"Pensel ada?" soalku pendek. Semua menyahut, "Ada...."
"Pemadam ada?" tanyaku kali ini.
"Tak ada cikgu, saya tak ada duit. Poket pun kosong ni...." katanya sambil mengeluarkan bahagian putih poket seluarnya. Yang lain masing-masing senyap.
Dan aku dah tak ada soalan lagi nak bertanya. Sedang di hati bersarang pelbagai pertanyaan. Namun tidak kulayan hasrat hati ini. Kupaksa ia pendam begitu sahaja.
"Nah, guna sajalah pemadam cikgu....... tapi dah habis guna nanti pulangkan semula. Sebab cikgu pun nak guna juga. Ok ya?" Dia mengangguk lesu. Tapi wajahnya sedikit ceria.
Kasihan pula aku melihatnya. Kekadang keadaannya seakan tidak terurus. Anak yatim yang duduk di sebelahnya kelihatan bersih, kemas dan segak. Walaupun tanpa ayah, ibunya cukup mengambil berat akan dirinya. Wajahnya sentiasa mengukir senyuman. Sejuk hati melihatnya.
Namun bila kukalihkan pandangan ke arah yang seorang ini...... rasa kesalku menyesak tiba-tiba. Bukan kesal dengan perawakan dirinya. Cuma kesal akan kasih yang hilang! Ada kalanya semua alat tulisnya cukup. Namun kelihatan dia tidak bijak menjaga barang-barangnya. Mungkin mudah dapat...... dan begitu juga mudah hilangnya!
Duit belanja kekadang ada, kadang-kadang tidak ada walau sesen pun. Tapi syukurlah, dia dapat RMT dan vitamin di sekolah. Kalau tidak bawa duit belanja pun sudah boleh makan di kantin. Tiada siapa yang iri hati. Rezeki masing-masing, namun bersyukurlah!
Tetapi kalau hendak membeli alat tulis di sekolah, masih memerlukan duit juga. Dan tidak semua dalam kalangan mereka yang mendapat My kasih.... (boleh membeli dengan hanya menunjukkan kad sahaja!).
Dan kekadang akulah yang menjadi tempat rujukan untuk meminjam alat tulis. Dah selalu benar aku berbuat demikian. Aku tak kisah pun. Kalau ada maka kupinjamkan, kalau tidak ada .......... masih ada rakan (murid) lain yang baik hati menghulurkan bantuan. Sikap muridku cukup kusenangi. Sedia membantu kawan yang dalam kesusahan. Walaupun kurang dari segi pencapaian akademiknya, namun ada perkara lain yang amat kuhargai. Mereka tidak kedekut membantu!
Kekadang terfikir juga, zaman sekarang kredit handphone kalau habis cepat je di top-up. Bukan sepuluh sen atau dua puluh sen.......lima atau sepuluh ringgit tu sudah biasa...... Kalau bagi duit belanja anak-anak rasanya seringgit pun sudah cukup bagi mereka. Cuma bawa bekal air masak sahaja. Begitulah keadaan kantin sekolahku. Setakat makan seringgit tu boleh kenyang. InsyaAllah.
Kalau dapat makanan percuma di kantin (RMT), boleh jimat. Tapi untuk membeli alat tulis bukan boleh ambil dulu dan masukkan ke buku hutang. Kami tidak mengajar anak-anak ini berhutang sejak kecil lagi. Kalau ada yang tidak cukup duit apa yang mampu dijanjikan ialah "Sila datang esok, kumpul duit dulu". Hanya itu sahaja yang mampu kami pesan.
Kepada anak-anak didik cikgu ....... belajarlah bersungguh-sungguh. Jangan jadikan kemiskinan itu satu alasan untuk duduk di takuk lama. InsyaAllah anda semua boleh berjaya, tapi kena ada usaha, kesungguhan dan tawakkal kepada Allah. Jangan tinggal solat, sayang......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan