Rabu, 10 Februari 2016

ISLAMIK LA SANGAT.....

Lama rasanya tak menulis di blog ini.  Dah masuk bulan Februari namun tahun 2016 ini belum terisi dengan bicara hati ini.

Entah bagaimana semalam aku menerima tamparan hebat dari seseorang.  Justeru itu aku bangkit demi untuk menegakkan kebenaran!  "Berkata benarlah walaupun pahit" ......  Itu tetap aku pegang.

Tak pernah terlintas pun aku untuk membina group whatsapp keluarga.  Kerana kesibukan dan kekangan waktu, aku jadi malas untuk semua itu.  Tetapi tiba-tiba aku berhasrat mengumpul seberapa banyak ahli keluarga untuk disatukan bermula detik pertemuan kami di majlis walimatul urus di kampung pada tahun lepas.  Dan satu-satunya jalan mudah untuk hasrat dan tujuan itu ialah melalui whatsapp....

Ternyata benar telahanku.  Alhamdulillah, ahli group itu mendadak naik berkat usaha beberapa orang admin yang aku letakkan.  Rupanya ramai yang belum kukenali dengan lebih rapat.  Yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita rapatkan.  

Namun kekadang terdapat sedikit percanggahan pendapat dalam kalangan ahlinya.  Aku menjadi pembaca yang lebih banyak berdiam diri walaupun aku adalah adminnya.  Rasanya aku boleh buat apa sahaja, sama ada nak delete ahli atau exit group....  Tapi itu bukan tindakan yang waras.  Bila ada yang menyentuh soal politik, makin panas nampaknya group tersebut.  Kian ramai yang left group.  Dan ada juga yang marah-marah, kemudian left group.  Selepas itu masuk balik......   Kuperhatikan sahaja tindakan mereka.

Tapi selepas gambar-gambar lama dimuatkan dalam group itu kelmarin,  aku yang lama berdiam mula bersuara.  Apa tidaknya, gambar-gambar lama zaman jahiliah dulu (tidak menutup aurat) dimasukkan.   Sedangkan kini semuanya telah bertudung.  Kalaupun ada gambar kanak-kanak, kini mereka telah dewasa.  Sedangkan menutup aurat itu wajib, hukum Allah yang tidak boleh kita lawan.  Mempertikai atau tidak mengambil langkah menutup aurat itu bermakna kita melawan Allah.

Secara berhemah, aku minta gambar tersebut di'delete'.  Dah rasanya habis baik aku berbahasa, sentuh sedikit soal aurat dan hukum Allah.....  Lantas aku ditegur...ïslamik la sangat"......  Terus insan tersebut 'left group'.  

Nak dikatakan 'budak-budak'....... bukan.  Nak dikatakan tak tahu bab hukum, aku tidak bermaksud nak menghukum.  Aku luahkan kebenaran dan kenyataan kerana dalam gambar tersebut ada wajah ibu kesayanganku, ibu saudaraku, saudara sepupuku, barangkali dua pupu, tiga pupu......... atau entah apa lagi hubungan kekeluargaan kami.  Patutkah gambar lama yang kesemuanya kini telah menutup aurat........ ditayangkan kepada umum semula.  Tidakkah Allah menilainya?  Dan tidakkah malaikat mencatatnya?

Dan generasi hari ini walaupun berpangkat anak saudara, cucu saudara, hatta cicit........  sama-sama menilai sesiapa di dalam gambar tersebut mengikut naluri mereka.  Mohon belajarlah memahami hukum tuhan....

Kita boleh berubah, namun hukum Allah tak siapa boleh mengubahnya.  Haram tetap haram, halal tetap halal.  Kalau hukum Allah dipermainkan, aku akan tetap bangkit walaupun implikasi negatif bakal menanti.


Rabu, 16 Disember 2015

PESTA KENAIKAN HARGA

MENANTI RAKYAT TAHUN 2016

PEMANSUHAN SUBSIDI MINYAK MASAK
PEMANSUHAN SUBSIDI BERAS
PELUPUSAN SUBSIDI ELEKTRIK
KENAIKAN TOL
KENAIKAN TAMBANG
PENGURANGAN PERUNTUKAN PENDIDIKAN

Tatkala menatap risalah berkaitan perkara di atas, hati diketuk sayu yg amat sangat.   Ingatanku kembali pada PAU yang baru berlalu penuh dengan sorak gegak gempita gelak ketawa.  Bila wakil bangun berkata-kata.......  cukup sesedap rasa dihamburkannya.    Tepuk tangan sudah menjadi amalan biasa. Menyebut tentang masalah rakyat, meluahkan apa yang dirasai rakyat marhaen......   namun setakat mana pembelaannya???   Sekadar menang sorak kampung tergadai lagaknya.......

Aku meneruskan pembacaan.
Paling sedih tatkala mataku tertumpu pada PENDERITAAN HIDUP VIRAL DI INTERNET dalam risalah tersebut.

* Menjadi viral di internet kertas catatan pilu seorang murid yang kebetulan ditemui gurunya.
* Catatan itu menyebut mengenai kelaparan keluarga yang tiada wang untuk membeli makanan siap.
* Keluarga itu juga tiada wang untuk membeli beras dan si ibu tidak memasak makanan.
* Juga menjadi viral kisah seorang pelajar yang tinggal di asrama dan ingin pulang ke kampung tetapi tidak cukup 80 sen untuk membeli tiket komuter akibat kenaikan harga tiket.
* Beliau akhirnya dibantu oleh seorang penumpang komuter bagi mencukupkan kadar tambang tersebut.
* Kisah-kisah sedih sedemikian hanya didengar pada era 1970an dan 1980an.  Namun kini ia berulang kembali ketika negara dikatakan semakin maju dan berpendapatan tinggi.

Tamat sahaja pembacaanku, air mata mula menitik.......  allhurobbi...... sampai begini sekali deritanya rakyat marhaen.....

Siapa lagi yang sanggup bangun menentang ketidakadilan di negara bertuah ini?   Yang bangun menentang.... dikatakan pengkhianat, tidak bersyukur.  Lebih malang lagi, siap di dakwa, diambil tindakan, dan sebagainya yang kita rasa tak masuk akal.  

Hasil mahsyul tidak dikongsi sama rata.  Malahan difaraid hanya untuk mereka yang berada di sekeliling sahaja.  Ke manakah hala GST yang dikutip, zakat yang dibayar, cukai itu ini yang dihimpun........

Bukankah di dalam harta kita itu terdapat hak-hak mereka?  Di negara tercinta ini cukup ramai yang pemurah, sedia berzakat, bersedekah dan berderma.  Tapi begitu banyak kutipan yang dipungut........ kenapa semakin ramai pula yang dihimpit kemiskinan?  Ke manakah dihalakan pendapatan tersebut.  

Ini bukan nak cerita pasal politik...... tapi ia tetap berkaitan dengan politik. Hendak tak hendak, mahu tak mahu...... ia tetap tak dapat dipisahkan dari politik kerana mereka yang duduk di atas sana dan yang memegang jawatan dalam kementerian dan pentadbiran adalah orang politik.  Yang menang melalui saluran politik. Mereka dipilih oleh rakyat.  Malah digaji oleh rakyat.  Dibayar oleh rakyat melalui cukai dan bayaran-bayaran yang dikenakan.

Orang kaya, mereka yang berada, juga yang hidup sederhana turut merasai kenaikan harga ini.  Lebih-lebih lagi bagi mereka yang miskin apatah lagi yang fakir.  Ditambah lagi dengan kadar kenaikan harga.....  bak kata orang utara.... "pi mai pi mai tang tu...".   Yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana.

Barangkali mungkin ada golongan rakyat yang terpelajar yang waras membuat penelitian dan memandang jauh ke hadapan dan mengambil keputusan untuk tidak pulang berkhidmat di negara tercinta ini.  Bukan disebabkan tak sayangkan tanah air, tapi tekanan hidup dan politik yang memihak kepada satu sahaja.  Kita tidak boleh menuding jari menyalahkan mereka.

Malah ada ramai yang bekerja di negara jiran, dan hanya sesekali pulang ke kampung dengan membawa pulangan yang agak lumayan buat ayahbonda.  Ditambah lagi dengan nilai mata wang yang tinggi di sana berbanding di negara sendiri.  Dahulu kita di hadapan, namun kini mereka yang dahulu di belakang kita telah mengorak langkah mendahului kita.......  bagaimana mungkin ini boleh terjadi jikalau bukan dengan ikhlas dan telusnya pemimpin yang mentadbir negara mereka.  Tidak terfikirkah kita???

Hidup tidak menongkat langit, dan langit pun tidak selalu cerah.  Justeru, sama-samalah kita berusaha dan berdoa bukan untuk diri dan keluarga kita sahaja.  Doakan mereka yang tersepit dan terhimpit dalam kemelut yang bagaikan tiada kesudahan ini.  Dan sama-sama kita terus berusaha menegakkan keadilan, amar makruf nahi munkar.  Negara kita bukan negara Islam, sebab undang-undang Islam tidak dilaksanakan.  Hanya sekadar menjadi bualan kedai kopi dan digoncang dlam tin kosong.......  bunyinya amat hebat di luar sana.  Namun isinya 'hampeh' bak kata nak muda sekarang.


(kredit to suara keadilan)





Ahad, 1 November 2015

RAMADHAN BERSAMAMU....

5 Oktober 2015 bersamaan 21 Zulhijjah 1436 Hijrah jam 11.48 malam .............  itulah tarikh pemergian sahabat yang dikasihi, kak Norsitah Darus.

Tahun ini ukhuwah terjalin kian ketara.  Teringat masa kita sama-sama bertadarus di Masjid Ar Raudhah dengan Ustazah Najihah, Nurul, Kak Fadzilah dan Kak Ramlah.  Antara jam 3.00 hingga 5.00 petang dalam bulan Ramadhan lalu.....

Ramai muslimat kampung kita yang bertadarus di sebelah pagi kerana masing-masing suri rumah sepenuh masa, sedangkan bagi kami yang bekerja..... hanya di sebelah petang merupakan waktu yang terluang.  Aku, Kak Fadzilah dan Ustazah Najihah mengajar di sebelah pagi.  Manakala Kak Ramlah menjaga menantunya dalam pantang, agak sibuk di sebelah pagi juga.  Jadi kami mengambil keputusan untuk sama-sama bertadarus di waktu petang.

Kak Nor.......mengenalimu dengan lebih dekat.......  kemesraan cepat benar dirasa. Walaupun anakmu, Sakinah telah lama kukenali kerana kami bertugas di sekolah yang sama, namun jauh beza bila bersama denganmu.  Tegur menegur bacaan semasa bertadarus menjadi kelaziman kita.  Terima kasih Kak Nor, banyak ilmu yang kami kongsikan bersamamu.

Di sepanjang Ramadhan tempoh hari, kami dapat menyaksikan betapa hebatnya Kak Nor menadah ilmu di merata tempat.  Kekadang bayangmu timbul di Ar Raudhah, ada kalanya di masjid Batu 8.  Ada ketikanya Kak Nor ke pondok pengajian bersama sahabat di sana..... bertadarus dan berqiamulail.  Benar-benar kau mencari redho-Nya, memenuhi sepanjang Ramadhan itu.  Hatimu terikat di masjid, rumah Allah.

Kau melawan lelahmu demi mencari apa yang dihampar-Nya dalam bulan mulia itu.  Sungguh-sungguh kau mencari.......   tak upaya kami menandingimu, Kak Nor.  Berkejar ke sana, meluang waktu ke mari, terasa bagaikan tiada secangkir waktu pun kau biarkan begitu sahaja.

Dan lewat mengakhiri tadarus bersamamu, kita sama-sama mengharap agar dapat bersua di Ramadhan akan datang. Mungkin dapat bersama lagi melakar keindahan Ramadhan.  

Namun....... kebimbangan mula bertenggek di teratak hati bila mana kesihatanmu mula terjejas.  Khabar kuterima dari Sakinah bahawa engkau disahkan terkena denggi, demam yang datang dan pergi.  Sekejap baik, sekejap datang semula.  

Dalam keadaan yang masih kurang stabil, situasi lain pula diberitakan.  Setelah menjalani pembedahan, aku sempat berbual denganmu Kak Nor.  Walau dalam keadaan lemah, engkau tak henti mengungkap rasa syukur pada-Nya.  Bersyukur dengan ujian yang diterima...... tabahnya Kak Nor.

Lewat beberapa hari di wad, akhirnya kuterima berita pemergianmu menerusi 'whatsapp'.  Kehilangan seorang sahabat yang cukup menyentuh rasa .........  Kutatap wajah bersihmu sebagai penghormatan terakhir dariku.  Dan tatkala Sakinah kupeluk erat, tiada kata-kata yang bisa kuungkapkan.