Isnin, 20 Januari 2025

DOA UNTUK KALIAN

 TATKALA mendapat khabar duka tentang kalian, hati dijengah bimbang. Kita dihubungkan dengan pertalian darah. Kita ada hubungkait dalam susur galur atau salasilah keluarga. Kini semuanya jauh belaka.

    Kak Bi saudara ayah yang tinggal di Kinjang kian merosot kesihatannya. Khabar tentangnya kerap kubaca melalui status whatsapp anak-anaknya. Kali terakhir ialah tentang kakinya terpaksa dipotong asbab kencing manis. Sempat kami bersua di Hospital Teluk Intan sebelum dia dibedah.

    Isteri kepada 'ayah yang' yang kupanggil 'mak yang' pula terlantar di HRPB tidak berapa lama dulu. Tak sempat pun aku meninjaunya akibat kesibukan yang melanda. Sudah terlalu lama aku tidak menziarahinya. Entah kenal ataupun tidak padaku lagi. Tapi aku dengan satu-satunya anak perempuannya saling berhubung melalui whatsapp. Dia selalu menghantar khabar berita tentang bondanya.

    Kini adiknya pula akan menjalani pembedahan akibat sakit kanser. Moga Allah permudahkan urusan Karim di Hospital Seberang Jaya. Dari jauh akak rangkumkan doa buatmu dik, semoga selamat menjalani pembedahan. Moga urusan perubatan dan kesembuhan dipermudahkan.

    Yang terakhir ialah Uji nun di selatan tanah air, sepupuku yang diuji dengan sakit yang sama. Ya Allah begitu hebatnya ujian yang diberi kepada mereka. Berikanlah ketenangan dan kesabaran buat mereka. Mudah-mudahan mereka dapat menerimanya dengan penuh tabah. Sesungguhnya Engkau memberikan ujian mengikut kemampuan mereka jua. 

    Aku mengharapkan agar kesemua mereka dianugerahkan kesabaran yang tinggi dan reda dengan segala yang ditempuh. Berilah pahala buat mereka ini Ya Allah. Salam kasih sayang daripada saudaramu ini. Moga persaudaraan kita bertaut hingga ke jannah, amin....

Rabu, 15 Januari 2025

5 SEKOLAH

 Sudah dua tahun lebih aku bersara. Sesekali terkenang saat bertugas di kelima-lima sekolah yang pernah aku berkhidmat. Bermulanya 1 Julai 1988 di SKAHTI. Sekolah yang melahirkan team rounders yang hebat ketika itu. Di sinilah aku mengenali Shahrul Yuzy bin Ahmad Zaini, salah seorang pemain rounders. Akhirnya meninggalkan SKAHTI, dengan mengharumkan nama dalam sukan permotoran.

    Sekolah kedua pula iaitu SKSW, Ayer Tawar dalam daerah Manjung. Aku berhijrah ke sini setelah mendirikan rumahtangga. Nama sekolah mencanak naik dengan pasukan nasyid yang berjaya menjadi johan daerah Manjung. Vokalis utamanya ialah Hassan Adli bin Yahaya. Kini siapa yang tidak mengenali Imam Muda Hassan? Lebih berjaya daripada guru-gurunya yang pernah mendidiknya suatu ketika dahulu.

    Aku melangkah seterusnya ke SK Methodist ACS, Sitiawan. Sekolah 1 Malaysia bagi diriku. Ada Melayu, Cina, India, Benggali, Sabahan, malah ada juga Pakistan. Kenangan manis banyak di sini. Satu-satunya murid yang sedikit aneh terdapat di sini. Kami ada Lester, yang punya sedikit kelainan daripada anak didik yang lain. Dia bagaikan The Man From Atlantic! Apa khabarnya sekarang, ye?

    Apabila aku ditukarkan ke SK Lekir, ada sejarahnya tersendiri. Terasa sedikit kepelikan. Guru 'dah penuh, apa yang boleh kulakukan? Takkan duduk termenung sahaja di sekolah. Hairan juga, terhumbannya aku di sini bukan atas dasar mohon tukar. Orang lain yang minta ditukarkan, aku pula yang dapat. Memang pelik. Kenanganku di sini, sekolah dilanda banjir. 

    Setelah terlalu lama di satu-satu sekolah, akhirnya aku bergerak atau berhijrah ke SKGL. Tika itu wabak COVID 19 melanda. Merasa mengajar dalam situasi yang jauh berbeza dari sebelumnya. Murid-murid belajar secara atas talian. Secara bersemuka pula pernah kualami kehadiran hanya dua orang murid sahaja dalam sehari. Dan bermula dengan suasana itu aku mula menggilap bakat lama yang terhenti setelah mendirikan rumahtangga dahulu. Aku kembali menulis. Alhamdulillah.

    Pengalaman ketika berada di sekolah pertama, ketiga, keempat dan kelima telah kuabadikan di dalam naskhah antologi bersama-sama rakan penulis yang lain. Hanya di sekolah kedua sahaja belum kulaksanakan. Ke manalah idea menghilang......


Selasa, 14 Januari 2025

DI BALIK MERIAHNYA PASAR KARAT

 MERENUNG dari tepi laluan .... kelihatan masing-masing mula mengemas barangan jualan. Kelihatan wajah-wajah yang telah dimakan usia. Barangkali kebanyakannya telah bergelar warga emas. Rata-ratanya dalam lingkungan usia 60 dan 70-an. Malah mungkin lebih daripada itu.

    Tatkala melihat kereta yang mula meninggalkan tapak berniaga, aku menyedari bahawa ada dalam kalangan mereka yang bukan calang-calang orangnya. Berkereta mewah nampaknya. Berniaga di pasar karat mungkin hanya sekadar hobi. Setakat suka-suka sahaja. Demi mengisi masa terluang yang berbaki.

    Mata tertumpu kepada sekumpulan mereka yang terdiri daripada 3 warga Melayu dan seorang Cina yang agak riuh berbicara. Mesra sekali, sambil usik-mengusik. Motorsikalnya dipenuhi dengan barang jualan. Berikat di sini sana. Ada rakan yang membetulkan ikatan talinya. Batang golf yang ada sesekali disorong tarik oleh rakannya yang lain. Gelak tawa memecah suasana. Akhirnya penunggangnya berlalu pulang. 

    "Kesian menengoknya. Kekadang satu barang pun tak laku. Kamilah berkongsi sorang sikit, beri duit poket. Kalau balik tangan kosong, kena marah dengan bini." Allah...sedih pula mendengarnya. Sampai begitu sekali. Beruntungnya apek tua itu memiliki rakan yang ambil peduli akan keadaannya. 

    Begitu rupa-rupanya kisah di sebalik kemeriahan pasar karat. Sarat menyimpan rahsia. Itu hanya sebahagian kecil kisah yang kami dapat lihat di hadapan mata. Selebihnya entah siapa yang tahu. Apa yang dapat dilihat hanya tipuan dunia. Penuh laluan dengan pelbagai barangan. Mengembalikan nostalgia zaman lampau. Aku terpikat dengan piring hitam dan kaset yang diatur kemas. Fikiranku mula melayang pada kisah aku dan ayah.

    Ayah mengajakku bernasyid bersama-sama, sambil dia membuat rakaman. Masih kuingat lagi bait lagu itu. Bagai terngiang-ngiang di telingaku.

"Mari-mari adikku belajar mengaji
Ambillah segera kitab juz amma
Jangan lupa mensuci tangan dan mukamu
Jangan-jangan bergurau agar lekas pandai...

Jumaat, 10 Januari 2025

TERIMA KASIH DAN TAHNIAH AI

 Tahniah AI........

Dalam susah payahnya memegang tampuk
Di kiri kanan dihentak dan dihenyak
Oleh musuh yang bergeyantangan
Namun engkau tetap bersabar

Terima kasih AI

Mendepani cabaran penuh keberanian
Memikir soal rakyat marhaen
Membangun ekonomi membawa pembaharuan
Mengisi ruang dan peluang

Tahniah AI

Mengatur langkah demi langkah
Walau bersimpang siur peluru fitnah bertaburan
Kerana ulama' pernah mendoakan yang terbaik
Barangkali YME telah memakbulkan......alhamdulillah

Terima kasih AI

Sudi menyantuni mereka yang di bawah
Mudah-mudahan perjalananmu diberkati




Selamat Datang Rejab

Di permatang meninjau ikan,
Duduk beradu di atas titi;
Selamat datang khas diucapkan,
Rejab dirindu dan dinanti-nanti.

Membelek akhbar jangan berangan,
Hadamkan dengan berhati-hati;
Apa khabar apa gerangan,
Bulan pusingan bersilih ganti.

Manis sekali si air nira,
Tambahkan isi nipah sekali;
Rindunya hati tidak terkira,
Sekian kali bersua kembali.

Duduk berfikir resah pak tani,
Hajat ke Mekah jadi impian;
Banyakkan zikir di bulan ini,
Puasa sedekah jadikan amalan.

Mengail ikan jauh di hulu,
Pandang tak jemu flora dan fauna;
Jangan biarkan masa berlalu,
Carilah ilmu walau di mana.

Pisang sira masak sekawah,
Buat santapan hidangan tamu;
Bertemu mesra eratkan ukhuwah,
Tambah kenalan di majlis ilmu. 

Tunggu sekejap di pinggir jalan,
Menanti taulan rusuh di hati;
Di bulan Rejab tingkatkan amalan;
Buat bekalan Ramadan nanti.

Rabu, 8 Januari 2025

Khabar Pilu Awal Januari

 AKU membaca khabar duka yang tertera di group whatsapp tersebut pada 5 Jan 2025 bersamaan 5 Rejab. Di akhir-akhir zaman ini kerap sangat kita menerima kisah kematian secara tiba-tiba. Baru semalam jumpa, hari ini sudah tiada. Baru semalam rancak berbicara, hari ini kita kehilangan kata-kata. Sesungguhnya dari Allah dia datang, dan kepada-Nya dia kembali.

    Sebenarnya khabar itu kuterima semasa di dalam perjalanan pulang ke Lekir. Sebelum itu aku berkesempatan menemani suami ke pasar karat sementara menunggu anakanda bermesyuarat. Direzekikan juga bertemu anak cucu di situ setelah keadaan sedikit lengang. Menyaksikan ragam peniaga yang rata-ratanya orang veteran. 

    Seterusnya kami singgah mengisi perut yang berkeroncong dengan bekalan yang dibeli di salah sebuah tempat makan yang agak popular di bandar Ipoh. Usai menunaikan solat zohor di Masjid Negeri, kami berpecah pulang. Terubat rindu melihat gelagat cucunda tercinta. Makin membesar, makin pelbagai kerenahnya yang ada kalanya mencuit hati dan menguji kesabaran ayah bondanya.

    Sesekali aku terlelap di dalam perjalanan. Maklumlah...ketika perut kenyang, pelupuk mata makin berat terasa. Sedangkan suami di sisi masih berupaya memandu dengan kelajuan yang konsisten. Namun ada waktunya aku tersedar sekejap-sekejap, akhirnya mengakibatkan kepala mula terasa berat dan tengkuk terasa sedikit tidak selesa. Setibanya di kawasan kami, aku membetulkan dudukku. 

    Kami melewati kediaman Haji Ahmad. Keadaannya suram dan sunyi. Sesampainya di rumah, aku mengambil sedikit masa untuk rehat seketika sambil melayan sakit kepala yang masih bersisa. Selesai mandi dan menunaikan solat asar aku segera mencapai kunci kereta dan bergegas ke kediaman mereka. Aku tiba sebaik-baik ambulans sampai. Esakan Sakinah jelas kedengaran sambil dipeluk erat abangnya. Sebak merajai hatiku.

    Kami melangkah masuk ke rumah sebelum jenazah dibawa sama untuk ditempatkan di ruang tamu. Suasana sayu terasa. Sempat aku bersalam dengan Sakinah. Kami berpelukan. Getar sendu seorang ibu jelas sekali. Kehilangan secara tiba-tiba setelah 17 tahun dimiliki. Tiada siapa pun menyangka dan menduga segalanya berlaku dengan begitu pantas. 

    Aku mengambil tempat duduk di sisi kirinya. Aroma kapur barus menusuk rongga hidungku. Dengan penuh hormat aku memulai dengan salam dan menghadiahkan bacaan Fatihah buatnya. Aku sedar bahawa dia menyaksikan apa yang berlaku di sekelilingnya. Ustaz dan ustazah pernah berkongsi ilmu tentang itu. Bacaan surah Yaasin yang kubaca beberapa kali terhenti akibat air mata mula melimpahi tebingnya secara tiba-tiba. Sapu tangan yang kubawa lembab dibasahi. Aku perdengarkan bacaan kepadanya dengan jelas. Aku tahu dia mendengarnya.

    Tak terkawal sebak di hati. Selesemaku kian ketara. Aku sudahi dengan kuntuman doa buatnya. Satu per satu kenangan lalu ketika bersama putera dan puteri Sakinah berlegar di ruang mata. Anakanda kedua ini pernah kurang sihat suatu ketika dahulu. Namun itu bukanlah punca kehilangannya. Sakinah berkongsi kisah bagaimana kejadian tersebut.

    Walau apa pun keputusan doktor, itu adalah pandangan dan pengesahannya mengikut bidang pengetahuannya. Pengetahuan yang terbatas. Sesungguhnya Dia sahaja lebih mengetahui. Aku bangun memberi ruang dan peluang kepada rakan-rakannya yang hadir untuk bersamanya. Kehadiran rakan sekolah begitu menjentik hatiku. Baru seminggu mereka sama-sama menduduki SPM. Selepas ini di dalam dewan peperiksaan akan ada kerusi kosong tanpa penghuni. Mereka sudah pasti turut merasai sebuah kehilangan.

    Aku mencuri pandang kepada mereka yang hadir. Satu per satu bekas guru dan mak cik kantin kelihatan sama. Kami berkongsi rasa. Jiran tetangga, saudara-mara dan handai taulan berkampung seketika. 

    Lebih menyentuh hati kerana ayahanda dan abangnya berpatah balik dari Terengganu. Hasrat ayah yang mendaftarkan abangnya untuk menyambung pelajaan di pantai timur itu terpaksa memohon untuk menangguhkan waktu. Pasti sepanjang perjalanan dihantui kesedihan. Harapan kami agar kedua-duanya selamat sampai. 

    Aku meminta izin untuk pulang sebaik-baik menjelang waktu maghrib. Sekali lagi kupeluk Sakinah. Erat. Sedikit ucap semangat aku ungkapkan untuknya agar bersabar. Aku melangkah meninggalkan kediaman itu setelah bersalaman dengan mereka yang hadir. 

    "Doakan dia mendapat syurga, ya cikgu," bisik nendanya ketika kami berpelukan. Pelupuk mataku kembali membasah. Mudah-mudahan Allah mengampuni dan menempatkan Aryna Durratul Jasmine di taman-taman syurga. Berehatlah dikau di sana. 


catatan 4.54 pagi, 8 Jan 2025.