Ahad, 9 Mac 2025

BAHULU ZAMAN DULU

        Pernah tolong emak buat kuih bahulu. Bab menolong emak ni bagi jer kepada kami dua beradik.    Sanggup jer. Tetapi lenguh tangan dibuatnya, bertukar-tukar tangan kanan dan kiri. Itu sahaja yang    mampu aku buat. Sukatan bahan-bahan lain emak yang sediakan.

    Emak pecahkan telur yang telah dicucinya satu per satu ke dalam sebuah pasu besar. Banyak sungguh! Aku menunggu sambil membilangnya. Selesai semuanya, aku mengambil pemukul telur berupa dawai kasar bergelung dan bertangkai. Seperti spring sahaja bentuknya. Mulalah aku memukul dengan perasaan teruja. Orang putih kata 'exited'.
    Aku pukul telur di dalam pasu tersebut lama-lama. Mak kata pukul sampai berbuih dan kelihatan putih warnanya. Tangan berganti kiri kanan. Letih tangan sebelah kanan, aku ganti dengan sebelah kiri. Ada ketikanya aku berhenti sejenak sambil berfikir....sampai bila nak dipukul telur tersebut. Rasa teruja tadi telah berganti dengan rasa bosan.
    Penat bersila, aku berlunjur pula. Entah bilalah nak kembangnya.... Lama sungguh aktiviti memukul telur itu berlangsung. Mahu tanggal rasanya tanganku. Apabila sudah tak terdaya, emak sahaja yang menghabiskan tugas tersebut. Asyik aku memerhatikan acara seterusnya, iaitu emak memasukkan gula dan pukul lagi dengan kudrat dan tenaganya. Kemudian tepung dimasukkan. Dikacau sebati.
    Paling aku tunggu ialah saat emak membakarnya. Kuih bahulu mempunyai acuannya tersendiri. Cantik bentuk acuan tersebut. Bahulu cermai namanya. Satu lagi berbentuk belimbing. Di bahagian dalam periuk besar emak letakkan pasir yang telah dibersihkan. Di atas pasir itulah acuan berisi bancuhan tadi ditempatkan. Emak menyudu bancuhan itu lalu memasukkannya ke dalam setiap lubang yang ada. Kemudian periuk ditutup dengan tudungnya. Di atas tudung periuk itu diletakkan sabut sebagai bahan bakar.
    Aku memerhati sahaja. Di bawah periuk ada api, yang sudah tentu akan memanaskan pasir tersebut. Di atas pula ada sabut yang berbahang panas. Maka kedua-dua bahagian atas dan bawah bahulu akan masak sekata. Penjagaan api memang dititikberatkan. Kalau tidak, mahu rentung bahulu tersebut. Yang tidak berapa manis dipandang mata akan menjadi habuan perut kami waktu berbuka nanti. Allah..... kenangan sungguh!!!


Selasa, 4 Mac 2025

Pulangmu di Ramadan pertama

 DISEMBER lalu kami berkesempatan menziarahinya. Tika itu dia masih boleh berbicara meskipun agak perlahan dan lambat-lambat. Penyakit kanser paru-paru yang dihadapinya menjadikan dia semakin lemah.

    Hubungan kami sekadar bau-bau bacang. Kakaknya merupakan isteri kepada Pak Cik Hussin yang merupakan saudara suamiku. Sebenarnya kami pernah tinggal berjiran suatu masa dahulu. Waktu itu kami baru sahaja memiliki dua orang cahaya mata lelaki. Walaupun hubungan tidak rapat dek kerana aku ketika itu sibuk dengan tugasku sebagai guru dan ditambah dengan menjaga anak-anak yang masih kecil, namun kami masih mengenali antara satu sama lain.

    Sibuk dengan urusan itu menjadikan aku jarang keluar rumah. Pagi-pagi sudah keluar bekerja. Hampir jam 2.00 petang baru pulang ke rumah. Ada ketikanya kerja sekolah perlu dibereskan di rumah. Tidak ada masa untuk lepak dan bersantai waktu itu. Masa amat berharga, ditambah dengan menguruskan anak kecil yang penuh cabaran.

    Sesekali sempat juga bertegur sapa dengan jiran tetangga. Di belakang rumah kami ada opah dan Pak Hamid. Di sebelahnya pula ialah rumah ibu kepada Mak Cik Tipah. Diikuti rumah Mak Cik Tipah (Pak Cik Hussin) betul-betul di sebelahnya. Manakala rumah Kak Zauyah ini betul-betul pula di hadapan rumah mereka.  Bermakna rumah kak Zauyah ini letaknya sama-sama di hadapan menghadap jalan utama, sebaris dengan rumah yang kami sewa.

    Lebih mudah untuk mengenali kediaman kami kerana bentuknya hampir sama dengan rumah Kak Zauyah. Cuma rumah kami cat kuningnya agak kuat sedikit. Kami lima keluarga ini berkongsi ruang halaman yang redup dipayungi pepohon buah-buahan.

    Berjiran sekadar empat tahun sahaja, kami akhirnya berpindah setelah rumah baharu siap dibina. Namun sesekali kami mengunjungi rumah tetangga ini terutamanya ketika raya tiba ataupun ada jemputan kenduri kahwin. Di situlah kami berpeluang bertanya khabar dan mengatur bicara. 

    Sehinggalah penghujung tahun lepas kami dikejutkan tentang perkhabaran duka mengenai kesihatan Kak Zauyah. Mengunjung ziarah Kak Zauyah di kediaman anaknya Diana, mengembalikan kenangan lama ketika anak-anak kami masih kecil. Anak-anak itulah yang menjadi harapan kini, menjaga ibu tua yang menanggung sakit.

    Namun Allah lebih menyayanginya. 1 Ramadan Kak Zauyah menghembuskan nafas terakhir. Berita itu telah disampaikan oleh Shila, iaitu anak pak Cik Hussin. Selepas menunaikan solat Asar, aku bersama suami bergegas ke kediaman mereka. Sempat menatap wajahnya buat kali yang terakhir, juga mengiringi jenazahnya ke tanah wakaf berdekatan.

    Semoga Allah mengampunimu. Mudah-mudahan tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman. 

Salam takziah buat seluruh keluarga