Ahad, 11 Mei 2025

SALAM JUMAAT 9 MEI 2025

 ALHAMDULILLAH....direzekikan bertemu dengan Mak Cik Misah di dalam perjalanan ke tanah wakaf awal pagi. Kebiasaaannya tiada sesiapa pun di halaman rumah itu. Wak yang biasanya duduk di atas kerusi di hadapan pagar rumah pun sudah lama tidak kelihatan.

    Sempat kami berbual pendek sebelum aku meninggalkannya. Aku berjanji akan singgah semula setelah urusanku selesai nanti. Pusara ayah dan emak dikunjungi untuk kesekian kalinya. Agak sedikit lewat aku melangkah keluar rumah, pak cik yang biasanya kelihatan mengunjungi pusara isterinya sempat kulihat kelibatnya sahaja. Motornya berlalu pergi perlahan-lahan.  Kerap kali kami bertembung, dan sudah saling mengenal. 

    Aku memulai dengan salam buat semua penghuni taman barzakh tersebut. Kucapai naskhah Yaasin, kerusi kecil dan penyiram bunga untuk dipenuhi dengan air dari pili berdekatan. Mentari memunculkan wajahnya tanpa segan silu. Kulewati satu persatu pusara yang ada dengan lapang dada. Ada beberapa pusara yang kukenal benar akan siapa empunyanya.

    Sebaik-baik tiba di lokasi, salam buat ayah dan emak kulafazkan sambil membetulkan duduk kerusi tersebut. Kelihatan beburung berterbangan sekitar pepohon yang menjulang tinggi. Sesetengahnya hinggap di dahan yang tidak berdaun. Kumulai dengan selawat, Fatihah dan beransur-ansur mengalunkan bacaan Yaasin antara dengar dengan tidak. Sesekali sebak menguasai diri. Rindu pada yang telah pergi. 

    Kuakhiri dengan rangkuman doa dan disudahi dengan siraman air. Kelihatan merimbun hijau pepohon renek tersebut. Bertasbihlah buat ayahbondaku. Kulafazkan izin mohon pergi dengan berat hati. Kenangan lalu bergeyantangan di minda. Pandangan dan senyuman silih berganti. 

    Aku singgah semula ke rumah Mak Cik Misah. Kebetulan anaknya, Cikgu Roslan tiba di pintu pagar. Aku dipelawa masuk oleh Cikgu Lan dan bondanya. Itulah rutin Cikgu Lan, anak sulungnya. Pagi menghantar sarapan, sambil melihat apa yang patut dilakukan untuk ayahbondanya. Tengah hari pula membawakan bekal makanan tengah hari yang disiapkan oleh isterinya. Beruntung Mak Cik Misah dan Wak kerana anak menantu tinggal dalam kampung yang sama.

    Kebanyakan anak menantu dan cucunya memang kukenali. Bertuahnya mereka berdua kerana direzekikan memiliki keluarga besar di lokasi yang sama. Sakit pening ada yang mengurusnya. Alhamdulillah. Namun begitulah putaran kehidupan, yang muda akhirnya tua. Yang sihat, tidak selamanya. Mudah-mudahan Mak Cik Misah dan Wak Sardiman sentiasa dalam peliharaan Allah SWT, beroleh kebahagiaan dan ketenangan dalam meniti kehidupan. 

    Aku yang bakal mencecah usia warga emas di tahun hadapan belum pasti bagaimana keadaannya. Berikan kesihatan yang baik buat kami semua Ya Allah, agar dapat memberi manfaat buat agama, masyarakat dan negara sebelum kembali menghadap-Mu.  Amin.


Tiada ulasan: