Selasa, 9 April 2013

BELAJAR MENGHARGAI

Ya Allah kurniakan aku kekuatan dan kesabaran dalam mendepani situasi yang tidak dijangka......   mudah-mudahan aku dan ibu-ibu yang lain belajar bersyukur saat diuji.

Sebaik-baik menerima panggilan telefon dari puteri kesayangan di hostel, aku berrgegas ke sana.  Dengan segera memohon keizinan dari warden agar mengizinkan aku membawa pulang anakanda yang mengadu demam sejak semalam.  Terima kasih cikgu!

Sebelah malamnya kami segera ke hospital di bahagian kecemasan.  Pemeriksaan berlanjutan membuatkan hatiku sedikit bimbang.  Menurut jururawat bertugas, suhu badannya agak tinggi.  Contoh darah diambil.  Air dimasukkan ke tubuhnya yang kelihatan kurang bermaya.  

Tidak nampak jelas kesakitan yang ditanggungnya.  Mungkin Allah memberi kekuatan padanya.  Penantian yang agak lama begitu membosankan kerana sikap tergesa-gesa membuatkan aku lupa membawa teman setiaku untuk dihadam bersama tatkala menunggu lama.  Dalam keadaan yang agak kelam kabut itu satu naskhah majalah atau buku pun tidak kucapai.  

Kedengaran di kaunter agak bising dengan leteran seorang wanita mengenai anak bujangnya yang lebih dahulu dimasukkan ke wad yang sama.  Perbualan mereka tidak kuhiraukan kerana aku lebih bimbang akan situasi anakanda yang dikasihi.  Namun aku mencuri dengar biji butir yang dikisahkan akibat nada suara yang agak tegang kala itu.  Ibu tua itu berungut tentang kedegilan anaknya.  

Suami yang menunggu di luar kukhabarkan akan situasi sebenar.  Oleh kerana  masa menunggu agak lama, kumaklumkan agar dia berehat atau tidur dahulu. Jam telefon bimbitku menunjukkan hampir 11.00 malam.  Dalam tempoh menunggu itu, pelbagai peristiwa berlaku.  Wad Pemerhatian malam itu agak sibuk.  Pesakit bersilih ganti.  Doktor keluar masuk memastikan situasi pesakit.  Jururawat yang seorang itu bertugas dengan penuh dedikasi.  Kelihatan daripada perbualannya dengan doktor aku dapat menangkap bahawa malam itu jumlah pesakit di luar jangkaan.

Rupa-rupanya siang malam keadaannya serupa sahaja.  Kuingatkan lewat malam begitu tidak sesibuk waktu siangnya.  Namun sangkaanku meleset!

Kebetulan bekas anak muridku juga ditempatkan dalam wad yang sama akibat kemalangan jalan raya.  Itupun setelah mataku tertancap pada sampul surat yang terletak di kaunter jururawat bertugas.  Rupa-rupanya ibu yang bising tadi adalah ibu anak muridku itu.  Dalam ramai-ramai pesakit yang berkongsi wad pemerhatian malam itu, hanya dia seorang sahaja yang terlibat dalam kecelakaan jalan raya.  

Sempat bertanya khabar tentangnya seketika.  Namun aku tak berhasrat memanjangkan bicara memandangkan dia dalam keadaan kurang selesa.  Dia tidak dibenarkan makan atau minum sehingga jam 3.00 pagi bagi mengesahkan keadaannya.  Betapa bimbangnya hati si ibu mendapat berita hal anak sedemikian.  Suara cemasnya tadi berlegar seketika dalam kepalaku.  Mudah-mudahan anak muda ini mengambil iktibar daripada apa yang terjadi.  Juga diharapkan agar tiada perkara buruk menimpanya nanti.  Itu sekadar harapan dari seorang bekas gurumu.  Doa seorang ibu itu lebih hebat lagi!

Beralih kepada pesakit lain yang turut berkongsi wad dengan puteriku, rata-rata ibu yang menjaga dan mengawasi mereka.  Betapa besarnya pengorbanan seorang ibu.  Di wajah masing-masing penuh mengharap agar semuanya berjalan dengan baik.  Menaruh harapan agar penyakit yang datang akan beransur pergi.  Begitu juga aku.

Orang lain bersilih ganti meninggalkan wad sebaik-baik urusan selesai.  Namun ditakdirkan aku menunggu agak lama.  Sesekali aku merenung wajah puteriku.  Dalam keadaan terbaring lemah, sesekali dia mengisyaratkan kepadaku agar membantu membetulkan tudung dan lengan bajunya.  Auratnya perlu dijaga dalam keadaan wad yang terbuka.  Tambahan pula yang berurusan di situ tidak kira lelaki atau wanita.  

Kecekapan melaksanakan tugas membuatkan aku tabik hormat kepada jururawat tersebut.  Hanya dia seorang yang ditempatkan di wad pemerhatian berkenaan.  Sedangkan pesakit bergilir-gilir minta diperhati!  Tidak kira siapa pesakitnya, dia tetap melayan penuh hormat.  

Dan akhirnya aku mengungkapkan terima kasih kepadanya setelah urusanku selesai.  Sebanyak 3 botol air dimasukkan ke tubuh puteriku!  Suhu badannya dipastikan agak stabil sebelum meninggalkan hospital.  Sampel darah yang diambil mengesahkan tiada apa-apa yang buruk menimpa dirinya.  Bimbang juga aku kerana penghuni katil di hujung sana didapati positif denggi.  Dia sebaya usia dengan anakandaku.  Mudah-mudahan juga pesakit itu segera sembuh.  

Berbekalkan ubat yang diberi serta sijil cuti sakit yang diterima, kami melangkah pulang.  Si abang di rumah yang mengawasi adik-adik yang sudah lena turut bimbang.  Dia menelefon untuk memastikan kesihatan adindanya. 

Sebaik-baik sampai di perkarangan tempat parkir kereta, kelihatan suamiku tertidur.  Keletihan menunggu.  Jam menunjukkan hampir 2.00 pagi.  


Tiada ulasan: