"Cikgu, saya Mykasih...." ujarnya. Aku akan merujuk tanda namanya. M.KHUZAIMY.
"Tahun 1C" sambungnya lagi. Lantas aku akan segera mengambil apa yang diminta, dan mencatat jumlah harganya di dalam buku MyKasih yang disediakan oleh Guru B&K.
Kini..... wajah comel itu dan suaranya takkan ada lagi muncul di pintu kedai buku. Dia bersama adik dan ayahnya pergi buat selamanya setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada hari Ahad, 31 Ogos 2014. Dan keesokan harinya disemadikan dalam satu liang lahad. Oleh kerana tanah wakaf itu bertentangan dengan simpang laluan ke rumahku, acapkali mataku tertumpu pada pusara tiga beranak yang masih merah itu apabila berhenti di simpang tersebut.
Dan tatkala aku bersama PK HEM, Guru B&K dan dua orang pegawai dari PPD menziarahi neneknya di rumah bagi menyampaikan sumbangan dari pihak sekolah, sayu dan syahdu menyelubungi suasana. Aku dipeluknya erat sambil bercucuran air mata. Memang kami saling mengenali. Cuma aku sudah lama tidak mengunjunginya. Namun seringkali berbalas lambaian kiranya terserempak tatkala aku melewati jalan utama di hadapan rumahnya. Kini beliau agak uzur, penglihatan agak kabur, sebelah tangan hilang upaya dan tidak kuat berdiri lama. Kelihatan sebatang tongkat sentiasa ada di sisinya.
Lebih menambah pilu bila mengenangkan yang ibu Khuzaimy sudah mendahului pergi menyahut panggilan Ilahi dua tahun yang lalu akibat kanser. Kini dia, adik dan ayahnya pula menyusul. Yang tinggal kini cuma kakaknya yang berusia 11 tahun yang memang dipelihara oleh nenek dan datuknya.
Lebih menyedihkan lagi bila mana neneknya membisikkan ke telingaku tatkala kami berpelukan sebelum kami melangkah kembali ke sekolah menyambung tugas semula.
"Ida, jenguk-jenguk le Cik Nah ni," ucapnya sayu. Tatkala itu air mata yang kutahan tak mampu kubendung lagi. Beliau kehilangan seorang anak, menantu dan dua orang cucu dari satu keluarga. Yang hanya tinggal kini satu-satunya cucu perempuan yatim piatu menjadi peneman diri dan suaminya.
Khuzaimy........ berbahagialah engkau di sana....... kami di SKL amat terasa kehilanganmu.
1 ulasan:
Khuzaimy pergi pada tahun 2014, kini datuknya pula kembali menemui penciptanya pada Oktober 2022. Maka tinggallah kakaknya Nabila bersama nenek yang sudah semakin uzur. Semoga Allah memberi kekuatan dan kesabaran buat mereka berdua.
Catat Ulasan