Isnin, 17 Februari 2025

BEREHATLAH PAK NGAH

 

KERAPKALI aku melalui jalan itu. Dan kerapkali juga akan kelihatan kelibatnya terbongkok-bongkok membersihkan kebun sekitar rumahnya. Rajin Pak Ngah berkebun. 

    Dia juga rajin menternak haiwan. Walaupun telah dua tiga kali angsa peliharannya dikebas orang, dia sekadar bercerita sahaja andai ditanya mengenai perkara tersebut. Untuk berdendam jauh sekali, apatah lagi apabila mengetahui bahawa yang mengebas ternakannya itu 'doktor persendirian'.

    Aku suka melirih ke pohon asam gelugur nan sebatang sekiranya melalui jalan di tepi parit itu. Ada sahaja buah yang kelihatan bergayutan di pohon tersebut. Kekadang yang masak gugur ke tanah segera dikutipnya. Walaupun hanya sepokok, tak putus berbuah. Syukur alhamdulillah.

    Tapi semenjak Pak Ngah sakit dan terlantar di wad, asam gelugur tersebut terbiar begitu sahaja. Tiada siapapun yang menyedari akan hal tersebut. Cuma aku sahaja yang sedikit terasa akan kesunyian kebun tersebut. Tiada tuan yang menguruskannya. Buah gelugur terbiar bergelimpangan begitu sahaja.

    Hendak diziarah, sedikit sukar untuk masuk ke HAT. Teringin hendak berziarah, namun apakan daya. Sekadar mendapatkan khabarnya melalui group whatsapp yang ada. Kami sama-sama rangkumkan doa buat Pak Ngah. 

    Pagi semalam usai sarapan di Bunga Cafe, aku dan suami singgah untuk menziarahi Pak Ngah di rumahnya. Namun salam tiga kali tidak bersambut. Kami pulang dengan sedikit hampa. Sebaik-baik sampai di rumah, aku meninjau whatsapp yang masuk. Khabar dukacita atas pemergian Pak Ngah bertebaran dalam lima group whatsapp yang aku turut serta. Semoga Allah mengampunimu Pak Ngah. Mudah-mudahan tergolong dalam kalangan orang-orang beriman. 

    Dahulu engkau berkhidmat di dalam kor angkatan tentera, disebut Guru KAGAT. Kemudian banyak masa kau penuhi dengan menebarkan ilmu buat anak didik dan kejiranan kami. Di sekolah, surau dan masjid telah kau jejaki demi mencurahkan bakti tanpa mengenal erti lelah. Anak-anakku juga pernah menjadi anak muridmu di SAR.

    Berbahagialah engkau di taman barzakh. Berehatlah Pak Ngah, jasamu tetap kami kenang. Moga pahala itu terus mengalir meskipun engkau telah tiada. Daripada Dia engkau datang, kepada-Nya engkau kembali. Pergimu di 17 Syaaban yang mulia.



    

    

    

SALAM TAKZIAH YAN

 Hari itu aku menerima perkhabaran duka daripada Yan. Sebak nada suaranya di hujung talian. Biasanya kami berbalas whatsapp sahaja, terutama jika aku hendak membuat tempahan kerepek pisang kepadanya. Dia merupakan pengusaha kerepek pisang di bawah bimbingan RISDA. Rajin orangnya.

    Aku mula mengenalinya dan kami berhubung dengan lebih rapat setelah bersama-sama berada dalam rombongan yang sama ke MAHA yang lalu. Malah suamiku sama tempat kerja dengan ayahnya suatu ketika dahulu. Dia dibantu oleh suaminya dalam pembikinan kerepek. Mudah-mudahan industri kecil mereka berkembang pesat, insya-Allah.

    Beberapa hari yang lalu aku dan suami sempat menziarahi ayahnya di wad. Kelihatan agak kritikal. Arwah menghidap kanser di bahagian kepala. Apa yang aku nampak hanya tuala kecil di bahagian dahi ayahnya sambil adiknya membisikkan sesuatu. Barangkali kalimah yang perlu sahaja. Ada beberapa orang yang kukenali turut datang berziarah. Aku bersalam dengan Yan sebelum bermohon untuk pulang. Sempat kubisikkan kata semangat kepadanya. Aku tahu hatinya tak keruan.

    Beberapa hari selepas itu, ayahnya pergi meninggalkan dunia fana ini. Khabar duka yang kuterima telah aku panjangkan kepada En. Amran, lantas memohon untuk dimajukan ke group yang Yan maksudkan. Kemudian aku khabarkan juga kepada Dilla, yang merupakan usahawan di bawah bimbingan Risda. Aku mengekor rapat kedua-dua usahawan ini. Seringkali juga aku membuat tempahan sama ada daripada Dilla mahupun Yan.

    Agak lewat kami menziarahi almarhum petang itu. Setibanya kami di tanah wakaf, sekadar sempat mengaminkan doa yang dibacakan. Suram menyelubungi suasana. Usai berdoa dan ketika ramai yang beransur pulang, aku bertemu Yan. Kami berpelukan. Aku sampaikan sedikit sumbangan daripada Cikgu Ya dan menyampaikan juga salam isterinya, Cikgu Fadzilah. 

    Direzekikan juga bersua ayahanda Cikgu Lailinda Hanum, rakan sekerjaku dulu. Kami bersama dalam Pemulihan Khas. Sedikit terhibur dengan gelagat 'pak cik' itu yang baru pertama kali kami temui. Betapa kecilnya dunia terasa, ke mana pergi pun ada sahaja insan lain yang terkait dengan kehidupan kita. Semoga pak cik sihat dan bahagia dengan kehidupan tanpa suri hati di sisi.

    Semoga almarhum Encik Ayob tenang di taman barzakh. Mudah-mudahan tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin ...


        Berkesempatan mengabadikan foto bersama ayah Lailinda dan sebuah rumah lama di tepi jalan utama Beruas. 
    
        Berjalan kaki penat menerpa,
            Air diambil diteguk segera;
        Ada rezeki kita berjumpa,
            Bertemu sambil menjalin bicara.

        Air perigi dingin sekali,
            Terenang-renang si ikan laga;
        Yang pergi takkan kembali,
            Semoga tenang di taman syurga.

Sabtu, 1 Februari 2025

MENGENALIMU

 Siapa yang tak kenal Tuan Haji Zainal? Siapakah gerangannya? Sesungguhnya beliau sangat aktif dengan beberapa NGO. Duduk bersama di gelanggang Perkim mengajar aku untuk mengenali sosok seorang yang punya banyak pengalaman berharga. Meskipun tergolong dalam golongan OKU, beliau dapat menggalas amanah yang diberi dengan baik. 

    Tongkat merupakan sahabat yang sering bersama walau ke mana beliau pergi. Namun begitu sahabat itu mula ditinggalkan tatkala dirasakan kaki sudah mampu berjalan sendiri. Itulah kesilapan yang diakui oleh pemiliknya. Kesakitan yang mula dirasai itu akhirnya bertambah serius. Berkesudahan akhirnya beliau terpaksa ditahan di wad.

    Ada dalam kalangan sahabat berziarah di terataknya dan ada juga yang berkesempatan melawatnya di hospital. Tidak putus kunjungan handai taulan dan kenalan. Itu membuktikan bahawa ramai yang mengenali beliau. 

    Masih kuingat lagi ucapannya di dalam satu perjumpaan, "Saya tak layak untuk menjadi imam, kecuali satu sahaja.  Iaitu imam solat jenazah. Sebab ianya tidak berkehendakkan saya duduk." Memang semua maklum bahawa solatnya terpaksa berkerusi. Namun untuk menjadi khalifah dalam majlis tahlil, tidak ada halangan baginya. 

    Beliau masih mampu berkereta ke sana ke mari. Kali terakhir beliau memandu sejak kakinya sakit memaksa dirinya berhenti sebanyak empat kali dalam perjalanan. Kesakitan terpaksa ditanggung sendiri. Kami yang mendengarnya diselubungi rasa simpati.

    Setelah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan besi di kakinya, kesihatannya makin merosot. Sesungguhnya beliau diuji lagi dengan jangkitan kuman dalam darah dan tulang selepas itu. Rasa empatiku mula memuncak tatkala mendengar khabar daripada Haji Mahmud bahawa beliau yang terbaring di katil hospital tidak mampu memegang pen dan menurunkan tanda tangan pada kertas yang dihulurkan. Allahu akbar, sampai begitu sekali.

    Beliau tidak sempat menjalani rawatan seterusnya akibat situasi diri yang semakin lemah. Keadaan yang sedemikian akhirnya menjadi asbab beliau ditidurkan pada jam 1030 malam 28 Januari 2025. Tidak ada daya upaya kami untuk membantu. Hanya sekadar doa dan harapan yang mampu kami ungkapkan. Begitu pantas segalanya terjadi. Beliau meninggalkan kami pada jam 2.00 pagi (29 Januari) tatkala mungkin kami sedang lena dalam pelukan malam. Kesakitan yang beliau tanggung berakhir jua dalam reda isteri dan keluarga. 

    Kau ampuni dan rahmatilah dia. Seorang kenalan juga sahabat yang memegang tampuk dalam pertubuhan PERKIM telah pergi meninggalkan kami. Sentiasa bersikap positif, juga tahan cabaran. Tahniah buat arwah yang telah berjaya menggalas amanah selama hayatnya dengan baik. Mudah-mudahan segala usaha murni beliau diberi ganjaran yang setimpal oleh Alllah SWT.

    Semoga Tuan Haji Zainal bin Adnan berbahagia di alam sana, juga tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kenangan bersama beliau berbekas dalam ingatan.