Tiga buah kereta meluncur pergi dengan membawa barangan dapur untuk disumbangkan kepada asnaf yang menanti. Di hadapanku kereta Encik Sham, manakala di belakang pula kereta saudara Hamri.
Aku sempat berkenalan dengan dua orang murid Ustazah Liyana yang teruja dengan program Prihatin Ramadan kali ini. Faiz yang asalnya kusangkakan pendiam, rupa-rupanya ramah bercerita. Awanis kelihatan masih malu-malu. Adalah teman untuk diajak berbicara sementelah aku datang sendirian untuk program ini.
Apabila diberitahu akan lokasi yang diamanahkan untuk kami kunjungi, aku dapat membayangkan bagaimana keadaan tempat tersebut. Sudah dua kali aku berkunjung ke situ, tetapi dengan tujuan yang berbeza. Jadi, ini merupakan kali ketiga aku menjejak kaki ke perkampungan nelayan yang kurasakan terpinggir.
Syukur alhamdulillah kerana lalu lintas tidak sibuk. Kehadiran kami pagi itu disambut dengan hujan. Tanpa kami duga, kami telah bertembung pula dengan team NGO dari daerah lain. Hujan pagi membawa rahmat kepada asnaf yang dikunjungi.
Kami singgah berteduh seketika di rumah asnaf berkenaan sambil menyampaikan sumbangan dan mendapatkan maklumat yang diarahkan oleh ketua program. Info kena tepat agar memudahkan tindakan susulan dilaksanakan nanti. "Buatlah dengan ikhlas," begitu pesanan beliau sebelum kami berlepas pergi. Kumpulan lain bergerak ke lokasi yang lain pula.
Kehidupan yang terhimpit di tengah arus pembangunan begitu menyentuh naluriku. Masih ada rumah yang tiris atapnya. Air hujan yang menerobos masuk perlu ditadah di dalam besen atau baldi. Bayangkan bagaimana mereka terkial-kial mencari ruang untuk melelapkan mata, sedangkan kejiranan di seberang sana lena di tilam empuk!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan