Isnin, 17 Februari 2025

SALAM TAKZIAH YAN

 Hari itu aku menerima perkhabaran duka daripada Yan. Sebak nada suaranya di hujung talian. Biasanya kami berbalas whatsapp sahaja, terutama jika aku hendak membuat tempahan kerepek pisang kepadanya. Dia merupakan pengusaha kerepek pisang di bawah bimbingan RISDA. Rajin orangnya.

    Aku mula mengenalinya dan kami berhubung dengan lebih rapat setelah bersama-sama berada dalam rombongan yang sama ke MAHA yang lalu. Malah suamiku sama tempat kerja dengan ayahnya suatu ketika dahulu. Dia dibantu oleh suaminya dalam pembikinan kerepek. Mudah-mudahan industri kecil mereka berkembang pesat, insya-Allah.

    Beberapa hari yang lalu aku dan suami sempat menziarahi ayahnya di wad. Kelihatan agak kritikal. Arwah menghidap kanser di bahagian kepala. Apa yang aku nampak hanya tuala kecil di bahagian dahi ayahnya sambil adiknya membisikkan sesuatu. Barangkali kalimah yang perlu sahaja. Ada beberapa orang yang kukenali turut datang berziarah. Aku bersalam dengan Yan sebelum bermohon untuk pulang. Sempat kubisikkan kata semangat kepadanya. Aku tahu hatinya tak keruan.

    Beberapa hari selepas itu, ayahnya pergi meninggalkan dunia fana ini. Khabar duka yang kuterima telah aku panjangkan kepada En. Amran, lantas memohon untuk dimajukan ke group yang Yan maksudkan. Kemudian aku khabarkan juga kepada Dilla, yang merupakan usahawan di bawah bimbingan Risda. Aku mengekor rapat kedua-dua usahawan ini. Seringkali juga aku membuat tempahan sama ada daripada Dilla mahupun Yan.

    Agak lewat kami menziarahi almarhum petang itu. Setibanya kami di tanah wakaf, sekadar sempat mengaminkan doa yang dibacakan. Suram menyelubungi suasana. Usai berdoa dan ketika ramai yang beransur pulang, aku bertemu Yan. Kami berpelukan. Aku sampaikan sedikit sumbangan daripada Cikgu Ya dan menyampaikan juga salam isterinya, Cikgu Fadzilah. 

    Direzekikan juga bersua ayahanda Cikgu Lailinda Hanum, rakan sekerjaku dulu. Kami bersama dalam Pemulihan Khas. Sedikit terhibur dengan gelagat 'pak cik' itu yang baru pertama kali kami temui. Betapa kecilnya dunia terasa, ke mana pergi pun ada sahaja insan lain yang terkait dengan kehidupan kita. Semoga pak cik sihat dan bahagia dengan kehidupan tanpa suri hati di sisi.

    Semoga almarhum Encik Ayob tenang di taman barzakh. Mudah-mudahan tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin ...


        Berkesempatan mengabadikan foto bersama ayah Lailinda dan sebuah rumah lama di tepi jalan utama Beruas. 
    
        Berjalan kaki penat menerpa,
            Air diambil diteguk segera;
        Ada rezeki kita berjumpa,
            Bertemu sambil menjalin bicara.

        Air perigi dingin sekali,
            Terenang-renang si ikan laga;
        Yang pergi takkan kembali,
            Semoga tenang di taman syurga.

Tiada ulasan: