Seperti biasa, sebelum meninggalkan emak dan ayah, aku bersalam sambil mengucup tangan mereka.
"Doakan mak ya...." perlahan tutur bicaranya. Jelas kedengaran di telingaku.
"Tak pernah lupa, mak..." jawabku. Kupeluk emak erat-erat. Sebak terasa. Emak agak kurus sekarang. Daging-daging di badannya telah mengendur.
Aku beralih kepada ayah pula. Kukucup tangannya. Lama tanganku digenggam. Lantas kupeluk ayah. Kurenung ke wajahnya. Ayah amat berharap kami pulang pada cuti Tahun Baru Cina nanti. Pada waktu tersebut ayah akan mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul di rumah. Ustaz yang berkenaan telah dijemput.
Kawan baik ayah telah membuat tempahan makanan tengah hari untuk hari itu. Oleh kerana abang Shamsul tidak dapat hadir pada hari yang dimaksudkan, maka harapan ayah hanya pada kami. Abang Shamsul ada urusan di Kuala Lumpur, menurut ayah. Manakala suamiku pula ada urusan pada tarikh berkenaan.
Dalam perjalanan pulang, aku memaklumkan kepada suami andaikata dia tidak dapat hadir nanti atas urusan yang mungkin tak dapat dielakkan, maka aku dan anak-anak insya-Allah akan pulang juga bagi memenuhi harapan dan permintaan ayah.
Anak-anak memang pantang diajak untuk pulang ke kampung, seronok bukan kepalang! Alhamdulillah, jarak antara rumah kami tidaklah jauh. Ini memungkinkan kami untuk pulang menjenguk selalu walaupun hanya 'balik hari' sahaja.
Dalam hati aku berdoa mudah-mudahan Allah mengizinkan kami kembali ke rumah Tok Gemuk dan Tok Wan pada tarikh yang dimaksudkan. Sihatkan tubuh badan mereka Ya Allah. Permudahkan urusan insan yang begitu istimewa bagiku, malah bagi kami seisi keluarga.
Teringat kata anakku, " Umi, Tok Gemuk dah tak gemuk lagi ya. Dia dah kurus dah......"
Hatiku diketuk kepiluan......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan