Khamis, 22 Ogos 2013

JENGUKLAH SESEKALI....

Sesekali bila kurenung kembali rentetan peristiwa semalam yang telah pergi meninggalkan waktu......  jelas terasa amat benarnya gandingan mantap  perlu antara seorang guru dan penjaga murid.  Namun perlu disertakan doa dan tawakkal setelah usaha dilakukan.

Meninjau kembali sejarah anak-anak didikku yang telah kulepaskan ke arus perdana, mereka yang boleh terus berjaya meredah kehidupan bersama rakan di sana adalah dalam kalangan mereka yang ayah bondanya atau penjaganya mengambil berat terhadap pelajaran.  Mereka juga boleh berjaya walaupun pada mulanya tertinggal agak jauh di belakang.  

Kiranya harapan 100 persen dibebankan kepada cikgu, mengharap seratus peratusnya daripada guru-guru di sekolah tanpa membuat susulan di rumah, ..... pasti harapan hanya tinggal harapan sahajalah.  

Apa yang terjadi adalah......  beg sekolah yang penuh terisi dengan bebanan renyukan kertas, buku latihan (buku tulis) yang semakin menipis serta kertas makluman kepada penjaga yang bersepah dan berlipat-lipat.  Ada kalanya juga terdapat permainan-permainan kecil di celahan buku-buku dan kertas tersebut. 

Alangkah baiknya tinjauan dibuat oleh penjaga terhadap isi kandungan beg sekolah sebaik-baik anak balik dari sekolah.  Kalau pun tidak setiap hari, sekali sekala apalah salahnya.  Berilah perhatian.....

Jenguklah sesekali beg anak yang bersekolah tu..... Bantu mereka membuat kerja rumah yang dibekalkan oleh guru-guru.  Tapi jangan pula ibu bapa yang menyiapkan kerja sekolah tersebut.  Guru-guru sebenarnya kenal sangat bentuk tulisan dan kerja-kerja anak anda!

Paling tidak pun, temani anak anda membuat kerja sekolahnya.  Mungkin pelajaran zaman sekarang jauh berbeza.  Namun bagi anak-anak yang agak lambat seperti di kelas pemulihan ini, kerja-kerja yang ditugaskan bukanlah berat.  Berilah perhatian dan sokongan padu bagi mereka.  Mereka tentu akan terasa dihargai.  Ucapkan sedikit kata-kata semangat dan sokonglah mereka!  InsyaAllah ini merupakan kunci untuk mereka menuju ke arah kejayaan.

Jangan lupa mendoakan mereka agar mudah menerima pelajaran, lebih-lebih lagi doa seorang ibu.  Kasihanilah mereka.  Kasih sayang amat perlu, kesabaran wajar ditingkatkan.  Kiranya kasih sayang itu hilang......  sukar untuk kita membantu meningkatkan diri mereka.

Apa yang terjadi di sekolah ialah harapan cikgu seakan tercabar dan tercalar.  Ini berikutan dengan keadaan anak-anak yang tidak berubah setelah diberi bimbingan di kelas.  Setelah pelbagai nasihat dan motivasi diberikan, mereka masih tidak endah terhadap pelajaran.  Kerja rumah yang diberi langsung tidak disiapkan. Malah lebih menyedihkan, mereka menjawab dengan selamba sahaja dengan pelbgai alasan.  Tidak langsung menunjukkan rasa bersalah, malah tidak pula meminta maaf kepada guru-guru.  

Sesungguhnya, gandingan antara guru, penjaga dan murid itu amat perlu dalam meningkatkan kemajuan anak-anak di samping mendoakan mereka serta tidak meninggalkan mereka keseorangan dalam mencari ilmu di maya ini.  Hargailah mereka dengan kasih sayang.  Jangan biarkan kasih sayang itu hilang dari pelabuhan hati mereka.............




Tiada ulasan: