAnya di mata dunia




ida a.z. 25092025