Rabu, 16 Disember 2020

SELAMAT PERGI SAHABAT

 Tatkala dimaklumkan oleh tuan guru besar tentang perkara itu, memang benarlah seperti apa yang kudengar dari mulut rakan-rakan sebaik-baik aku sampai di perkarangan sekolah awal pagi tadi.

Puan Vimala yang mesra dipanggil 'V', telah diketahui umum memohon pertukaran ke Seremban.  Dan disebut-sebut dapat bertukar ke sana.  Sudah tidak ada rahsia lagi akan hal tersebut.  Namun ini berbeda dengan Puan Hajah Roziah yang mesra disapa 'G'.  Mendengar berita tentang dirinya berjaya bertukar ke Johor....... membuat aku terkesima.



V berasal dari Beruas, Perak....... seringkali menghabisi waktu terluangnya di hujung minggu untuk bersama anak-anaknya berkunjung ke Melaka.  Di bumi Hang Tuah itulah tempat suaminya bertugas tetapi kini telah berhijrah pula ke Negeri Sembilan.  Bertahun lamanya berjauhan dan berulang alik ke sana, akhirnya harapan untuk bertukar menjadi kenyataan. 

V yang menyandang tugas sebagai KP Matematik memiliki kekuatan tersendiri dalam menguruskan subjek ini bersama-sama guru lain.  Pelbagai idea dicetuskan dalam menghadapi rencah turun naiknya pencapaian murid dalam subjek ini.
  

G pula merupakan anak kelahiran Johor.  Dan peluang keemasan ini tentu sahaja tidak dapat diungkap dengan kata-kata.  Permohonan bertukar dalam istilahnya 'balik kampung' itu seolah-olah memberinya peluang untuk berkhidmat di negeri yang sebelum ini meninggalkan seberkas rindu yang bersarang di hatinya.

Selatan tanah air menanti kepulangannya, juga menunggu khidmat cemerlangnya.  Seorang guru Sains yang hebat, membawa anak didiknya sama- sama meletakkan nama SK Lekir sebaris dengan sekolah-sekolah lain di pelbagai pertandingan.  Gandingan dan kerjasama yang mantap dengan guru sains yang lain, meskipun tidak ramai..... menjadikan subjek ini cukup diminati oleh anak didiknya.

Kami kehilangan dua orang rakan sekerja yang hebat, setelah melayari tahun 2020 dengan dugaan dan cabaran yang menggila.  Bilangan hari belajar yang singkat, belajar dalam norma baharu dan terbabit dengan tempias Kluster Lekir, menjadikan kami semakin yakin dan istiqomah untuk melangkah terus ke hadapan.

Buat V dan juga G......
Simpanlah kenangan yang sama-sama kita bina di SK Lekir ini dalam memori indah.  Kemenangan dan kejayaan yang kita lakar selama ini menjadi kekuatan untuk terus berjuang.  Ilmu dan pengalaman yang sama-sama kita kutip mudah-mudahan menjadi bekalan yang kukuh bagi membina generasi baharu.

 




Tiada ulasan: