Selasa, 30 April 2013

MENANTI PENUH SABAR

Setelah lama menanti tibalah saat yang ditunggu-tunggu.  Lima tahun sekali bukanlah tempoh masa yang lama.  Tetapi ia dianggap paling lama andai kata rakyat merasakan hidup tertekan dalam tempoh tersebut.  Dan saat-saat pembubaran itu memang amat dinantikan.

Bermulanya saat dan detik itu maka masing-masing mula berkira-kira membuat pilihan.  Suasana cukup meriah bila tiba hari penamaan calon.  Berjalan mengiringi calon ....... dengan membawa bendera dan banner atau sepanduk pilihan masing-masing...... cukup teruja.  Mungkin perasaan bangga menguasai diri.  Mengharap calon masing-masing layak bertanding.

Setelah detik itu berlangsung, maka bermulalah malam-malam yang menyeronokkan.  Bagi petugas-petugas yang dilantik, waktu dan saat itu dirasakan amat berharga.  Mungkin hampir setiap malam sibuk memasang bendera, gambar calon dan pelbagai kata-kata yang meyakinkan pengundi.  Ada yang bertugas dengan menerima habuan yang dijanjikan.  Ada juga yang melaksanakan tugasan yang diamanahkan dengan rela hati.  


 Bagi mereka yang keluar bekerja di waktu pagi sudah tentu bakal melihat suasana penuh ceria mewarnai sekitar  tempat tinggal mereka.  Wajah-wajah calon pilihan mula ditonjolkan.  

Dan pada pagi berikutnya pula suasana akan bertambah ceria dan pemerhati akan kian teruja.  Petugas yang bijak akan memasangnya di tempat yang strategik, yang boleh dilihat dengan jelas oleh semua yang melalui laluan tersebut.

Bagi yang kreatif pula masa inilah idea mencurah-curah.  Pelbagai bentuk replika dibina, tidak kira sama ada ia sekadar untuk sementara atau kekal.  Teknik pemasangan bendera juga menampakkan bakat seni masing-masing.  Meriah sungguh!  Pasanglah apa pun mengikut pilihan masing-masing.  Negara ini demokrasi.  Dan belajarlah sentiasa berfikiran terbuka.  Jangan ada rasa iri hati atau berdendam.
Amatlah malang sekiranya berlakunya perbalahan antara satu sama lain hanya sekadar berpunca daripada bendera atau banner yang jatuh berserakan, atau batang bendera yang patah.  Sentiasa berbaik sangka, naikkanlah semula, pacakkan dengan lebih tegap dan tidak menghalang pandangan pengguna jalan raya atau lebuh raya.  Elakkan menutup atau melindungi papan tanda dan lampu isyarat.  Ada kalanya pemasangan yang bersepah itu mengundang bahaya. 

Majlis suaikenal calon akan rancak menyusul selepas itu.  Barangkali ada manifesto yang bakal diperjelaskan oleh calon, jua ke mana hala tuju dan harapan yang dibawa.  Dalam menghitung hari yang semakin dekat ini macam-macam boleh terjadi.  Berfikirlah dengan waras sebelum membuat pilihan.  Sesungguhnya jika salah membuat percaturan, kita bakal menggadai nasib generasi akan datang.  Jari yang memangkah ini akan menjadi saksi di akhirat nanti.  Kiranya kita memilih pemimpin yang zalim, penindasan itu bakal dirasai oleh anak cucu kita nanti.  Justeru, buatlah pilihan yang tepat.  Sesungguhnya kita bakal menuju akhirat.  Apakah nakhoda yang bakal kita pilih nanti sanggup berjuang bersama-sama kita meredah keperitan ranjau yang melanda dalam menuju negeri yang abadi.  Fikir-fikirkanlah.  Kita bertanggungjawab dengan apa yang kita pilih.  

Selasa, 23 April 2013

BERKIRA SANGATKAH?

"Pensel ada?" soalku pendek.  Semua menyahut, "Ada...."
"Pemadam ada?" tanyaku kali ini. 
"Tak ada cikgu, saya tak ada duit.  Poket pun kosong ni...." katanya sambil mengeluarkan bahagian putih poket seluarnya.  Yang lain masing-masing senyap.

Dan aku dah tak ada soalan lagi nak bertanya.  Sedang di hati bersarang pelbagai pertanyaan.  Namun tidak kulayan hasrat hati ini.  Kupaksa ia pendam begitu sahaja.  

"Nah, guna sajalah pemadam cikgu.......  tapi dah habis guna nanti pulangkan semula.  Sebab cikgu pun nak guna juga.  Ok ya?"  Dia mengangguk lesu.  Tapi wajahnya sedikit ceria.

Kasihan pula aku melihatnya.  Kekadang keadaannya seakan tidak terurus.  Anak yatim yang duduk di sebelahnya kelihatan bersih, kemas dan segak.  Walaupun tanpa ayah, ibunya cukup mengambil berat akan dirinya.  Wajahnya sentiasa mengukir senyuman.  Sejuk hati melihatnya.

Namun bila kukalihkan pandangan ke arah yang seorang ini......  rasa kesalku menyesak tiba-tiba.  Bukan kesal dengan perawakan dirinya.  Cuma kesal akan kasih yang hilang!  Ada kalanya semua alat tulisnya cukup.  Namun kelihatan dia tidak bijak menjaga barang-barangnya.  Mungkin mudah dapat...... dan begitu juga mudah hilangnya!  

Duit belanja kekadang ada, kadang-kadang tidak ada walau sesen pun.  Tapi syukurlah, dia dapat RMT dan vitamin di sekolah.  Kalau tidak bawa duit belanja pun sudah boleh makan di kantin.  Tiada siapa yang iri hati.  Rezeki masing-masing, namun bersyukurlah!

Tetapi kalau hendak membeli alat tulis di sekolah, masih memerlukan duit juga.  Dan tidak semua dalam kalangan mereka yang mendapat My kasih.... (boleh membeli dengan hanya menunjukkan kad sahaja!).

Dan kekadang akulah yang menjadi tempat rujukan untuk meminjam alat tulis.  Dah selalu benar aku berbuat demikian.  Aku tak kisah pun.  Kalau ada maka kupinjamkan, kalau tidak ada ..........  masih ada rakan (murid) lain yang baik hati menghulurkan bantuan.  Sikap muridku cukup kusenangi.  Sedia membantu kawan yang dalam kesusahan.  Walaupun kurang dari segi pencapaian akademiknya, namun ada perkara lain yang amat kuhargai.  Mereka tidak kedekut membantu!

Kekadang terfikir juga, zaman sekarang kredit handphone kalau habis cepat je di top-up.  Bukan sepuluh sen atau dua puluh sen.......lima atau sepuluh ringgit tu sudah biasa......  Kalau bagi duit belanja anak-anak rasanya seringgit pun sudah cukup bagi mereka.  Cuma bawa bekal air masak sahaja.  Begitulah keadaan kantin sekolahku.  Setakat makan seringgit tu boleh kenyang.  InsyaAllah.

Kalau dapat makanan percuma di kantin (RMT), boleh jimat.  Tapi untuk membeli alat tulis bukan boleh ambil dulu dan masukkan ke buku hutang.  Kami tidak mengajar anak-anak ini  berhutang sejak kecil lagi.  Kalau ada yang tidak cukup duit apa yang mampu dijanjikan ialah "Sila datang esok, kumpul duit dulu".  Hanya itu sahaja yang mampu kami pesan.

Kepada anak-anak didik cikgu .......  belajarlah bersungguh-sungguh.  Jangan jadikan kemiskinan itu satu alasan untuk duduk di takuk lama.  InsyaAllah anda semua boleh berjaya, tapi kena ada usaha, kesungguhan dan tawakkal kepada Allah.  Jangan tinggal solat, sayang......

Rabu, 17 April 2013

PILIHAN RAYA

Lima tahun lama menanti
Mendidik hati belajar bersabar
Gegak gempita di sana sini

Bila parlimen sah dibubar

Ambil buluh di dalam hutan
Hajat nak buat tiang bendera
Berhati-hati sikap diamalkan
Agar tiada siapa yang cedera

Berbagai warna berkibar megah 
Tampak cantik berselang seli
Jangan cemburu dan jangan marah
Naikkanlah lambang pilihan hati

Negara kita negara demokrasi
Berfikirlah dengan rasional
Kebencian orang usah dicari
Bertindaklah secara profesional

Kalau kita dah layak mengundi
Jangan lepaskan peluang ini
Buatlah pilihan tepat dan pasti
Tersilap perhitungan menyesal nanti

Ada yang hanya memilih parti
Tak kurang juga melihat calon
Semua tertanya ternanti-nanti
Bagai menunggu lama berkurun

Di kedai kopi riuh bersembang
Calon pilihan jadi bualan
Selidiklah dulu latar belakang
Sebelum kita membuat keputusan

Berperibadi mulia berakhlak terpuji
Sedia berkhidmat ikhlas di hati
Tidak hanya mementingkan diri
Bimbang janji tidak ditepati

Bertindak adil penuh saksama
Tak kira kepada apa pun bangsa
Mentaati Allah lebih utama
Wawasan akhirat penuhi dada

Sanggup bersusah sama merasa
Turun padang boleh sahaja
Sedia bertemu bila-bila masa
Tidak berkira sangat orangnya

Di hari mengundi lapangkan hati
Pilihan dah tentu di tangan sendiri
Pangkahlah dengan berhati-hati
Malaikat melihat kanan dan kiri

Andai salah membuat pilihan
Pemimpin zalim kita yang angkat
Rakyat hidup penuh penindasan
Bebanan hutang makin meningkat

Kesilapan kita di hari ini
Pasti dihitung dengan teliti
Di hari akhirat dipersoalkan nanti
Di hadapan Allah jari bersaksi

Undi kita adalah rahsia
Terserah anda memilih siapa
Berfikiran tenang jangan leka
Ingat Allah menilai kita