Sabtu, 14 Jun 2025

SALAM AKHIR


 "Bagaimana kan kumula
Dan apakah kata-kata
Yang indah untuk diabadikan
Tiap wajah berkisah
Tiap madah bererti
Manakah ilhamku?

Cahaya di matamu senyum di bibirmu
Mengukir seribu tanda pertanyaan
Mungkinkah kau jua dalam kerinduan
Di saat begini aku merindukan"

    

    Tetiba lirik lagu ini muncul di layar ingatan. Satu per satu lembaran sejarah itu terungkai kembali. Mana mungkin dirimu merindu, sedangkan kau kini telah tiada di alam ini. Hanya kami yang merindu sosokmu.

    Mengenali insan bernama Nor'Azaliah binti Ali Hassan bermula Januari 2005 apabila aku ditempatkan di SK Lekir. 'Ustazah' gelaran mesra bagi kami seluruh warga sekolah. Aku dan Aja berkongsi bulan kelahiran yang sama. Seorang sahabat yang juga rakan sekerja yang lembut perwatakannya. Yang kemudiannya kami menyedari bahawa ada pertalian persaudaraan di antara dirinya dengan suamiku meskipun tidak rapat sangat. Bukan sekadar itu. Suaminya turut ada kaitan persaudaraan dengan saudara ayahku di kampung. 

    Sesekali kami berkongsi khabar berita tentang saudara mara di kampung. Ada waktunya bertemu tika sama-sama berkunjung ziarah saudara yang sakit. Ada chemestry antara kami. Terasa amat rapat dengannya walau jasad kami menjauh. Lembut bicara, kekadang tampak manja, pengasih dan pemurah orangnya. Persaraan memisahkan kami, namun tautan bicara masih membara. Pertemuan kami di talian seringkali berlaku. 

    Sungguh kami dikejutkan dengan khabar duka pada 27 Mei lalu. Awal paginya sudah tidak sedarkan diri tika digerakkan untuk solat Subuh. Begitu menurut permulaan cerita. Keesokan harinya sempat aku menjengah di ICU. Aku masuk bersama Awin. Arwah ditidurkan. Bersih wajahnya. Tatkala mendapat maklumat terperinci daripada anak bongsunya, rasa luluh hatiku. Pengharapan tinggi kami panjatkan kepada Yang Esa. Doktor hanya berusaha, sesungguhnya Allah yang maha menentukan. 

    Pemergian yang disahkan pada 30 Mei bersamaan 2 Zulhijjah oleh mereka yang berautoriti. Lambaian terakhirmu di penghulu segala hari, di bulan mulia yang merupakan bulan terakhir dalam kalendar Islam. Menjadikan kami cemburu! Ramai kenalan lama yang aku temui di rumah Allah itu. Aku menatap wajahmu untuk kesekian kalinya. Penghormatan terakhir dari kami yang masih hidup dan bernafas di bumi-Nya. Wajah-wajah duka yang hadir kucuri tatap satu per satu. 

      "Kak Ida pi la ke PPD. Setahun jer lagi kak ida nak bersara. Pi la buat rayuan...." kata-kata ini pernah Aja suarakan kepadaku. Ya, memang benar perkara itu. Aku faham kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan bahawa mereka yang mengajar lebih daripada 15 tahun dan ke atas, bila-bila masa akan digerakkan nanti. Hanya tinggal beberapa orang sahaja lagi 'orang lama' di situ. Namun aku tetap pergi. Amat benarlah bahawa rezeki itu ada di mana-mana. Seronok aku mengajar di sekolah baharu meskipun jarakmya sedikit jauh. Ketenangan itu yang aku cari. Alhamdulillah.

    Hubungan kami tidak terputus begitu sahaja. Ada tikanya aku bertanyakan khabar sekolah dan rakan-rakan lama. Acap kali juga kami sama-sama mencari solusi terhadap permasalahan yang dihadapi. Saling berkongsi maklumat dan ilmu, sementelahan dia seorang ustazah. 

    Dan yang paling kukenang hingga ke saat ini ialah kisah korban tahun lalu. Banyak perkara Aja membantuku dalam membuat agihan daging korban. Dengan pertolongannya memudahkan aku menghantar sendiri daging korban kepada keluarga anak didiknya yang layak menerima. Nama, lokasi dan nombor telefon bimbit anak-anak yang layak itu diserahkan kepadaku. Tahun ini ..... engkau pergi sebelum tibanya Hari Raya Aidil Adha.

    Teringat kembali ketika kami bersama-sama di kedai buku sekolah.... engkau mengambil kesempatan untuk menyedut gas oksigen yang sememangnya kau bawa ke hulu ke hilir itu setelah menutup pintu kedai agar tidak ketara dilihat oleh anak didik yang lalu lalang di hadapan kedai buku kami. Beberapa kali aku melihat situasi begitu, sudah biasa bagiku. Teringat pula pada bondaku yang tidak putus  hubungan dengan inhaler. Cuma aku sahaja yang masih bertahan menggunakan pil kecil yang dimakan sekadar separuh sahaja apabila lelahku menyerang tiba-tiba.

    Pernah aku lantunkan kata-kata...."kita ni satu kelab, Kelab Athma." Kita kekadang merasa bagai nak putus nyawa. Masalah batuk dan berkahak itu sudah sebati dalam kehidupan. Kadang-kadang ada persamaan alahan kepada habuk, asap, bau pen marker, bau cat dan minyak wangi. Tidak lupa juga kepada cuaca, tidak boleh panas sangat dan sejuk sangat. Begitu sensitifnya kami dalam menelusuri kehidupan.

    Jumaat minggu lepas aku berkunjung ke pusaramu, Aja. Maaf kerana sepanjang bacaan Yaasin itu tak putus air mata ini menitis. Rindu padamu masih belum reda meskipun aku reda melepaskanmu. Berehatlah di sana. 


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Alfatihah buat kak Aja. Rindu yang tiada berpenghujung. Terima kasih atas segala nasihat yang diberi. Akan tersenat selamanya disanubari..

Hamba Allah berkata...

Terasa rasa masih ada di sekolah..duduk di mejanya sambil makan,bersembang,membungkus lauk di kantin,sedekah kuih muih di meja makan guru..Allahu Akbar..rindu benar pada k.aja