Sabtu, 24 Oktober 2020

RESAH

Semakin penat, letih dan lelah
menonton pemimpin bertelagah
berebut kuasa untuk memerintah
jatuh menjatuh menjadi lumrah
bermaharajalela rasuah
tidak kira bersongkok atau berkopiah
tak takutnya mereka pada Allah
lidah berzikir bermadah berhelah
mencari dalil tak sudah-sudah

Ke mana kami mahu dibawa.....
tatkala pemandu riang ketawa
senyum sinis mendabik dada
sedangkan jalan mati terserlah di depan mata


.... ida a.z.
ktb7 lekiyour
24102020

Khamis, 22 Oktober 2020

TAKZIAH BUAT 'G'




Buat sahabatku, G .....

Pertama-tamanya izin kuucap salam takziah di atas pemergian ayahanda tercinta.

Tatkala perkhabaran tentang ayahandamu yang tenat kau khabarkan .....kami kirimkan ucapan agar urusan keluargamu dan ayahandamu Allah permudahkan.  Mudah-mudahan segera sembuh.

Ingatanku berlari pada pemergian ayah yang hampir dua tahun berlalu ...... diikuti ibu 13 hari kemudiannya.

Tidak lama kemudian, khabar kedua darimu tampil.  Berita sedih yang turut kami kongsi bersama.  Ayahandamu telah menghembuskan nafas terakhir.  Kembali menemui pencipta-Nya.  Bertalu-talu ucapan takziah beratur masuk.

Dalam situasi sekarang, mana mungkin kita melangkah keluar dari zon yang ada.  Kita telah sama-sama terpenjara disini.  Balik kampung ke Selatan tanah air bagimu .....bukanlah menjadi pilihan utama.

Engkau begitu tenang dan redho menerima kenyataan seadanya.  Penuh pasrah.

Sahabatku .....
Semuanya termaktub dalam rahsia Allah.  Dia telah menyusun perjalanan hidup kita dengan baik.  Dan kita sebagai hamba, perlu berbaik sangka dengan-Nya.

Dia tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.  Apa yang terjadi pada kita, pasti ada hikmah di sebaliknya.  

Dia tidak memberi apa yang kita pinta, tetapi diberinya apa yang kita perlukan.  Cuma mungkin akal kita tidak tercapai pada ketentuan yang diatur-Nya itu.

G.....
Hati mana tidak sedih bila mengenangkan bahawa itulah saat-saat terakhir dapat kita menatap wajah insan yang begitu besarnya bakti kepada kita.  Membesarkan kita.  Mewarnai detik-detik indah bersama.  Namun pada nokhtahnya yang terakhir .... kita tidak dapat bersama.

Kita sama-sama telah kehilangan kasih seorang ayah.  Seorang insan hebat, anugerah Allah.

Seorang insan yang mencari rezeki demi sesuap nasi.....
Yang tidak pernah mengeluh atas kesusahan yang dihadapi.....
Tidak pernah berbicara atas kesedihan atau kepedihan hati .....
Dan kita tidak pernah nampak airmata yang mengalir resah hiba
Begitu kuatnya insan yang bernama 'áyah'
Seorang lelaki yang tidak pernah tunduk takut dan mengalah
Membela kita dengan penuh wibawa dan berhemah
Demi mempertahankan nasib keluarga dan maruah 

Sahabatku G.....
Moga Allah memberinya tempat yang terpuji
Tenang bersemadi
Di taman barzakh tersenyum menanti
Kiriman doa dari putera dan puteri
Sebelum menuju negeri abadi



ida a.z.
9.59 pagi
22102020
ktb7 lekiyour


Selasa, 20 Oktober 2020

HIKMAH DI SEBALIK MUSIBAH

 


Riuh rendah group komuniti kami hari ini gara-gara V memaklumkan bahawa keputusan muktamad iaitu kami tidak akan ke Melaka nanti.

Gegak gempita jadinya.  Sahut-menyahut di dalam group tersebut kian rancak.  Aku turut mengucapkan tahniah di atas kecekapan V di dalam menguruskan kesemuanya dalam suasana pkp 2020.

Tidak kurang juga yang bertanya tentang wang yang bakal dikembalikan.  Aku sekadar membaca tiap komen yang masuk.  Ketenangan pagi kian berkocak menjelang tengah hari.  Tambahan pula bab duit yang dicerita.  

Tak siapa menyangka, tak siapa menduga covid19 bermaharajalela hingga wujudnya pkp.  Sedangkan sebelum itu lagi kami telah merancang hendak ke sana.

Permohonan untuk dikembalikan bayaran sukar diperoleh hinggalah ke saat ini, bila mana kami 'diserang'.  Kita merancang, mereka merancang, dan Allah jua Maha Merancang.  Ternyata rancangan Allah itulah yang terbaik.  

Syukur sangat-sangat.  Ada hikmah di sebalik musibah.  Tarikh yang tertunda akhirnya tak kesampaian.  Kami menemui jalan keluar.  

Tidak ada rezeki nampaknya tahun ini untuk kami ke Melaka.  Apa yang lebih utama ialah keselamatan dan kesihatan yang baik.  Alhamdulillah, ada cahaya di hujung sana.  Allah ganti dengan pelangi nan indah.

Ok V .........mu tunggu kami datang suatu hari nanti.
Tatkala itu....... sambutlah kami dengan serangkap pantun.