Ahad, 6 Disember 2020

INTERVENSI PANDEMIK

 Ada Google-Meet esok....... kena sediakan kertas A4 lima helai, krayon, gam dan gunting.......  Itulah arahan yang mesti kami patuhi.

Otakku berputar ligat memikirkan apakah yang akan dibuat dengan barang-barang tersebut.  "Nampak gayanya macam aktiviti seni atau PSV akan berlangsung esok," gerutu hatiku.  

Semua barang itu ada...... cuma krayon saja yang rasanya tidak ada dalam simpananku.  Dan akhirnya aku menerima pemberian ikhlas dari jiran belakang rumahku, Cikgu Zaleha yang mesra kupanggil 'Leha'.  Kami dulu sama semaktab di Tanjung Malim.  Diizinkan Allah pula kami berjiran....... 

Agak rapat dengannya, tapi jarang benar bersua muka.  Apa-apa pun biasanya menerusi panggilan telefon ataupun aplikasi whatsapp sahaja.  Jika aku ingin memberinya buah tangan, aku sekadar meletakkannya di atas tembok pemisah antara rumah kami.  Tetapi sebelum itu panggilan atau makluman mesti dibuat.  Samalah juga jika Leha ingin berbuat demikian.

Kekadang memikirkan semua itu, terasa ada kelakarnya.  Teringat cerita P.Ramlee..."Oii, orang sebelah!!!....." 

Terima kasih Leha atas pemberian krayon itu....... Rupa-rupanya Cikgu Zaleha sambung belajar dengan mengambil Major Seni.  Patutlah pencerahan yang diberinya begitu jelas sekali....

Walaupun aku minat lukisan, namun bakatku kurang menyerlah.  Terima kasih Leha atas perkongsian dan pemberian.

Dan pada hari kejadian, Program Intervensi Pandemik Melalui Atas Talian anjuran JPN Perak berlangsung jam 9.00 pagi hingga menjelang tengah hari.  Menarik programnya .......  namun ada juga dalam kalangan kami yang barangkali mempunyai kekangan waktu untuk menghabisi tempoh itu dengan seratus persen. 

Tambahan bagi guru-guru muda yang mempunyai anak kecil di sisi.  Terpaksa berperang dengan anaklah jawabnya.  Kecualilah jika berprogram di tempat kerja, yang mana tumpuan dapat diberi sepenuhnya.  

Aku dapat merasakan kebersamaan kami warga SKL dalam menangani isu covid19 yang meninggalkan seberkas kenangan yang terpahat kukuh dalam lipatan sejarah.  Suka duka itu kami genggam erat.  

Tak berkelip mataku meneliti bicara di ruang sembang. Sebak bertandang di ruang rasa bila mana masing-masing meluahkan apa yang terbuku di hati. Lebih-lebih lagi pada salah seorang sahabat yang kehilangan insan tersayang dalam tempoh kami dikuarantin. Tidak dapat menatap wajah ayahanda buat kali yang terakhir.

Empat belas hari terkurung bersama gelang merah jambu dan dikunjungi polis bersama kereta perondanya, menjadikan kami ibarat pesalah di mata tetangga.  Namun kami saling memberi sokongan antara satu sama lain dalam meredakan keadaan.

Tatkala kualihkan pandangan ke skrin di sebelah..... kelihatan salah seorang rakan sekerja menyeka airmatanya. Barangkali merindukan ayahbonda di kampung laman.  Terlalu lama tidak bersua.  Aku juga merindui Wardah.....cucu sulungku.  Hanya 'video-call' sebagai ganti.

Tidak kurang juga yang merindukan aktiviti luar yang terbantut akibat tercetusnya PKP.  Ditambah lagi dengan kuarantin.  Seelok-elok dua minggu bertugas seperti biasa, sekolah pula diarahkan tutup.  PKPB pula berlangsung.  Namun PdPR tetap kami teruskan dengan pelbagai cara.  

BBNU......Bersabar, Berdoa, Nekad, Ubah.  Tips yang dikongsikan lewat pertemuan itu.  
'Balang Emosi'.....juga diketengahkan kepada kami.

Terima kasih kepada En Faiz Hamdan, Puan Saleha Md Noor, Puan Effa Rina, Puan Nurzaimimah dan Puan moderator.  Tidak lupa buat En. Zolkepli, En Hamshah dan Puan Hartini.  Akhir sekali Pn Normazwin Yahya yang bersiaran dari Putrajaya.  Setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan semua.

Tahniah buat sahabat di sisi yang tetap hebat mengurus diri, membawa kenangan tahun ini bersemi dalam ingatan.  Perjuangan tetap perlu diteruskan.  Bunga-bunga terindah itu menjadi bekalan dan pengalaman yang mekar dan berharga.

Semoga saranan dan perkongsian bersama lewat pertemuan di Google Meet itu menjadi pemangkin untuk terus menitipkan yang terbaik buat diri dan anak didik kita bersama.

Terima kasih banyak-banyak kepada Tuan GB yang sudi berkongsi foto google meet yang diperoleh dari kaunselor JPN.  Tidak lupa juga sahabat semua..... memberi komitmen yang tinggi sepanjang masa.  

Anak gadis jalan ke baruh
Bakul bertingkat jinjing di tangan
Kenangan manis dua puluh dua puluh
Tetap terpahat dalam ingatan

Cenderawasih terbang ke desa
Serindit dan nuri di sangkar emas
Terima kasih guru media
CIDS dan GC, tidak kan lemas

Pondok lama jangan disia
Jadikan ia tempat singgahan
Gabungan semua ahli panitia
Ilmu di dada sama ditingkatkan

Baju kemeja beli di pekan
Warna merah jadi pilihan
Potluck, belanja, kongsi makanan
Alhamdulillah, mohon halalkan 

Cantik istana kunjungan ramai
Nama terukir indah menawan
Gandingan perdana dan PPKI
SK Lekir kita bangunkan

TV Okey jadi pilihan
Mari saksikan filem hindustan
Cikgu B&K tak ketinggalan
Jadi rujukan pelbagai pandangan


.......2020 bakal berlalu pergi
membawa kisahnya sendiri-sendiri
salam kemaafan andai ada kekhilafan

(ida a.z. ktb7 lekiyour)



 

Tiada ulasan: