Ahad, 11 Mei 2025

SALAM JUMAAT 9 MEI 2025

 ALHAMDULILLAH....direzekikan bertemu dengan Mak Cik Misah di dalam perjalanan ke tanah wakaf awal pagi. Kebiasaaannya tiada sesiapa pun di halaman rumah itu. Wak yang biasanya duduk di atas kerusi di hadapan pagar rumah pun sudah lama tidak kelihatan.

    Sempat kami berbual pendek sebelum aku meninggalkannya. Aku berjanji akan singgah semula setelah urusanku selesai nanti. Pusara ayah dan emak dikunjungi untuk kesekian kalinya. Agak sedikit lewat aku melangkah keluar rumah, pak cik yang biasanya kelihatan mengunjungi pusara isterinya sempat kulihat kelibatnya sahaja. Motornya berlalu pergi perlahan-lahan.  Kerap kali kami bertembung, dan sudah saling mengenal. 

    Aku memulai dengan salam buat semua penghuni taman barzakh tersebut. Kucapai naskhah Yaasin, kerusi kecil dan penyiram bunga untuk dipenuhi dengan air dari pili berdekatan. Mentari memunculkan wajahnya tanpa segan silu. Kulewati satu persatu pusara yang ada dengan lapang dada. Ada beberapa pusara yang kukenal benar akan siapa empunyanya.

    Sebaik-baik tiba di lokasi, salam buat ayah dan emak kulafazkan sambil membetulkan duduk kerusi tersebut. Kelihatan beburung berterbangan sekitar pepohon yang menjulang tinggi. Sesetengahnya hinggap di dahan yang tidak berdaun. Kumulai dengan selawat, Fatihah dan beransur-ansur mengalunkan bacaan Yaasin antara dengar dengan tidak. Sesekali sebak menguasai diri. Rindu pada yang telah pergi. 

    Kuakhiri dengan rangkuman doa dan disudahi dengan siraman air. Kelihatan merimbun hijau pepohon renek tersebut. Bertasbihlah buat ayahbondaku. Kulafazkan izin mohon pergi dengan berat hati. Kenangan lalu bergeyantangan di minda. Pandangan dan senyuman silih berganti. 

    Aku singgah semula ke rumah Mak Cik Misah. Kebetulan anaknya, Cikgu Roslan tiba di pintu pagar. Aku dipelawa masuk oleh Cikgu Lan dan bondanya. Itulah rutin Cikgu Lan, anak sulungnya. Pagi menghantar sarapan, sambil melihat apa yang patut dilakukan untuk ayahbondanya. Tengah hari pula membawakan bekal makanan tengah hari yang disiapkan oleh isterinya. Beruntung Mak Cik Misah dan Wak kerana anak menantu tinggal dalam kampung yang sama.

    Kebanyakan anak menantu dan cucunya memang kukenali. Bertuahnya mereka berdua kerana direzekikan memiliki keluarga besar di lokasi yang sama. Sakit pening ada yang mengurusnya. Alhamdulillah. Namun begitulah putaran kehidupan, yang muda akhirnya tua. Yang sihat, tidak selamanya. Mudah-mudahan Mak Cik Misah dan Wak Sardiman sentiasa dalam peliharaan Allah SWT, beroleh kebahagiaan dan ketenangan dalam meniti kehidupan. 

    Aku yang bakal mencecah usia warga emas di tahun hadapan belum pasti bagaimana keadaannya. Berikan kesihatan yang baik buat kami semua Ya Allah, agar dapat memberi manfaat buat agama, masyarakat dan negara sebelum kembali menghadap-Mu.  Amin.


Selasa, 6 Mei 2025

PRK AYER KUNING MENEMUKAN KAMI

 Tak siapa menduga, tak siapa menyangka...... rezeki itu Allah yang tentukan. Amat benar semuanya. Syukur alhamdulillah.

    Apabila diberi peluang untuk berkhidmat di N.48 DUN Ayer Kuning, aku yang berminat mula mengatur langkah. Ruang masa yang ada dan izin suami, memberi laluan untuk aku berganding bahu dengan mereka yang sehati sejiwa. Lantas kenangan lama muncul kembali....

Bermulanya perjuangan ayah....

    Ayah dulu terlibat dan bergerak aktif dengan Kesatuan Pekerja-pekerja Lombong Semenanjung Malaysia (KPPLSM). Masa itu aku masih budak-budak lagi. Kalau ayah hendak menghadiri mesyuarat UNION, pasti ayah akan membawa sama beg james-bond. Aku sekadar memerhati. Antara nama tempat yang biasa kudengar ialah Kampar, Tanjung Tin, Changkat Tin, Keramat, Ayer Kuning, Tronoh Mines, dan Wang Kelian. Apabila ayah bermesyuarat pasti dia akan menyebut Kuala Lumpur.

    Ayah akan berpakat dengan kawan-kawannya untuk ke sana bersama-sama. Pak Cik Mansor, Uncle Kok Hoi, Uncle Ramachandran, Uncle Rajoo, dan Pak Cik Halim merupakan nama yang tidak asing bagiku. Ayah menyebut pasal perjuangannya dalam membela nasib pekerja lombong. Itulah ayahku. Kami yang dibesarkan di Batu Gajah menyaksikan betapa gahnya kapal korek yang merupakan jentera gergasi terapung di tengah lombong. 

    Kiranya ada waktu terluang, ayah membawa kami bersiar-siar sekitar lombong tempatnya bekerja. Rumah-rumah kongsi, palung, kawasan padang pasir merupakan pemandangan biasa bagi kami anak-anak pekerja lombong bijih timah. Di situlah titik tolaknya perjuangan ayah. Sesekali ke sana ke mari membawa agenda memperjuangkan nasib rakan sekerja.

    Di samping bekerja sebagai buruh lombong, ayah mula berniaga kecil-kecilan. Pekerja lombong mendapat dua kali pendapatan dalam sebulan. Pertengahan bulan dinamakan 'belanja' manakala di hujungnya disebut 'gaji'. Pelanggan tetap ayah ialah pekerja lombong itu sendiri di samping penduduk sekitar kampung berdekatan. Setelah pendapatan dirasakan agak kukuh, ayah meninggalkan kerja akhirnya sebagai kepala lombong.  Ayah mula berniaga sepenuh masa. Sebenarnya ayah berhenti sebelum lombong ditutup. Perjuangan ayah di dalam UNION juga turut terhenti.

    Barangan pinggan-mangkuk dan kain ela ayah dapatkan di Kampar, manakala kain batik dan pelikat dari Ipoh. Berkat kerajinan dan kesungguhan ayah dan emak, akhirnya perniagaan mereka berkembang. Aku menjadi saksi mata bagaimana jerihnya mereka membesarkan kami. Pelbagai ujian yang mereka tempuh sebelum memperoleh kejayaan.

Bagaimana ayah terlibat dalam politik....

    Aku kerapkali memerhati seorang makcik yang sering bertandang dari rumah ke rumah datang untuk mengutip yuran. Betapa gigihnya beliau berbasikal seorang diri. Rupa-rupanya mengutip yuran ahli UMNO. Bukanlah banyak mana...namun kerja kuatnya dan lantang suaranya mencuri perhatianku. Waktu itu bukanlah mengerti sangat tentang erti parti politik. Ayah pula turut sama bergerak aktif. Join Pemuda UMNO. Namun aku tak tahu apa-apa sangat. Hanya memerhati perjuangan ayah dalam UMNO. Ada kalanya tercari-cari gambar ayah dalam akhbar yang dilanggan lebih-lebih lagi waktu persidangan UMNO berlangsung.

    Ayah melihat sepak terajang yang berlaku dalam politik. Akhirnya beralih angin kepada Pas. Walaupun pernah menjadi calon dalam PRU 9 di N.Lahat dan ayah tewas, itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus bersama wadah perjuangan tersebut. Agak kerap juga aku mengikut ayah ke sana ke mari mendengar ceramah Pas. Ramai juga pimpinan Pas pernah singgah di kediaman kami sama ada sebagai penceramah jemputan di rumah ataupun sekadar bertanggak sahaja sebelum menyambung ke destinasi tapak ceramah.

    Setelah perjalanan Pas dilihat ketara melencong ke arah lain, ayah sekali lagi angkat kaki. Pilihan seterusnya ialah bersama Amanah. Ayah pergi pada bulan November 2018 setelah mengecap nikmat kemenangan. Begitulah perjalanan politik ayah yang penuh warna-warni.

Setelah ayah tiada.....

    Aku yang sering mengekori dan mengamati laluan berliku ayah sempat dinasihatinya agar jangan terkehadapan dalam setiap langkah. Ya, pesanan itu tetap teguh tersimpan dalam mindaku. Rencam kehidupannya kuhadam sebaik mungkin. Menyokong dan mengikuti perkembangan medan politik tanah air secara senyap. Menilai kepelbagaian wadah perjuangan, dan menentukan pilihan mengikut naluriku sendiri. 

    Aku pernah mengikuti beberapa siri PRK sebelum ini. Dan kali ini ia amat berbeza kerana wujudnya kerajaan perpaduan yang memperlihatkan laluan perjalanan parti politik berubah mengikut senario semasa. Parti-parti besar seperti BN, PKR, Pas, DAP dan Amanah tidak lagi berjalan sendirian. Masing-masing ada gandingannya. Yang dahulu bermusuh dan lawan, kini menjadi kawan. Begitu juga sebaliknya.

Kenangan di Ayer Kuning...

    Bertugas di Ayer Kuning dalam 'mood raya'. Aku direzekikan bertemu dengan anak Pak cik Mansor, iaitu Kak Anis. Tak diduga bahawa rekod pertemuan yang pertama kali dahulu berputar ligat di dalam  mindaku. Bayangan lama muncul kembali apabila aku melewati Banir. Itulah punca aku mencari kembali jejak yang telah diselaputi debu. Aku berusaha menjejak Kak Anis melalui beberapa talian hayat. Dan akhirnya usaha itu tidak sia-sia. Kami bertemu sebaik-baik selesai sahaja majlis bacaan Yaasin. Rupa-rupanya beliau merupakan Ketua Wanita UMNO Tapah. 

    Sebelum itu semasa sesi lawatan ke tapak pelupusan sampah haram aku bersua mantan ketua kampung yang merupakan seorang wanita. Apa yang menariknya ialah beliau merupakan anak kepada wakil rakyat Melayu DAP pertama dalam sejarah, iaitu mantan ADUN Tapah Road (saudara Ibrahim Singgeh).

    Semasa bertugas dalam cuaca pada awal paginya mendung dan diikuti menjelang tengah harinya agak panas, aku dipertemukan dengan beberapa orang saudara sebelah emak yang sekian lama terputus hubungan. Sebenarnya memang aku mengambil peluang itu untuk menjejak kasih. Syukur alhamdulillah misiku berjaya. 

    Aku meninggalkan Ayer Kuning dengan seribu satu kenangan yang membekas di hati. Pada-Mu ya Allah, aku mohon izin-Mu untuk ketemu dengan mereka lagi untuk menyambung silaturahim yang mula bertaut kembali. Aku mencari titik persamaan dalam perbezaan wadah perjuangan. Sesungguhnya Islam itu persaudaraan. Dan di dalam setiap parti politik itu ada saudara yang seagama denganku. 

    Hanya satu pesanan yang tetap terpahat kukuh di nubari ini. Bersikap amanah, jaga akhlak dan rahmah. Berjuanglah memandaikan umat, mencerdikkan rakyat, berlaku adillah kepada semua. Elakkan adu domba dan fitnah. Sesungguhnya matlamat tidak menghalalkan cara. Untuk menang, guna saluran  yang betul. 

    Walau berbilang bangsa dalam istilah masyarakat majmuk, kita sepatutnya sama-sama membangunkan negara. Tetap menghormati pemimpin yang menang di dalam pilihan raya walaupun berbeda politiknya. Pokok pangkalnya mereka membawa ke arah kebaikan. Sesungguhnya Allah menjadikan manusia itu bersuku-suku dan berangsa-bangsa untuk saling kenal-mengenal sesamanya. 

Akhir kalam.....

    Syukur alhamdulillah, terima kasih Allah kerana menganugerahkan aku seorang ayah yang mengajar erti perjuangan. Semoga engkau berbahagia bersama bonda di alam sana. Jasamu tetap subur dalam ingatan.


Ayah bersama rakan sekerja lombong Batu Gajah

Ayah bersama rakan UNION