2026 hadir kini, bertambah lagi usia. Namun perlu sedar bahawa rumah kata pergi dan kubur kata mari....itu yang pasti.
Hari ini pagi-pagi lagi aku melangkah ke tanah wakaf. Agak awal daripada biasa. Begitulah selalunya rutin Jumaat sekiranya cuaca baik dan tidak ada urusan lain yang minta dilunaskan. Sebaik-baik tiba, tidak kelihatan anak muda penjaga kawasan tersebut. Mereka berdua biasanya berpagian menyiram tumbuhan di tanah wakaf yang menghijau itu. Terjaga nampaknya, bersih dan rapi.
Usai kuhadiahkan bacaan Yaasin dan doa buat ayah dan bonda, aku melangkah ke pusara Kak Ina, Kak Piah dan Aja. Kuhadiahkan bacaan Fatihah khas buat mereka. Entah kenapa hari ini terasa sebak sungguh. Aku tidak dapat menahan air mata daripada tumpah ketika berdiri di sisi pusara Kak Ina dan Aja. Kedua-dua rakan sekerja yang agak rapat denganku. Baru tahun lepas mereka pergi meninggaikan kami.
Bulan Mei Aja pergi dalam usia 57 tahun manakala Kak Ina pula pada bulan Oktober dalam usia 60 tahun. Dan aku pula...entah bila dan entah di mana bakal ditempatkan nanti. Ya Allah, Kau ampunilah mereka. Kebiasaannya aku tidak lupa akan singgah sebentar ke tiga-tiga pusara ini sebelum melangkah pulang. Ada kenangan yang sukar untuk aku lupakan, ada rindu yang sering bertamu.
Kau temukanlah kami di sana nanti, dalam suasana penuh kebahagiaan. Amin....

