Sabtu, 12 September 2015

NIDA........ SEMOGA BAHAGIA DI SANA

Masih kuingat lagi................ 

Nadiah, Hidayah, Sarah, Hadirah dan Nida merupakan teman-teman sekolah rendah anakku, Kak Alang.  Masa itu mereka sama-sama belajar di Sekolah Agama Rakyat Al Hidayah, yang popular dengan nama SARAH.

Dalam ramai-ramai itu, hanya Nida seorang yang belajar di SK Mat Saman sedangkan yang lain-lainnya di SK Lekir.  Mereka cuma bertemu di SARAH pada sebelah petang antara jam 3.00 hingga 6.00 petang.  Sama sekampung, sama pula sekolah petangnya.

Nida adalah jiran kami yang paling dekat.  Rumah kami sama-sama bertemu bahagian dapur, ataupun bahagian belakang.  Pendek kata, kami berjiran.  Seringkali terdengar suara keriangan Nida dan adik-adiknya dari belakang tatkala mereka bermain adik-beradik walaupun ada tembok yang memisahkan rumah kami.

Bila meningkat ke sekolah menengah, Hadirah ke Sekolah Agama Ta'ayah, Nadiah ke SABK di Kg Gajah manakala Kak Lang, Sarah, Hidayah dan Nida sama-sama belajar di SMKBASE.  Tapi tidak lama selepas itu Nida berhijrah ke sekolah lain.  

 Aku cukup mengenali mereka melalui cerita-cerita yang Kak Lang sampaikan...... malah kesemua rakannya itu kukenal keluarganya, kutahu di mana rumahnya.  

Hinggalah SPM selesai........  masing-masing beralih haluan mengikut pilihan masing-masing.  Cuma Nadiah seorang menyambung pelajaran di kolej yang sama dengan Kak Lang di KUISAS.



Tidak kumenduga sama sekali.............

Khabar kurang enak tentang Nida kuperoleh dari bondanya, itu pun agak terlambat ..... ujian menimpa Nida secara tiba-tiba.  Walaupun bertemu dapur, kami jarang sangat dapat bersua muka berbicara mesra.  Cuma sesekali tatkala musim rambutan menjelma, seikat dua pasti kami hulurkan kepada mereka.

Pada mulanya kuterima khabar tentang Nida yang sakit.  Namun jauh sangat telahan hatiku tentang penyakitnya.  Ingatkan sakit biasa.......  Rupa-rupanya besar sungguh ujian yang ditanggungnya.  Nida tak upaya berjalan sendiri, dan akhirnya terbaring lesu tak bermaya.

Ke rumah sakit sudah, diperiksa doktor sudah.  Bila sudah tidak ditemui punca, ayah bonda mencari alternatif lain untuk anak kesayangan itu.  Pelbagai usaha dan ikhtiar perubatan di cuba.  Dari sosok tubuh yang sama seperti Kak Lang, badan Nida kian drastik susutnya.  Manakan tidak, bayangkan jika tekak tidak mahu menerima apa-apa habuan.  Atau semua yang masuk, pasti bakal diluah semula......  

Aku terkedu mendapat berita sahih itu.  Tak sampai hatiku bertanya banyak soal pada bondanya.  Apa yang dikongsinya begitu menyentuh hati kecilku.......  Ya Robb, hebatnya gadis kecil ini menerima dugaan.

Cuma baru-baru ini menurut kisah yang diceritakan oleh bondanya....... Nida sudah boleh makan, boleh bertatih jalan.  Sempat bergambar dengan senyuman di Hari Raya.  Gembira hati ibu bukan kepalang, bersyukur sudah tentu diulang-ulang.  


Namun langit tak selalu cerah............

Malam itu ketika aku mengadap laptop menyelesaikan kerja yang tertangguh...... tiba-tiba suami yang hampir lena memanggilku dari dalam bilik secara berbisik.  Antara pasti dan tidak,  suamiku menerima panggilan telefon dari jiran yang menyatakan bahawa Nida sudah tiada.  Dia bersiap-siap bermotosikal terlebih dahulu ke rumah jiran.

Dadaku berdegup kencang, betulkah ini?  Aku segera mencapai telefon....... panggilanku tidak berjawab.   Mesej yang kukirim kepada bonda Nida juga tidak berbalas....   Segera kuteliti whatsapp yang masuk satu persatu..... hinggalah tatkala mataku tertumpu pada ayat yang dikirim Kak Intan mengesahkan pemergian Nida...... aku jadi sebak.

Sejurus itu bertalu-talu info tentang berita sedih ini masuk.  Tak dapat kubayangkan bagaimana pilunya hati seorang ibu menerima kenyataan ini.

Kututup laptop, kututup whatsapp telefon bimbitku.  Aku segera bersiap-siap.  Sesekali aku menjeling waktu di telefon bimbit.   Aku terus melangkah keluar setelah memaklumkan kepada suamiku.  Kesedihan mula meraja di hati.

Memang aku tidak dapat mengawal air mata dari terus tumpah tatkala memeluk bondanya.  Kami berpelukan. Erat.  Masih terngiang-ngiang lagi kata-katanya...."sembilan belas tahun kak saya membelanya".   Aku kehabisan kata-kata.  Matanya membengkak, barangkali telah lama menangisi pemergian Nida.  Mulutnya masih mampu berbicara dalam nada sendu.  Biji butirnya tersusun rapi.  Tabahnya bondamu, Nida.

Setelah menghadiahkan bacaan Yaasin, kusingkap kain yang menutupi wajahnya.  Aku mengambil sedikit masa merenung wajah rakan Kak Lang yang telah pergi lebih dahulu.  Kusedekahkan Fatihah buatmu, Nida.

Esoknya aku turut sama menghadirkan diri di majlis pengkebumian anakanda Khairul Nida binti Zaleha,   Engkau lebih dahulu meninggalkan dunia fana ini.   Aku turut terasa akan kehilanganmu............  mudah-mudahan bahagialah engkau di sana.      



Tiada ulasan: