Rabu, 24 September 2025

SIBUK

 


    Daripada kita sibuk memperkatakan tentang hal orang, lebih baiklah meluangkan masa untuk memperkatakan tentang kebesaran Allah. Otak yang tepu dengan memikirkan hal dunia yang tidak habis-habis menjadikan kita kelelahan. Melemaskan dan merimaskan.

    Celik-celik mata sahaja, kita dihidangkan dengan masalah dunia. Sesudah Subuh dunia mula berantakan dengan pelbagai kisah sama ada melalui telefon bimbit, kaca TV mahupun surat khabar. Kisah yang dahulunya hanya diperoleh melalui akhbar atau qoran, kini sekadar di hujung jari sahaja. Lebih parah berita kecil mudah sangat meletus dan pantas merebak tanpa bertapis.

    Otak yang Allah anugerahkan kepada kita sudah tidak kenal berita yang diterima itu betul atau tidak. Asbabnya kita sendiri yang tidak merelakan ia berfikir. Ataupun ringkasnya malas berfikir. Tidak ada masakah untuk memikirkannya.... Bak ungkapan zaman kini 'pajak otak'.  Benarkah??? 

    Kebolehan membaca pun kita singkatkan. Tidak ramai pembaca jarak jauh sekarang. Majoritinya cuma pembaca jarak dekat dan jarak sederhana. Lebih malang lagi jika kebolehan menulis pun disingkatkan. Malah ada pula yang sengaja menukar gantikan huruf di dalam penulisan. Pencinta bahasa pasti menggeleng-geleng semasa membacanya. Semakin parah nampaknya.

    Dalam kesibukan memperkatakan hal manusia, sesekali cubalah kita bercerita tentang alam. Banyak yang boleh kita bicarakan...tentang laut, gunung, sungai, flora dan fauna. Sama-sama kita berfikir di luar kotak. Ibarat seorang pengukir, menjadikan flora sebagai ilham untuk mengukir bingkai gambar. Keindahan bebunga atau dedaun itu boleh kita ungkapkan menerusi bahasa yang indah. Bagi yang berbakat dalam puisi pasti berbunga-bunga bahasa mereka.

    Bercerita kisah hujan, pasti terkenang akan tumbuhan yang pasti gembira dengan hadirnya ciptaan Allah itu. Hujan juga merupakan rahmat buat alam. Sewaktu hujan ada doa yang boleh kita panjatkan. Suka duka menelusuri kehidupan dalam suasana hujan, mengajar erti bersyukur. Hujan yang mendamaikan dan ada kalanya meresahkan. Begitulah asam garam dan ujian di dalam kehidupan manusia. Akhirnya mengajar erti cinta kepada pencipta.

    Sibukkanlah diri dengan anugerah Ilahi kepada kita di alam ini. Ungkapkan kesyukuran dengan kata-kata beradab penuh makna. Walaupun ia mungkin tidak sepopular kisah manusia, nilaiannya tinggi sekali.

Tiada ulasan: