Ahad, 8 September 2024

Dakwah bil hal

 Menyantuni masyarakat India ketika bersama dengan pejabat agama dan NGO Perkim siang tadi menemukan aku dengan tiga orang anak-anak India. Dua daripadanya merupakan dua beradik murid sekolah rendah dan seorang lagi penuntut kolej. Mereka sebenarnya sepupu.

    Sempat beramah mesra tentang persekolahan mereka. Fasih berbahasa Melayu. Rupa-rupanya mereka bersekolah di sekolah kebangsaan yang berdekatan. Apabila aku bertanya tentang mengapa tidak memilih sekolah Tamil, mereka hanya tersenyum. Apabila mereka menyebut beberapa nama guru yang mereka kenali, aku memaklumkan nama itu kukenali juga. Siapa tidak kenal dengan guru bahasa dan guru pemulihan yang pernah bersama ketika aku masih berkhidmat dahulu.

    Agak rancak kami berbual di meja makan tersebut. Penuntut kolej itu pula mengambil jurusan pendidikan awal kanak-kanak dan memaklumkan bahawa semester akan datang dia akan berhadapan dengan latihan ataupun praktikal di tadika. Menurutnya dia memang sukakan kanak-kanak. Sopan nampaknya mereka bertiga. Ayah dan ibu mereka ada urusan di luar kawasan. Datuk memaklumkan agar mereka turut hadir dalam program kami. Betapa prihatinnya keluarga ini, sudi meluangkan masa menghadiri jemputan.

    Mereka setia bersama hingga ke akhir program. Penyampaian penceramah jemputan mengenai Kenali Ubat Anda, dan juga penyakit kanser mungkin mudah difahami kerana mereka bertiga terbiasa dengan penyampaian guru-guru Melayu di sekolah. Ini berbeza dengan hadirin warga emas yang turut serta. Komunikasi lebih mudah dengan anak-anak ini. Kami agak beruntung kerana penceramah pertama dapat menyampaikan maklumat dengan dwi-bahasa. Bahasa ibunda yang disampaikan secara selang-seli memudahkan pemahaman mereka.

    Walaupun kehadiran peserta India tidak mencapai target yang kami gariskan, ia tidak mematahkan semangat untuk kami meneruskan agenda ini untuk masa akan datang. Terima kasih juga atas kesudian dan khidmat yang diberikan oleh team Klinik Kesihatan berdekatan, pegawai perubatan, pihak JKM, RELA, JPKK dan NGO Adalia. Tidak lupa juga kepada masyarakat Melayu setempat yang sudi bersama. 

    Semoga program HARMONI ini dapat diteruskan lagi, bagi menjalin keharmonian masyarakat di samping menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Hari ini kami bersama masyarakat India dari Taman India dan Kampung Spynie, mungkin akan datang kami ke kampung yang lain pula. Semoga usaha murni dapat dilaksanakan berterusan dalam menyantuni seluruh masyarakat, lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan. Redailah kami Ya Rabb.

Selasa, 3 September 2024

OPAH OH OPAH


Salam takziah buat keluarga yang ditinggalkan. 

    Mengenali wanita ini semasa kami memiliki anak kecil. Anak-anak kerapkali dibawa sama untuk mendengar ceramah yang tidak ada di radio dan kaca televisyen. Era 90-an menyaksikan ceramah di cecelah lindungan pohon kelapa di bawah langit malam. Itu sudah menjadi kebiasaan kami.

    Mendengar ceramah bagaikan santai berkelah di pantai. Siap dengan tikar, toto dan bantal kecil. Segala kudapan menjadi bekalan anak-anak. Akhirnya mereka tidur bergelimpangan manakala kami berdua dengan tenang mendengar hingga ke ungkapan terakhir penceramah.

    Di sebelah rumahnya terdapat bangunan kecil yang dijadikan markaz. Namun kami sering dipelawa masuk ke rumahnya. Kekadang di situlah kami makan bersama. Sikapnya yang ramah menambat hati kami sekeluarga. Gelaran 'opah' menjadikan anak-anak begitu mesra dengannya.

    Musim berlalu, segalanya bertukar rupa. Zaman itu telah pergi. Tidak ada lagi ruang ceramah sedemikian rupa. Aku tidak menyedari bilakah masanya ia berakhir. Aktiviti mencari ruang parkir, berjalan beramai-ramai mencari tempat santai yang selesa, membeli-belah di warung yang dibuka, serta mendukung anak seorang demi seorang untuk dimasukkan ke dalam kereta tatkala berakhirnya ceramah tidak kulupa.

    Betapa gembira dan terujanya mereka tatkala mendengar bahawa kami hendak mendengar ceramah. Detik itulah yang menemukan anak-anak kami dengan 'opah' ini. Aku memanggilnya Mak Cik Zizah. Waktu itu suaminya masih ada. Anak-anaknya ada yang bekerja sebagai pegawai bank. Aku hanya mengenali tiga orang anaknya yang lebih muda daripadaku. Memang suami agak rapat dengan keluarga ini, sebelum kami mendirikan rumah tangga. 

    Perubahan angin politik akhirnya menjarakkan kami. Tidak ada lagi ceramah seolah-olah temasya di halaman rumah, di celah pepohonan, di pinggir jalan. Tiada lagi bersesak-sesak kenderaan beratur pulang lewat malam. Kesibukan membesarkan anak-anak dengan persekolahan mereka akhirnya mengaburkan itu semua. 

    Namun suami masih berhubungan dengan salah seorang anaknya hinggalah ke saat ini. Sementelah dia masih lagi berada di kampung, sedangkan yang lain telah berhijrah. Tiap kali melewati rumah asal mereka, pasti peristiwa lama tergambar di layar ingatan. 

      Tanpa kuduga pada tahun lepas kami ditakdirkan bertemu dalam satu program di dewan kuliah masjid. Kelihatannya berkerusi roda dengan ditemani salah seorang puterinya. Sempat aku merakam foto kami bertiga. Alhamdulillah dengan pertemuan itu.

    Itulah kali terakhir aku bertemu dengannya setelah bertahun tidak bersua. Kini engkau telah pergi bertemu Sang Pencipta. Moga tenanglah dikau di taman barzakh. Terima kasih Ya Robb kerana menemukan kami walau hanya seketika.

Pemergiannya pada hari Sabtu, 31 Ogos 2024 bersamaan 26 Safar 1446H. Moga Allah mengampunimu dan tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman.