Alhamdulillah, sesungguhnya rezeki itu datangnya daripada Allah SWT. Namun kita kenalah berusaha mencarinya, bukan sekadar duduk berdoa sahaja ataupun meminta-minta.
Firman Allah dlm Al Quran yang bermaksud, "Sekiranya kamu bersyukur akan Ku-tambah nikmat-Ku, tapi sekiranya kamu kufur, azab-Ku amat pedih." Bersyukurlah dengan nikmat yang ada, yang Allah telah berikan kepada kita.
Nikmat hidup, nikmat makan, dapat melihat, nikmat berkawan dan apa sahaja yang kita dapat di dunia ini.....semuanya adalah suatu nikmat. Maka tunduk sujudlah kepada Allah Yang Maha Esa.
Ada ketikanya kita diberikan rezeki yang tidak disangka-sangka. Tanpa kita sedar ada insan yang sudi berkongsi rezeki dengan kita. Sudi belanja kita makan, sudi berikan kita hadiah, malah sudi mengajak kita bepergian bersamanya.
Ini jugalah yang terjadi kepada kami. Apabila bangun untuk membuat bayaran di kaunter, kami diberitahu bahawa sudah ada orang yang bayarkan harga makanan kami. Mata akan segera melilau mencari siapakah gerangannya yang ikhlas belanja kami pada hari bertuah itu. Kadang-kadang yang berkenaan telah lama berlalu tanpa kami sedari.
Tak sempat kami mengucapkan terima kasih kepada mereka. Dua minggu lepas tak silap Cikgu Mazni dan isterinya belanja kami. Itupun aku tahu setelah tauke kedai memaklumkan kepada kami. Aku menegur mereka sebaik-baik sampai di warung makan itu. Sempat bertegur sapa kepada pasangan guru yang anak mereka pernah berada di bawah bimbinganku dahulu dalam sukan badminton.
Minggu lepas ada seseorang yang membayar harga makanan kami sekeluarga, tanpa mengetahui siapakah insan bertuah tersebut. Tidak ada yang kami kenal sewaktu duduk-duduk membuat pesanan. Yang baru datang pula baru mula menjamah makanan. Otakku bekerja keras memikirkan siapakah yang empunya angkara. Ya Allah murahkanlah rezeki insan tersebut.
Dan tadi kenalan yang baru ditemui di meja makan pula melunaskan bayaran makanan kami. Tak sempat suami menghulurkan wang, si dia cepat-cepat menolak dan mendahulukan wangnya kepada tauke. Ya Allah Ya Rahim, permudahkanlah urusan peniaga pasar malam ini yang bekerja keras mencari kerang sebagai hasil jualannya. Rancak bercerita bagaimana kehidupannya berbelas tahun sebagai nelayan. Asam garam kehidupan yang penuh warna-warni dikongsikan bersama kami.
Ya Robbi, Kau murahkan rezeki dan sihatkan tubuh badan mereka yang senyap-senyap dengan ikhlas berkongsi rezeki dalam kehidupan mereka. Kau tenangkan hati mereka dan permudahkan segala urusan mereka sekeluarga, juga beroleh keselamatan di dunia juga di akhirat.Ramai insan baik yang kami temui sepanjang menelusuri kehidupan ini meskipun terpampang di media betapa banyak perkara yang menakutkan yang dilakukan oleh mereka-mereka yang lupa akan adanya hari pembalasan di sana nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan