MAAF ZAHIR BATIN..... terlalu banyak siaran tv sempena perayaan Eidul Fitri. Tiap-tiap tahun begitulah adanya. Ia seolah-olah mengajak semua penonton tidak berganjak ke mana-mana. Kita akan dihidangkan pelbagai juadah siaran menarik hari raya mulai hari raya pertama atau Syawal pertama.
Ini berlanjutan hingga yang entah ke berapa Syawal.... Aku pun tidak mengerti dengan siaran tv ini. Naik bingung aku dibuatnya. Dalam iklan yang dipaparkan..... mengajak kita balik kampung dan saling menziarahi. Macam ajak-ajak ayam saja lagaknya.
Tapi hati dan mata terikat agar jangan melepaskan peluang menonton pelbagai rancangan yang diulang entah kali yang ke berapa. Kalau ada yang terkini pun, rasanya cuma hiburan nyanyian dan persembahan artis yang dirasakan menggila berhari raya.
Dengan pakaian yang serba indah, nyanyian silih berganti, gelak tawa menggamatkan suasana, aurat pun kurang terjaga, apakah maknanya Hari Raya? Begitukah cara yang sewajarnya diraikan setelah sebulan berpuasa?
Sama-sama kita berada di madrasah Ramadhan...... begitukah berakhirnya.....
Dan dengan mudah mulut melafaz "SELAMAT HARI RAYA. MAAF ZAHIR BATIN". Selamat Hari Raya itu yang bukan beragama Islam pun biasa mengungkapkannya. Menyentuh soal "Maaf zahir batin" pula.... fahamkah maksudnya?
Ada insan lebih mudah mengungkapkan, "mohon maaf mana yang tersilap, terkasar bahasa sama ada sedar atau tidak. Minta halalkan makan minum...." cantik bahasanya, lembut hati mendengarnya. Yang memohon dengan rasa rendah hati, yang memaafkan dengan berlapang dada.
Sambil melipat kain aku menonton siaran sempena Syawal. Cuma aku tak perasan tv berapa.... Tak silap aku rancangan itu berkaitan dengan gossip menggosip. Rasanya ada sekali dua aku terserempak rancangan tersebut. Itupun sekerat jalan saja..... tak minat sungguh aku.
Sebelum berakhirnya rancangan itu, 'krew'nya mengucapkan "selamat hari raya, maaf zahir batin". Aku berungut sendirian.... dah buat cerita macam-macam, mudah pulak mohon maaf zahir batin. Dan selepas ini rancangan itu akan diterbitkan lagi..... dunia dunia....
Aku seakan nak tergelak juga bila mendengar ungkapan...."selamat hari raya, maaf zahir batin, kosong-kosong" .... Begitu mudahnya nak mohon maaf. Ini bukan perlawanan bola sepak dengan berkesudahan 0 - 0. Atau seri....
Sama-samalah kita muhasabah diri agar permohonan maaf ini sentiasa menjadi amalan kita. Bukan hanya menunggu raya saja baru hendak melafazkannya. Entah-entah raya akan datang kita belum pasti dapat bertemu dengannya lagi. Wallahuálam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan