Isnin, 28 Mac 2022

Salam akhir


SUDAH seminggu lebih meninggalkan tugas di sekolah terakhir, SK Gugusan Lekir. Namun dek kekangan masa dan situasi yang bagai tak mengizinkan, maka baharulah majlis yang dirancang berjalan lancar. Begitulah yang dinyatakan. Alhamdulillah.

Terima kasih dan tahniah Salwa...
     Mengenalimu hanya seketika di SK Lekir dahulu, dan kita bersua kembali di SKGL ini. Tahniah Wa, montaj yang memikat hati. Ramai yang ketawa bila nama Kampung Pisang disebut dalam pembacaan biodata itu.  Suka untuk kunyatakan bahawa ini bukanlah Kampung Pisang dalam filem seram dan jenaka. 
     Kampung ini sebenarnya tempat di mana aku dibesarkan sebelum menjejak kaki ke tabika. Kampung di mana terdapat hasil bijih timah. Di ketika itu aku sering kali melihat kelibat pak cik dan mak cik pergi melanda. Betapa mudahnya bijih mereka perolehi secara mendulang. Lombong di sebelah rumah menjadi tumpuan mereka mencari rezeki. Waktu itu bijih timah amat berharga. Tinggi nilainya!

Buat semua yang kukenali, moga ukhuwah berpanjangan.

     Terima kasih rakan setugas yang budiman, kita ditakdirkan bertemu dalam suasana Covid-19. Alhamdulillah, kita sama-sama berjaya mengharung ujian itu. Segala bimbingan dan kerjasama semua, mekar dalam ingatan. Walaupun setahun kita bersama, keakraban itu terpancar jelas pada komitmen yang terbina.

Terima kasih barisan pentadbir.....
     Banyak membimbing dan memberi pencerahan dalam berhadapan dengan permasalahan yang timbul. Juga memberi kepercayaan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. 

Terima kasih rakan setugas.....
     Saling berkongsi pelbagai maklumat dalam membantu memudahkan urusan pelaksanaan PdPC dan PdPR. Sama-sama berkongsi idea dan pendapat. Tidak kurang juga yang menjadi peneman sebelum sama-sama bertolak pulang. Biasanya Ain, Nat dan Jamnah.

     "Kak, saya balik dulu ya," ujar mereka.

     "Bukan balik dulu..... balik sekarang," sambutku selamba.

     Setelah lama terdiam, barulah mereka perasan akan kata-kata itu. Semenjak itu mereka sering berhati-hati menggunakan istilah 'balik dulu'. Perkataan ini menjadi pengikat keakraban kami. 
     Buat Jamnah, terima kasih atas tunjuk ajar dan perkongsian ilmu dalam meneruskan percaturan mengepalai panitia BM. Setiausaha yang sungguh setia dan sentiasa berusaha, tahniah. Banyak yang aku pelajari daripadanya. 

Terima kasih buat para pekerja.....
     Tidak kira sama ada bekerja di pejabat, kelas, padang, dan persekitaran sekolah.... budi kalian mekar di ingatan. Banyak sungguh khidmat yang diberi. Tanpa kalian mungkin ada sahaja aktiviti sekolah yang akan 'tersangkut'.  Terima kasih Yunus dan Zura, Husaine dan Waniey, Kak Mah, Mah, Yam, En Zaimi dan En Salleh.  Tak lupa orang baru, Shimah.

Terima kasih buat peminat buku.....
     Kepada yang pernah membeli buku daripadaku, serta membaca ataupun memberi sokongan dan idea, terima kasih semua. Buku 'Kenangan' memang khas tanda ingatan paling kuat tatkala aku bertukar ke SKGL. Puan GB memaklumkan bahawa Legasi Abah 6 membuatkan beliau menangis hingga bengkak mata. Sungguh, akupun sama. Penceritaan kisah ayah masing-masing begitu menyentuh hati. Betapa hebatnya mereka dalam membimbing isteri, membesarkan anak dan menjaga keluarga.
     Terima kasih Puan Azikha, Ina, Ani (PRA), Huda dan Haiza......teruskan minat membaca. Jika telah membaca, membaca, membaca dan membaca, cubalah menulis. Tidak lupa juga En Ismail.....rupa-rupanya beliau peminat sajak! Dan kami sama-sama keluaran IPSI...baru aku tahu.  Juga buat Amy, warga baru SKGL.... peminat buku. Moga persimpangan ini menjalin ukhuwah kita, asbab minat yang sama.

Terima kasih juga.....
     Anakanda Luqman, pada mulanya aku disebut 'cikgu', namun berakhir dengan 'Kak Ida' sahaja. Bondanya pernah bertugas sama denganku di SK Lekir. Keluarga Luqman memang agak rapat denganku.
     Anakanda Ustaz Wan, moga berupaya menggalas tugas yang aku tinggalkan. Insya-Allah aku percaya, Ustaz Wan pasti boleh.  Mudah-mudahan juga bondamu sihat di dalam kasih dan rahmat Allah. Paling kuingati ialah Encik Aziz yang banyak membantuku menguruskan SPBT. Kami saling berkongsi maklumat, beliau banyak memudahkan kerjaku.
     Buat cikgu Rodzi, terima kasih kerana banyak membantu urusan berkaitan penyusunan jadual dan ICT. Orang hebat ini kelihatan 'cool' sahaja. Sesekali membawa 'body guard' ke sekolah. Dapatlah aku mengenali serba sedikit tentang keluarganya.
     
Terima kasih yang lain-lain....
     Ustazah Aida S, semoga sihat selalu. Penangan Covid-19 barangkali mungkin membekas hingga ke saat ini. Moga maju jaya dengan seni silat yang diceburi. Semoga sihat juga buat Faizah dan Cikgu Aye. Tabahlah menghadapi ujian dan dugaan. Sudah pasti ada hikmah di sebaliknya, insya-Allah.
     Jika ada rezeki, catatan kisah yang diceritakan itu akan cuba aku kembangkan menjadi karya nanti. Terima kasih Cikgu Aye. Walau kita dalam kejiranan yang sama, tempat pertemuan kita hanya di sekolah.
     Tidak lupa ingatan buat Shu, walau tidak bersua diharapkan sentiasa bahagia dengan cahayamata yang kehadirannya lama dinanti. Moga menjadi anakanda solehah, penenang hati ayahbonda.

Terima kasih buat pengawal keselamatan (jaga)...
     Buat Wani, Ju'a juga Ika... ada kalanya turut membantu melancarkan urusan dan memudahkan pesanan lebih-lebih lagi ketika PKP dan PdPR berlangsung. Tika mana pondok jaga menjadi 'one stop centre'. Kalian sering kali menjadi talian hayat antara guru dan ibu bapa murid-murid.

Terima kasih orang kantin...
     Tempat kami berbelanja mengalas perut dan tapau pulang. Moga dimurahkan rezeki. Sesekali kita pasti bersua di pekan Sabtu nanti. 

Ada lagikah yang tertinggal? Kalau lupa disebut, maaf dipohon. 
Buat Ina, 17 tahun kita bersama takkan kulupa. Banyak pengalaman kita harungi bersama. Katamu sembilan belas tahun lagi untuk menuju ke alam persaraan. Bertabahlah adindaku, moga dianugerahkan semangat kental dalam menghadapi segala situasi. 

Terima kasih semua, ada rezeki kita bersua lagi.

Tiada ulasan: